
Keajaiban Holografik Glenn Fredly
Suara Glenn Fredly mungkin telah lama berhenti bergema secara fizikal, namun jiwanya terus hidup dalam setiap bait lagu yang pernah mengisi ruang hati para pendengar. Dua tahun lalu, ribuan peminat membanjiri Beach City International Stadium di Jakarta untuk menyaksikan konsert “Glenn Fredly 25 Years of Music: Holographic Performance”, sebagai bukti cinta yang tak bertepi terhadap legasi seninya. Suasana malam itu penuh emosi,air mata, senyuman dan nyanyian menyatu dalam satu frekuensi rindu.
Kini, kerinduan itu akan kembali dirawat kali ini di Kuala Lumpur. Premier Live Productions dengan bangga membawakan “Glenn Fredly Holographic Performance: Live in Malaysia” yang bakal berlangsung pada 18 Julai 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Lebih daripada sekadar konsert, ia adalah sebuah penghormatan mendalam terhadap karya dan jiwa Glenn Fredly yang masih membekas di hati peminat. Malam tersebut dijangka menjadi ruang pertemuan antara kenangan dan harapan, cinta dan kehilangan.
Deretan lagu-lagu ikonik seperti “Kasih Putih”, “Januari”, “Akhir Cerita Cinta”, “Sedih Tak Berujung” dan “Terserah” bakal bergema semula, menghidupkan kisah cinta dan rasa kehilangan yang pernah dititipkan Glenn dengan penuh ketulusan. Menurut Ibram Putra, penganjur utama konsert ini, warisan Glenn tidak hanya hidup melalui muzik, tetapi juga melalui nilai-nilai yang beliau perjuangkan kemanusiaan, toleransi, dan perdamaian. “Bait liriknya puitis, melodinya menyentuh, dan semangatnya menenangkan,” ujar beliau.
Menggunakan teknologi hologram canggih, kehadiran ‘hidup’ Glenn Fredly akan direalisasikan di pentas Zepp KL buat pertama kalinya. Suatu pengalaman yang pasti membangkitkan nostalgia, disertai kehadiran istimewa Mutia Ayu (isteri Glenn Fredly), Ryan D’Masiv, Noh Salleh dan Nadira Adnan. Mereka akan bersatu bersama The Bakuucakar band pengiring setia Glenn mencipta persembahan yang sarat emosi dan keikhlasan.
Bagi Anuar Osman dari Matahati Sdn Bhd, rakan promotor konsert ini, peluang menyaksikan karya Glenn dinyanyikan secara langsung di Malaysia adalah saat yang dinantikan ramai. “Kami yakin ramai perindu seni Glenn Fredly di Malaysia yang telah lama menantikan saat ini,” katanya.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, konsert ini dijangka menjadi detik bersejarah dalam dunia hiburan Asia Tenggara, menandakan bagaimana teknologi mampu menjembatani masa lalu dan masa kini. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada malam yang sarat makna ini.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket (bermula dari RM188), layari www.ticket2u.com atau ikuti Instagram rasmi di @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords dan @glennfredlymusik.