
Industri Kreatif Tempatan Bersinar di Aidilfitri bersama Kumpulan Multimedia
Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang penuh kemeriahan, Kumpulan Multimedia ingin berkongsi perkembangan terkini dan menarik dalam dunia hiburan tempatan. Menerusi pelbagai cabang hiburan di bawah naungan Multimedia Entertainment, rakyat Malaysia dijemput untuk terus menyokong hasil karya tempatan yang berkualiti serta penuh nilai seni dan budaya.
Antara pengumuman utama yang diketengahkan semasa Majlis Hari Raya Multimedia 2025 termasuklah pelancaran “Legasi Bomba The Movie”, sebuah filem aksi yang sarat dengan emosi dan semangat kepahlawanan. Filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025 dan dijangka memberi impak besar kepada penonton menerusi jalan cerita yang menyentuh jiwa serta visual yang mendebarkan.
Selain itu, rancangan hiburan popular “Melodi Kita” yang kini sedang bersiaran di Astro Ria (Saluran 104), akan melabuhkan tirainya dengan sebuah konsert busking PERCUMA di Resorts World Awana, Genting Highlands pada 26 April 2025. Konsert ini bakal menampilkan persembahan terbaik daripada bintang-bintang Melodi Kita, dan orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan acara gilang-gemilang ini.
Dalam masa yang sama, Multimedia Entertainment turut mengumumkan permulaan produksi bagi dua buah filem bergenre supernatural bertajuk “Amok Bujang Raja” dan “Naga Tasik Chini”, yang dijangka memulakan penggambaran pada suku ketiga tahun ini (Q3 2025). Butiran lanjut mengenai produksi ini akan dikongsi dalam masa terdekat.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk pengumuman penting, malah turut menjadi medan pertemuan para penggiat industri hiburan, media, dan peminat dalam suasana santai dan mesra Aidilfitri. Kumpulan Multimedia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan daripada semua pihak dan berharap agar rakyat Malaysia akan terus menyokong industri kreatif tempatan yang semakin berkembang pesat.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman media sosial rasmi Kumpulan Multimedia atau hubungi wakil PR kami:
Yik Keong (010-5184835) – yikkeong@multimedia.my
Afifah Azhari (014-2209942) – nur.afifah@multimedia.my