Marsha Milan Terus Menggapai Bintang: Duta Spotify EQUAL Asia & Tampil di Festival Muzik ASEAN-Korea!

Marsha Milan Terus Menggapai Bintang: Duta Spotify EQUAL Asia & Tampil di Festival Muzik ASEAN-Korea!

Sudah mencipta nama sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39, Marsha Milan kini terus mencipta detik bersejarah apabila wajahnya terpampang megah di billboard ikonik Times Square, New York. Pada 18 April 2025, penyanyi berbakat besar dari Sabah ini diumumkan sebagai Duta EQUAL Asia oleh Spotify untuk bulan April—satu pengiktirafan besar di peringkat antarabangsa yang menandakan pencapaian luar biasa dalam kerjaya seninya.

Sebagai duta, Marsha bukan sahaja mewakili suara wanita dalam industri muzik, tetapi turut menjadi wajah utama dalam playlist EQUAL Singapore & Malaysia, yang menampilkan dua lagu hebat beliau: Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa. Program Duta EQUAL ini merupakan sebahagian daripada inisiatif global Spotify untuk memperkasakan artis wanita dengan mengetengahkan bakat, pencapaian, dan suara mereka di platform digital berskala dunia.

Marsha meluahkan rasa syukur dan keterujaannya atas peluang ini. “Over the moon! Saya tak sangka langsung ini akan berlaku. Sejak kecil saya impikan untuk muncul di billboard, dan akhirnya impian gadis kecil dari Sabah ini tercapai,” katanya penuh emosi. Beliau turut berharap pencapaiannya dapat menyuntik semangat buat komposer dan artis tempatan lain untuk terus menghasilkan karya bermutu tinggi.

Dengan hampir dua dekad dalam industri muzik, Marsha percaya keikhlasan, disiplin, dan semangat untuk terus belajar adalah kunci utama dalam mengekalkan kelangsungan seni. “Industri ini sentiasa berubah. Kita kena berkembang, tapi jangan hilang jati diri. Apa yang penting adalah sokongan daripada team dan peminat yang sentiasa percaya dan berada bersama-sama kita,” tambahnya lagi.

Kejayaan demi kejayaan terus mengiringi langkah Marsha, apabila beliau turut diumumkan sebagai salah seorang artis pilihan KBS World Korea untuk membuat persembahan dalam Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang akan berlangsung di Zepp KL pada 21 dan 22 Jun ini. Festival berprestij ini, yang dibawakan dengan sokongan daripada ASEAN-Korea Cooperation Fund, menghimpunkan nama-nama besar dari rantau Asia Tenggara untuk meraikan kepelbagaian dan kekayaan muzik ASEAN.

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar keindahan vokal Marsha dengan menstrim playlist EQUAL Singapore & Malaysia sekarang, dan nantikan juga maklumat lanjut mengenai Festival ROUND untuk menyaksikan Marsha beraksi secara langsung di pentas antarabangsa!

Untuk perkembangan terkini mengenai Marsha dan barisan artis lain di bawah naungan Alternate Records & Talents, ikuti laman rasmi mereka di Facebook, serta akaun Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).

CATEGORIES
TAGS
Share This