Konsert Jiwa Malaysia 2024 Gabungan Muzik & Patriotisme Semarakkan Semangat Kemerdekaan

Bulan Ogos tidak lengkap tanpa sambutan yang mengukuhkan semangat patriotisme bersempena kemerdekaan Malaysia setiap 31 Ogos. Selepas Ogos yang dipenuhi semangat kemerdekaan, bulan September pula disambut dengan penuh cinta ketika negara meraikan Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Bulan Ogos dan September menjadi istimewa dengan pelbagai acara hiburan yang memperkuatkan lagi semangat patriotik, menjadikan kedua-dua bulan ini lebih meriah berbanding bulan-bulan lainnya.

Sehubungan itu, Perbadanan Stadium Malaysia bersama MND Sport & Event dengan bangganya akan menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia 2024, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 dan juga Hari Malaysia.

Konsert Jiwa Malaysia, yang dijadualkan berlangsung pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bukan sekadar hiburan biasa, tetapi sebuah acara yang sarat dengan nilai-nilai yang mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan, terutamanya di kalangan generasi muda.

Penganjur dengan penuh kepercayaan telah mengundang enam kugiran terkemuka tanah air bersama seorang solois untuk mewakili semangat “Jiwa Malaysia.” Kugiran-kugiran tersebut ialah Spider yang mewakili legenda, Hujan sebagai band kegemaran ramai, Ruffedge yang penuh variasi, tiga gadis sensasi Dolla, band energik Bunkface, dan Insomniacks. Turut tampil ialah si kecil molek dari Sandakan, Sabah, Bella Astillah.

Menyedari bahawa bulan Ogos dan September dipenuhi dengan pelbagai acara, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Encik Iliyas Jamil menegaskan bahawa Konsert Jiwa Malaysia 2024 berbeza dan unik daripada penganjuran lainnya.

Dengan matlamat untuk menyatukan seluruh lapisan masyarakat dan pelbagai generasi, Konsert Jiwa Malaysia 2024 juga akan menjadi platform bagi anak-anak muda untuk mengekspresikan rasa cinta mereka terhadap tanah air melalui pelbagai persembahan muzik yang sarat dengan semangat patriotisme.

“Dengan tema Jiwa Malaysia, konsert ini bukan sahaja akan menghiburkan para pengunjung, terutamanya dari kalangan generasi muda, tetapi juga menginspirasi mereka tentang pentingnya memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara,” kata Iliyas Jamil.

Beliau turut menyatakan bahawa pembabitan kumpulan-kumpulan seperti Spider, Hujan, Ruffedge, Dolla, Bunkface, Insomniacks dan Bella Astillah, yang mewakili pelbagai generasi, amat relevan dalam usaha membangkitkan semangat kemerdekaan dalam masyarakat hari ini.

Bagi satu-satunya penyanyi solo wanita yang akan menghiburkan pengunjung mulai jam 8 malam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 7 September 2024, Bella Astillah melihat peluang ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna. Bella, secara tidak langsung, juga mewakili Sabah, yang merupakan sebahagian penting dalam pembentukan Malaysia.

“Konsert Jiwa Malaysia 2024 adalah platform yang sangat berharga bagi saya sebagai satu-satunya penyanyi wanita solo pada malam itu, serta sebagai wakil seni dari Sabah. Terima kasih kepada penganjur kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk berkongsi pentas dengan lima kugiran hebat tanah air demi menyemarakkan rasa cinta terhadap negara kita yang tercinta,” kata Bella Astillah.

Bella juga menekankan bahawa, “Tidak kira dari mana asal kita, sama ada saya dari Sabah atau Spider dari Johor, kita semua adalah satu, kita adalah wajah Malaysia.”

Lebih menarik lagi, penganjur menyasarkan seramai 15,000 penonton dan menawarkan dua jenis tiket dengan harga yang berpatutan untuk menyaksikan Konsert Jiwa Malaysia 2024. Pastinya, ini adalah peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk menikmati sebuah persembahan yang sarat dengan semangat patriotisme dan hiburan yang berkualiti.

Pengunjung boleh membeli tiket berharga RM70 (JIWA- berdiri) dan RM50 (MERDEKA-duduk) untuk EARLY BIRD serta RM120 (JIWA- berdiri) dan RM 90 (MERDEKA- duduk) bagi harga asal menerusi https://ilassotickets.com untuk merasai pengalaman berbeza meraikan semangat patriotisme di Konsert Jiwa Malaysia 2024.

Pastikan anda adalah salah seorang calon pengunjung yang akan melakar sejarah bersama Konsert Jiwa Malaysia 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jail pada 7 September 2024 ini.

INFORMASI

ACARA: KONSERT JIWA MALAYSIA 2024

ARTIS: BUNKFACE, DOLLA, RUFFEDGE, SPIDER, INSOMNIACKS, HUJAN

UNDANGAN ISTIMEWA: BELLA ASTILLAH

TARIKH: 7 SEPTEMBER 2024

LOKASI: STADIUM HOKI NASIONAL BUKIT JALIL

WAKTU: 8 MALAM

PENGANJUR: PERBADANAN STADIUM MALAYSIA PENGANJUR BERSAMA: MND SPORTS & EVENT

PLATFORM PEMBELIAN: https://ilassotickets.com

CATEGORIES
TAGS
Share This