‘Malam Istimewa: Penyanyi Asal Sabah Bersatu dalam Konsert Orange International’

‘Malam Istimewa: Penyanyi Asal Sabah Bersatu dalam Konsert Orange International’

Syarikat penganjur konsert terkemuka, Orange International, yang terkenal dengan sajian muzik yang unik, dengan sukacitanya mengumumkan konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’ dalam satu sidang akhbar eksklusif di Sky Lounge, Tingkat 40, Hotel Tamu.

Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 30 November 2024, mulai jam 8:00 malam di Zepp, Kuala Lumpur, dan akan menampilkan barisan penyanyi terkenal Malaysia dari ‘Negeri di Bawah Bayu’, termasuk Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie, dan Didi Astillah.

Menurut Dato’ Mohd Fadzli Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, “Ini adalah kali pertama kami menghimpunkan semua penyanyi kelahiran Sabah yang terkenal di tanah air dalam satu pentas hanya untuk penggemar muzik tempatan.”

Beliau juga menekankan, “Kami berbangga dapat menampilkan tujuh artis ‘sumandak’ yang masing-masing memiliki pencapaian luar biasa dalam industri muzik. Ini adalah satu penghormatan untuk memberi mereka platform dalam acara yang belum pernah diadakan sebelum ini.”

Setelah kejayaan konsert Radja & Ella, Wali Band X Setia, dan yang terbaru, Drama Band yang telah habis dijual tiketnya kira-kira dua minggu lalu, Orange International tidak ingin menunggu lama untuk membawa kelainan dalam konsert kali ini dan sentiasa mencari formula istimewa untuk menghiburkan rakyat dengan persembahan muzik yang luar biasa.

“Pemilihan artis-artis ini didasarkan kepada pencapaian mereka yang membanggakan, termasuk pengiktirafan dalam pelbagai anugerah, dengan masing-masing mempunyai repertoir tersendiri dalam bidang seni. Contohnya, Bella diiktiraf sebagai ‘Celebrity Of The Year’ di TikTok Awards Malaysia 2024, sementara Marsha, Adira, Stacy, dan Nikky adalah pemenang di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Anugerah Juara Lagu (AJL),” tambah Dato’ Fadzli.

Bagi pelapis baharu seperti Wani dan Didi, Dato’ Fadzli menegaskan pentingnya memberi mereka peluang untuk bersinar. “Konsert ini adalah platform yang ideal untuk mereka menunjukkan bakat yang ada,” katanya.

Orange International juga mendedahkan bahawa akan ada kejutan menarik untuk penonton pada malam konsert nanti. “Kami mengalu-alukan semua peminat muzik untuk hadir dan menyaksikan konsert ini. Ini adalah usaha kami untuk membawakan muzik berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia atau bangsa,” tutup Dato’ Fadzli.

 

CATEGORIES
TAGS
Share This