‘Keluar Sarang’ Buah Tangan Terbaharu Spider

Untuk mengekalkan status mereka sebagai kumpulan rock terkemuka Malaysia, Spider terus mengukir nama di hati peminat dengan single terbaru mereka, “Keluar Sarang“. Sejak melancarkan album pertama mereka, “Ngam Ho” pada tahun 1999, dengan hits seperti “Relaku Pujuk” dan “Aladin”, Spider telah membuktikan diri mereka sebagai ikon rock yang sentiasa relevan.

“Keluar Sarang”, yang merupakan ciptaan Tam dan lirik oleh Keon, adalah taruhan terbaru Spider dalam landskap muzik masa kini setelah album keenam mereka, “Ankabut”, yang dilancarkan pada tahun 2016. Mengikut arus perubahan muzik, single ini menggabungkan elemen bunyi elektronik, dengan Spider sendiri mengambil peranan sebagai produser dan penyusun lagu.

Anggota kumpulan Spider terdiri daripada Tam (vokalis/gitar), Aie (dram), Pown (gitar), dan Is (bass). Nafie, gitaris yang sedang dalam tempoh rehat akibat masalah kesihatan, turut terlibat dalam rakaman lagu ini, memberikan sumbangan dalam bahagian muzik gitar bersama Tam dan Pown. Nafie baru-baru ini dikejarkan ke hospital kerana serangan strok dan sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan otak.

Menurut Spider, “Keluar Sarang” diilhamkan oleh Konsert Solo mereka dengan tajuk yang sama dan akan menjadi sebahagian daripada album kompilasi serta album penuh yang akan datang. Projek album kompilasi dan album baru ini adalah langkah seterusnya untuk Spider selepas kejayaan Konsert Solo tersebut, dan akan diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment.

“Single ‘Keluar Sarang’ ini berfungsi sebagai pengenalan sebelum pelancaran album penuh yang akan datang. Album terakhir Spider dilancarkan lapan tahun lalu. Kini, Spider sedang berusaha keras di studio untuk menghasilkan lagu-lagu yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga ‘hit’ untuk memastikan mereka terus memikat hati peminat seperti dahulu,” ujar Dato M.Nasir, penasihat album terbaru Spider.

“Keluar Sarang” kini boleh dinikmati di platform digital seperti YouTube dan saluran muzik lain, hasil terbitan bersama Luncai Emas Sdn. Bhd. dan Sony Music Entertainment Malaysia, dengan pengedaran digital oleh Sony Music Malaysia.

Saksikan evolusi muzik Spider dan nikmati kemunculan terbaru mereka yang pastinya bakal menyentuh jiwa peminat setia.

“Keluar sarang, jiwaku kental bagaikan hero.”

Kredit:

  • Lagu: Keluar Sarang
  • Artis: Spider
  • Komposer: Spider
  • Lirik: Keon
  • Hakcipta: Luncai Emas Sdn Bhd
  • Label Rakaman: Luncai Emas Sdn Bhd
  • Edaran: Sony Music Entertainment Malaysia
  • Dengan Kerjasama: Ifix Entertainment
CATEGORIES
TAGS
Share This