KPDN sasar 30 potensi francaisi baharu dengan pelaburan RM7.5 juta
Program Perniagaan Francais Zon Utara 2023 telah dilancarkan hari ini di Dataran Putra Brasmana, Perlis, oleh Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Program ini adalah program Jelajah Daya Niaga Francais yang pertama dilaksanakan oleh KPDN bagi tahun 2023 hasil perekayasaan Program Franchise Bay sebelum ini. Program tiga (3) hari ini bermula 9 – 11 Mei 2023 ini merupakan pembuka tirai untuk siri program pembangunan perniagaan francais dalam negara.
Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi baharu dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.5 juta dapat dicapai menerusi 13 syarikat francaisor tempatan yang terlibat dalam program ini.
Program ini merupakan platform bagi usahawan francais dan peniaga untuk mempromosikan perniagaan mereka dan bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara. Program ini juga merupakan sinergi 2 kepada inisiatif menangani kos sara hidup di mana Program Daya Niaga lebih mengkhususkan kepada meningkatkan pendapatan rakyat.
Selain itu, ia juga bertujuan memberi pendedahan tentang sistem-sistem perniagaan francais yang telah wujud di negara ini serta pakej-pakej latihan dan pembiayaan yang disediakan oleh Kerajaan kepada bakal usahawan francais.
Menerusi inisiatif ini, Kerajaan berharap bidang francais akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang postif bagi tahun 2023. Bidang perniagaan francais telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi, daya saing, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan melalui pewujudan peluang pekerjaan baru dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat.
YB SENATOR PUAN HAJAH FUZIAH BINTI SALLEH, TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, KUALA PERLIS, PERLIS, 9 MEI 2023