KPDN TERUS KOMITED MEMASTIKAN KESINAMBUNGAN INISIATIF PAYUNG RAHMAH

Program Jelajah Jualan RAHMAH merupakan inisiatif kerajaan di bawah Inisiatif Payung RAHMAH yang menyediakan pengurangan harga bagi penjualan barangan keperluan harian antara 10% hingga 30% di bawah kadar pasaran. Program ini telah dilaksanakan sejak 11 Januari 2023, meliputi 222 daerah parlimen di seluruh negara, dengan tumpuan di kawasan penempatan kumpulan B40.

Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kerajaan bersama pemain industri dan peniaga tempatan dengan kadar diskaun yang ditawarkan adalah melalui perkongsian yang ditanggung oleh kedua-dua pihak.

Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Jualan RAHMAH dan semasa merasmikan Majlis Penutup Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023 pada 30 Julai yang lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi tujuan perluasan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui tiga (3) model iaitu kaedah di dalam premis, luar premis dan yang terkini secara Jualan RAHMAH Bergerak melalui konsep #kedaicarirakyat

Bagi negeri Selangor, Program Jualan Ehsan RAHMAH (JER) ini merupakan kerjasama di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) yang telah dimeterai pada 31 Mei 2023. Pelaksanaan program ini telah dilakukan meliputi keseluruhan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Selangor.

Untuk rekod, sehingga 31 Julai 2023, statistik pengunjung sepanjang Program Jualan RAHMAH yang dilaksanakan di bawah KPDN di seluruh negara adalah sebanyak 2.1 juta orang dan nilai jualan sebanyak RM57 juta. Manakala di Selangor sahaja, jumlah pengunjung telah direkodkan sebanyak 266,117 orang dengan nilai jualan sebanyak RM12.6 juta.

Inisiatif Payung RAHMAH ini merupakan kerjasama strategik dan jalinan kebersamaan di antara rakyat, kerajaan dan pihak industri dalam mengembleng usaha menangani isu kos sara hidup selari dengan pendekatan Ekonomi MADANI. Program Jualan RAHMAH yang dilaksanakan ini bukan hanya berkaitan pemberian subsidi oleh kerajaan untuk potongan harga barangan keperluan harian tetapi komitmen oleh para peniaga juga penting dalam menyokong usaha kerajaan di bawah konsep Payung RAHMAH ini dapat dilakukan secara berterusan.

Sempena program pada hari ini, beberapa tawaran menarik disediakan dengan konsep jualan premis terbuka iaitu:

  1. Jualan 2,000 ekor ayam standard serta lain-lain barangan asas seperti beras, telur ayam, minyak masak, ikan, gula dan daging sejuk beku;
  2. Jualan Happy Hour kepada 100 orang pengunjung terpilih, pada harga RM5.00 untuk seekor ayam standard (terhad kepada maksimum 200 ekor ayam standard sahaja) dan RM5.00 untuk satu 1 beg beras 5kg (terhad kepada maksimum 100 unit beg beras sahaja); dan
  3. Jualan barangan keperluan dan penjagaan bayi oleh Pasar Raya Billion di Kompleks PKNS Bangi.

Selain itu, KPDN akan melaksanakan satu Kajian Impak Program Payung RAHMAH bagi melihat keberkesanan dan kemampanan program[1]program RAHMAH dalam masa terdekat demi memastikan program-program yang telah dilaksanakan sejak Januari 2023 dapat memberi kesan positif kepada rakyat.

Di bawah Inisiatif Payung RAHMAH juga KPDN sentiasa memastikan pengguna dapat membeli barang keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh para peniaga. Inisiatif Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan berlandaskan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah melalui kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

 

 

CATEGORIES
Share This