Konsert Anniversari ke-33 bukti Damasutra terus relevan

Damasutra menjadi fenomena pada awal 1990-an dan terus bersinar sebagai kumpulan pemuzik dengan pengikut setia hingga ke hari ini.

Lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Antara Sutera & Bulan, Asyik, Sesat Dalam Rindu, Sufi dan Seribu Bayangan antara seleksi malar segar yang terus menjadi siulan.

Biar muncul banyak band baharu di persada hiburan, Damasutra tetap ampuh sebagai satu jenama yang meninggalkan kesan abadi buat khalayak pendengar.

Tidak hairan apabila permintaan ramai ingin menikmati persembahan ‘live’ mereka mencetuskan idea untuk merealisasikan sebuah konsert mega.

Vokalisnya, Baggio atau Bahagia Daharun, berkata kali terakhir beraksi di pentas langsung adalah sekitar lima tahun lalu yang membuatkan mereka menanam impian mengadakan konsert dalam skala besar.

Katanya, hasrat yang dipendam sejak setahun lalu demi memenuhi permintaan ramai bakal dilunaskan bertepatan sambutan ulang tahun ke-33 penubuhan Damasutra pada Oktober depan.

Memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai venue, akuinya, mereka enggan berkompromi dalam soal kualiti sekaligus gelanggang gah tersebut menjadi medan momen bersejarah itu.

“Sejak tahun lalu kami sudah berkira-kira mahu menyambut aniversari ke-33 Damasutra dengan sebuah acara khas bersama peminat yang boleh dikenang hingga ke akhir hayat.

“Melihat angka secantik itu dengan menempuh aneka cabaran bagi memperkukuhkan Damasutra sebagai satu jenama, sudah tentu sebuah konsert mega adalah jawapan untuk sambutan tersebut.

“Idea ini dicetuskan pengurus kami serta anggota lain yang melihat signifikasi angka 33 sebagai simbol kematangan, sekaligus bukti Damasutra tetap relevan.

“Tambahan pula melihat sokongan khalayak termasuk kelompok peminat baharu dalam kalangan golongan muda sekitar usia 20-an ke atas,” katanya selepas sidang media konsert di Matic Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Baggio, tunjang utama kumpulan yang ditubuhkan sejak 1990 itu adalah Amran yang juga pengasas merangkap gitaris serta pemain dram, Assu.

Sebagai pelengkap, pemain gitar  berpengalaman luas, Rizal Wahab, 35, akan menggantikan posisi Allahyarham Alok yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung empat tahun lalu.

“Sebenarnya ada kejutan. Kita akan mengumumkan gitaris baharu iaitu

Rizal Wahab untuk beraksi pada malam konsert itu nanti,” katanya yang kini dalan proses pemilihan lagu.

Sepanjang tempoh dua jam beraksi, penonton bakal dihiburkan dengan  rangkaian seleksi hits daripada empat album studio mereka, Antara Sutra Dan Bulan (199) Asyik (1991), Kurnia (1993) serta Penawar pada 1996.

“Malam sarat magis itu bakal dihangatkan repertoire persembahan yang tentu saja mengimbas nostalgia manis suatu ketika dulu,” ulasnya.

Kumpulan Kristal juga bakal beraksi pada malam tersebut dalam segmen pembukaan sebagai band jemputan.

Teruja untuk beraksi pada 27 Oktober nanti, Baggio yang mewakili rakan lain berharap peminat yang

membesar dengan dendangan mereka ‘turun’ berhimpun di Zepp KL.

“Kali terakhir kami mengadakan persembahan langsung adalah di Hard Rock Cafe Melaka pada 2017, disusuli sebuah persembahan malam tahun baharu.

“Tentu saja konsert di Zepp KL nanti cukup bermakna buat Damasutra biarpun masing-masing pernah fokus terhadap kerjaya solo, kumpulan ini tetap hidup.

“Dulu bukan kami berpecah, sebaliknya hanya berehat seketika untuk memberikan tumpuan kepada projek lain hinggalah Damasutra aktif semula dengan pelbagai ‘showcase’ termasuk persembahan amal beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.’

Sementara itu, Ultimate Media selaku penganjur juga tidak sabar membawa Damasutra selaku band otai beraksi di pentas Zepp KL sekaligus memeriahkan industri muzik tanah air.

Pengarah Konsert, Encik Ekmal Md Noor mewakili Ultimate Media selaku penganjur berkata dalam kerancakkan senario hiburan ‘live’ masa kini, pihaknya yakin pemerhati dunia muzik tempatan menghargai konsert penyanyi tempatan yang memberi nilai tambah dalam setiap penampilan.

“Selaku band otai yang mempunyai katalog seleksi hits dan ‘evergreen’ hingga ke hari ini adalah sangat merugikan jika kami tidak meletakkan Damasutra di tempat sepatutnya iaitu di Zepp KL.

“Andai Konsert Anniversari ke-33 Damasutra ini berjaya, siapa tahu ini pencetus kepada siri jelajah ke luar Kuala Lumpur pula.

“Jadi kami alu-alukan korporat, syarikat, agensi serta pihak berkaitan yang berminat menjadi rakan kolaborasi atau penaja untuk tampil merealisasikan misi besar ini,” katanya.

Harga tiket bagi menyaksikan konsert adalah Rock Zon adalah RM188 (berdiri), Gold RM350 (duduk/Meet & Greet/t-Shirt), manakala Silver RM258 (duduk/merchandise).

Harga tempat duduk bagi VIP box adalah RM3,000.

Turut hadir di acara Sidang Media adalah Kumpulan Kristal bersama penyanyi baru iaitu Ewal Ismail dan juga Kumpulan  Rock Ages iaitu kumpulan Rock anak anak  Remaja belasan tahun dan awal 20an yang terdiri dari Ayen Tommy (Drummer), Holy (vokalis), Osama (guitarist 1),Didi (guitarist 2), Kuzan (keyboardist), Bobo (bassist).

Kumpulan Damasutra dan Kristal juga telah mengubat kerinduan jemputan yang hadir dengan membuat persembahan dengan menyanyikan 2 lagu hit Damasutra iaitu Antara Sutra dan Bulan dan Sembunyi.

Tiket boleh dibeli menerusi laman www.damasutra.ubertickets.asia yang akan dibuka bermula pada 19hb Jun 2023.

Konsert Damasutra ini dianjurkan oleh Ultimate Media iaitu pihak pengurusan yang turut menguruskan aktiviti dan juga pergerakan kumpulan Damasutra kini.

 

CATEGORIES
Share This