Konsert 35 Years Journey Dato Hattan Berskala Besar

Siapakah yang tidak mengenali pelatun “Gadis Jolobu” iaitu Mohd Shukri Shahabudin atau lebih dikenali sebagai Dato Hattan yang merupakan penyanyi lelaki cukup terkenal dalam industri muzik tanah air.  Beliau yang mempunyai kelebihan dari segi vokal, gubahan lagu, ‘attitude’ dan pengalaman dimiliki serta-merta meletakkan penyanyi ini  berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Sehubungan dengan itu, Dato Hattan bakal tampil dengan sebuah konsert berskala besar iaitu Hattan 35 Years Journey yang berlangsung selama dua hari bermula 4 dan 5 Jun 2022 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada jam 8:00 malam.  Hattan 35 Years Journey dianjurkan khas oleh Mewah Event Management (MEM) serta-merta ia adalah konsert solo terbesar sepanjang kerjaya nyanyiannya sejak tahun 1987.

Menariknya, sebanyak 22 buah lagu yang bakal dipersembahkan oleh Dato Hattan sepanjang konsert tersebut berlangsung.  Berikut adalah senarai lagu hits yang bakal didendangkan seperti Memburu Rindu, Dari Kekasih ke Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, Berikan Nurbisa, Hitam Bukan Impian, Biso Bonar, Sambar Apa Saja, Dia, Gadis Jolobu dan lain-lain.

“Ini bukan sekadar konsert tetapi mengandungi penceritaan.  Dari segi kerjaya itu berkembang, bagaimana lagu itu tercipta dan kenapa lirik itu terjadi.  Ia akan saya ceritakan sepanjang konsert itu.  Saya memiliki puluhan lagu hits dan kebanyakkanya akan saya nyanyikan nanti, namun ada juga akan disampaikan secara medley.  Tetapi untuk lagu yang betul-betul poplar sudah pasti saya menyanyikan keseluruhannya” ujar Dato Hattan sendiri.

Perancangan konsert ini tergendala dan memakan tempoh selama dua tahun berikutan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun Februari 2020 yang melibatkan Dato’ Hattan bersama-sama MEM.

Di samping itu, konsert Hattan 35 years Journey juga diiringi pemuzik hebat dan berpengalaman seperti pemain keyboard, Rozario yang bertindak Pengarah Muzik, Nan (Gitar), Ritz (Gitar), Ujang (Dram), Fly (Bass), Firdaus (Keyboard) dan Pa’ang (Perkusi).  Mohan selaku pemain seruling turut diundang bagi mengiringi persembahan Dato Hattan dalam beberapa buah lagu.

Lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan penyanyi serta komposer iaitu Datuk M Nasir juga dimuatkan melalui satu segmen mentor khusus.  Ia berdasarkan album solo kelimanya, Mentor yang diterbitkan pada 1994 di mana Hattan merakamkan semula lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan M Nasir seperti Kepadamu Kekasih, Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Tiara dan Padang Lalang.

Dato Hattan berkata “Album itu adalah idea saya di mana saya rakamkan semula lagu-lagu M Nasir yang saya suka.  Beliau banyak memainkan peranan terhadap perkembangan karier saya dari dulu hingga sekarang”.

Tiket konsert Hattan 35 Years Journey boleh didapati bermula dengan harga RM 188, RM 388, RM 488, RM 788, RM 988 melalui laman web https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey tetapi tiket konsert pada 5 Jun telah habis dijual manakala tiket konsert pada 4 Jun masih boleh didapatkan.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k