Majalah 3: Dokumentari Khas Tragedi Batang Kali

Dokumentari khas mengenai bencana tanah runtuh Batang Kali 92 mangsa akan ditayangkan di Majalah 3, program dokumentari terkenal di Malaysia. Untuk mengetahui maklumat terkini mengenai acara di Ladang Organik Bapa, Batang Kali, Penerbit Kanan Majalah 3 dan wartawan lokasi Christine Lee telah pergi ke tempat kejadian. Mereka disertai oleh jurukamera Mohd Zahril Abdullah.

Mereka telah menggandang tugasan mencabar apabila bergegas ke tiga lokasi penting iaitu di Batang Kali, Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh semata-mata untuk mendapatkan informasi terkini dan sahih buat penonton setia Majalah 3.

Tragedi ini memberi tamparan yang besar terhadap negara kita apatah lagi terhadap keluarga mangsa. Dokumentari khas ini turut memaparkan sesi temuduga bersama keluarga mangsa dan Majalah 3 merakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa insiden cerun runtuh di Batang Kali.

Kejadian menyayat hati ini telah mendapat liputan meluas seluruh negara dan melibatkan unit Misi Mencari dan Menyelamat (SAR – Search and Rescue) yang turut melibatkan khidmat anjing daripada Unit Pengesan (K9) bagi membantu mempermudahkan operasi supaya berjalan dengan lebih lancar dan pantas. Ketibaan mereka yang dilihat sebagai ‘hero’ menjadi tumpuan ramai kerana mereka adalah tunjang utama dalam misi ini!

Ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupai oleh Christine tambahan kawasan itu merupakan lokasi kejadian cerun runtuh yang melibatkan nyawa. “Kami hanya dibenarkan untuk memasuki kawasan tragedi selepas hari keempat dan itupun seorang sahaja dibenarkan masuk ke kawasan tersebut atas faktor keselamatan. Ini merupakan pengalaman baharu bagi saya apabila perlu merentasi selut hingga ke paras lutut. Walaupun bimbang dengan risiko yang ada, fikiran saya hanya fokus untuk mendapatkan laporan eksklusif dan yang terbaik untuk dikongsikan kepada penonton. Selesai misi kami, pasukan penyelamat menguruskan jengkaut untuk membawa keluar rakan-rakan media kerana lebih mudah.”

“Lokasi kejadian terbahagi kepada 3 bahagian dan rakaman hanya dibenarkan di sektor B. Dalam situasi getir ini, saya berasa sangat bersyukur kerana berjaya merakam kerja-kerja ‘Ground Penetrating Radar’ untuk mengesan mangsa-mangsa yang tertimbus. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak berkuasa kerana banyak membantu kami dalam misi membuat laporan yang berkualiti. Dugaan mendapatkan kandungan ini adalah pengalaman paling berharga buat saya dan jurukamera. Walaupun pelbagai halangan dan cabaran dilalui, pasukan penyelamat tetap bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira siang ataupun malam.”

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Majalah 3, Dokumentari Khas: Tragedi Di Batang Kali pada 26 Disember 2022, hari Isnin pada pukul 9.00 malam dan anda juga boleh strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k