Kisah Asma Abu Bakar: Jelajah Single Solo Mateen

Perjalanan sirah kisah Asma binti Abu Bakar (R.A.), yang rela mengorbankan segala-galanya untuk menyokong perjuangan Nabi s.a.w. dan Saidina Abu Bakar semasa peristiwa Hijrah, telah menjadi sumber inspirasi bagi penyanyi nasyid baru, Mateen.

Lagu gubahan Frizdan dan lirik oleh Ito Lara itu membawa pendengar menghayati kisah  Asma yang sedang sarat mengandung namun sanggup mendaki Jabal Thur bagi  menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk Rasulullah s.a.w dan ayahnya Saidina  Abu Bakar di Gua Thur.

“Kisah perjuangan Asma ini sangat menyentuh hati saya apatah lagi setelah digubah  dengan susunan lirik yang indah dan melodi yang menyentuh hati. Ia mengingatkan kita  bagaimana seorang wanita juga memainkan peranan penting dalam membantu  perjuangan menegakkan agama Allah” Ujar Mateen.

Lagu Asma Abu Bakar merupakan single solo kedua Mateen selepas single pertama beliau  Teratas dilancarkan awal tahun yang lalu.

“Sebelum ini saya mempertaruhkan lagu Teratas yang agak laju dari segi temponya dan kali  ini untuk single kedua saya memilih lagu yang lebih perlahan dan memerlukan  penghayatan serta memasukkan elemen sirah nabawiyah” Tambah Mateen lagi.

Pembikinan muzik video lagu Asma Abu Bakar turut memaparkan simbolik dari sirah yang  berlaku lebih 1400 tahun lalu. Lokasi penggambaran telah dilaksanakan di kawasan bukit  berbatu bagi menggambarkan keadaan bentuk muka bumi di Jabal Thur.

“Saya harap lagu ini akan mendapat maklum balas yang baik dari pendengar semua serta  dapat dihayati dan diambil iktibar dari kisah sirah yang cuba disampaikan” ujar Mateen

Lagu Asma Abu Bakar baru sahaja dilancarkan pada 16 Februari 2024 yang lalu dan kini  telah berada di semua platform digital termasuk rangkaian Youtube Inteam Digital.

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k