Live In Concert: Radja & Special Appearance Ella

Dalam sebuah sidang media yang telah dijalankan di Restoran Rebung Chef Ismail, tempat yang terkenal dengan masakan Melayu asli, Dato’ Chef Ismail dengan penuh semangat mengumumkan konsert yang bertajuk ‘LIVE IN CONCERT RADJA (SPECIAL APPEARANCE ELLA)’! Konsert ini akan memukau penonton pada 12 November 2023, jam 7:00 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Acara ini dipersembahkan khas oleh Orange International Entertainment, penganjur konsert tanah air. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan luar biasa ini!

“Ini merupakan sebuah penghormatan buat Radja dapat bertemu teman-teman media dari Malaysia untuk menjelaskan lebih lanjut tentang konsert yang bakal diadakan November ini, terima kasih juga kepada Restoran Rebung kerana menjadi penaja lokasi sidang media dan makanan pada hari ini serta pada hari konsert nanti,” kata Ian, vokalis kumpulan Radja.

Radja, yang dianggotai Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) bersama-sama ratu rock negara, Ella bakal disatukan dalam sebuah konsert antara benua Indonesia-Malaysia yang julung-julung kali diadakan.

“Ini merupakan idea yang sudah lama diidamkan bahawa Radja ingin sekali berkolaborasi dengan ratu rock Malaysia Ella di pentas yang sama, dan pihak penganjur Orange Entertainment International yang berjaya merealisasikannya.

“Dua lagu hits kami ‘Jujur’ dan ‘Takkan Melupakanmu’ nyanyian Ella sangat indah didengar, maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini disamping menjalinperpaduan muzik di antara Indonesia-Malaysia yang sememangnya akrab sejak dahulu lagi,” tambah Moldy.

Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja pada kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dan juga peminat.

“Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat, kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” jelas Seno.

Sebelum ini, pihak penganjur pernah mengadakan konsert oleh kumpulan Ungu pada penghujung tahun lepas dengan jayanya dan menerima sambutan yang memberangsangkan, menurut Dato’ Fadzli Idrus, selaku CEO & Pengasas Orange Entertainment International,“Sebagaimana yang diketahui umum, Radja adalah sebuah band legendaris Indonesia yang tidak perlu diperkenalkan lagi, kami gabungkan dengan ratu rock kita Ella dalam sebuah konsert gilang-gemilang buat tatapan peminat-peminat rock di Malaysia, disamping menyahut baik permintaan Radja yang mahukan Ella untuk turut serta bersama-sama mereka di pentas yang sama.

“Saya berharap peminat rock Indonesia dan Malaysia akan terhibur, dan jangan lupa untuk membeli tiket konsert sebelum terlambat.

Akhiri Ian: “Kami hanya mahu melepaskan rindu bersama peminat-peminat di Malaysia dan ‘yuk’ mari kita sama-sama ‘enjoy’ pada malam konsert nanti, jumpa anda semua pada tanggal 12 November nanti!

Tiket-tiket yang dijual berharga RM168 (Rockzone 1-Jujur), RM148 (Rockzone 2-Tulus), RM528 (VVIP-Cinderella), RM238 (Platinum-Yakin) dan RM198 (Gold-Benci Bilang Cinta) boleh didapati di ticket2u.com.my.

 

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k