Kenangan Raya Pertama Tanpa Keluarga: Umairah Kongsi Kisah Perayaan Berbeza

Kenangan Raya Pertama Tanpa Keluarga: Umairah Kongsi Kisah Perayaan Berbeza

Penyanyi muda berbakat, Umairah, telah melancarkan single raya terbaharu berjudul “Tak Balik Raya”, yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. Lagu ini mengangkat tema perasaan seorang anak rantau yang terpaksa menyambut Hari Raya berjauhan dengan keluarga kerana tuntutan kerja.

Lagu “Tak Balik Raya” membawa kombinasi emosi rindu dan sayu, namun tidak ketinggalan menyuntik elemen kegembiraan melalui melodi yang segar dan ceria, sesuai dengan semangat perayaan. Dengan lirik yang mudah melekat di ingatan, lagu ini pastinya akan menjadi lagu raya pilihan ramai, terutamanya bagi mereka yang mengalami situasi serupa pada musim perayaan.

Menurut Umairah, lagu ini menggambarkan realiti yang dialami oleh banyak anak rantau, yang tidak dapat pulang ke kampung halaman pada Hari Raya disebabkan oleh komitmen kerja. “Lagu ini menyentuh hati kerana ia menceritakan pengalaman sebenar ramai daripada kita. Walaupun jauh, dengan kemajuan teknologi, kita masih dapat berhubung dengan keluarga melalui telefon dan media sosial, jadi hati tetap dekat meskipun terpisah jauh,” jelas Umairah.

Lagu “Tak Balik Raya” merupakan hasil ciptaan komposer Mas Dewangga dan penulis lirik Jova Devit. Menurut Umairah, ketika pertama kali mendengar demo lagu ini, ia langsung menambat hatinya. “Saya rasa lagu ini sangat dekat dengan diri saya, dan muzik serta emosi lagu ini sangat sesuai dengan usia saya. Saya tidak menunggu lama untuk bersetuju merakamkannya,” tambahnya.

Lagu ini telah mendapat sambutan positif sejak teaser pertama dilancarkan, dengan banyak komen memuji lirik dan melodi yang menyentuh hati. “Saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan, terutama sekali daripada warganet. Saya rasa dihargai sebagai artis baharu, dan ini memberi saya semangat untuk terus berkarya,” ujar Umairah yang juga merupakan juara kategori vokal (junior) di World Championships of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Bersama pelancaran lagu ini, Umairah juga bakal melancarkan video muzik rasmi untuk “Tak Balik Raya” pada7 Mac 2025, di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia, bermula jam 9 malam. Video muzik ini diterbitkan oleh Rio Films dan diarahkan oleh Rifaiee Rio, serta menampilkan penari pengiring yang terdiri daripada rakan-rakan Umairah di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur. “Saya ingin memberi peluang kepada rakan-rakan saya yang berbakat dalam bidang tari untuk turut serta dalam projek ini. Ia adalah cara saya berkongsi bakat dan memberikan mereka peluang untuk berkembang,” kata Umairah.

Lagu “Tak Balik Raya” mendapat sokongan penuh daripada Universal Music Sdn. Bhd., yang juga bertindak sebagai pengedar rasmi. Mereka membantu mempromosikan lagu ini, terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, untuk memastikan ia dapat dinikmati oleh peminat muzik di seluruh negara.

Dengan pelancaran “Tak Balik Raya”, Umairah berharap lagu ini dapat memberikan keceriaan dan menjadi penghubung antara mereka yang berjauhan dengan keluarga pada musim perayaan. Lagu ini bukan sahaja mencerminkan perasaan anak rantau, tetapi juga mengingatkan kita bahawa meskipun jauh, hubungan kekeluargaan tetap utuh dan penuh makna.

CATEGORIES
TAGS
Share This