
KUGIRAN MASDO SAMBUT 10 TAHUN DENGAN GAYA: “PERJUMPAAN AHLI MESYUARAT TINGKAP” & KONSERT GEGAR BESAR!
Kugiran retro moden kegemaran ramai, MASDO, menyambut ulang tahun ke-10 perjalanan seni mereka dalam industri muzik tanah air dengan sebuah acara eksklusif yang penuh kejutan. Bertempat di Saloma, Kuala Lumpur, malam istimewa bertemakan Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap berlangsung pada 30 April 2025 jam 9 malam, menghimpunkan lebih 200 peminat setia serta wakil media dalam suasana yang meriah dan sarat emosi.
Beberapa hari sebelum acara tersebut, peminat dikejutkan dengan beberapa hantaran misteri yang dimuat naik oleh ahli kumpulan MASDO — Ali Sariah, Asmawi, dan Putu Ceri — di Instagram. Hantaran-hantaran kriptik itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat yang ternanti-nanti apakah rahsia besar yang ingin dikongsi oleh kugiran ini. Segala persoalan akhirnya terjawab pada malam perjumpaan apabila mereka bukan sahaja mengadakan persembahan istimewa, tetapi turut mengumumkan konsert berskala besar sempena ulang tahun kesepuluh mereka.
Sebagai penghargaan buat peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sejak awal penubuhan, MASDO mempersembahkan sebuah mini showcase secara langsung, menyajikan lagu-lagu hits yang telah menjadi sebahagian daripada warna muzik Malaysia. Antara lagu yang dipersembahkan termasuklah “Dinda”, “Janji Manis”, “Lautan Asmara”, “Bunga” dan “Berchanda di Malam Indah” yang bukan sahaja mengimbau nostalgia, tetapi turut menghangatkan suasana apabila para hadirin turut menyanyi bersama-sama.
Kemuncak acara tersebut ialah pendedahan poster rasmi konsert ulang tahun mereka yang diberi nama Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun. Dalam satu detik simbolik dan penuh dramatik, kain yang menutupi bangunan MATIC ditarik turun, memperlihatkan poster konsert sambil diserikan dengan letupan bunga api. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara sebuah lokasi konsert baharu yang moden dan serba lengkap. MASDO menjadi artis pertama yang mengumumkan konsert mereka di lokasi ini, yang mampu menampung kapasiti sehingga 7,000 orang, sekaligus memberikan pengalaman persembahan yang lebih intim dan eksklusif kepada para peminat.
Tiket pra-daftar untuk zon Rockzone ditawarkan pada harga promosi RM128 mulai 30 April hingga 1 Mei 2025. Selepas tempoh ini, tiket akan dijual kepada umum pada harga RM148 (Rockzone, berdiri bebas) dan RM198 (Kategori 1, tempat duduk bebas). Tawaran ini pastinya memberikan peluang terbaik kepada peminat untuk mendapatkan tempat lebih awal dengan harga istimewa.
Konsert ulang tahun ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, sebuah syarikat penganjur acara yang telah berpengalaman lebih 15 tahun dalam mengendalikan konsert tempatan dan antarabangsa. Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, menegaskan bahawa ulang tahun ke-10 MASDO adalah detik yang cukup penting dan perlu diraikan dengan penuh gilang-gemilang. Menurutnya, MASDO merupakan antara kugiran yang telah membina legasi tersendiri dalam muzik Malaysia, dan sambutan ini menjadi satu penghargaan buat mereka serta peminat yang setia.
Konsert ini turut mendapat sokongan daripada Warner Music serta rakan-rakan rasmi seperti Kugiran Masdo Empire (pengurusan artis), Saloma Kuala Lumpur (venue rasmi), ERA, Sinar dan Gegar (radio rasmi), serta Astro Gempak selaku media rasmi. Untuk maklumat lanjut berkaitan konsert dan pembelian tiket, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi MASDO (@kugiranmasdo) dan Hitman Solutions (@hitmansolutions) di media sosial, atau menghubungi talian +6012-265 5783 serta emel concerts@hitman.group.