memperjuangkan pembebasan tahanan di bawah akta SOSMA 2012

Memorandum Organisasi Nambikkai telah diserahkan, dan pada 27 Julai 2023, rayuan jaminan telah difailkan bagi pihak mangsa yang telah ditahan di bawah Akta Sokma 2012.

35 orang mangsa tahanan SOSMA (GST 08), ahli keluarga 24 orang mangsa tahanan SOSMA (Geng SAKAI), SOSMA (Rusa Boy) bersama-sama Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) serta Sebaran Kasih, telah menyeru agar pihak Datuk Seri menggunakan mandat dan amanah daripada rakyat untuk memberikan keadilan kepada semua mangsa tahanan SOSMA yang sedang menunggu tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Julai 2024 hingga September 2024 (bagi tahanan SOSMA GST 08) dan yang sedang menjalani perbicaraan (Geng SAKAI).

Di bawah peruntukan seksyen 13 (Sosma), tiada sesiapa yang dipertuduh atas kesalahan keselamatan dibenarkan ikat jamin kecuali mereka adalah dibawah umur 18 tahun, wanita dan seorang yang sakit atau seorang yang uzur. Berpendapat bahawa seksyen ini adalah bercanggah kepada prinsip kedaulatan undang-undang (‘rule of the law’) atau prinsip keadilan semula jadi (‘natural justice’) kerana ia memberi kuasa kepada pihak penguatkuasa untuk memenjarakan seseorang walaupun beliau belum didapati bersalah di mahkamah.

Akibat proses perbicaraan yang panjang, peruntukan ini turut disalahguna oleh pihak polis untuk berunding dengan OKT. OKT ‘dinasihatkan’ untuk mengakui salah supaya mendapat hukuman rendah malah tidak perlu meringkuk penjara sehingga bicara selesai. Terdapat kes-kes dahulu dilaporkan bahawa OKT berbuat demikian untuk mengelakkan sebarang pelanjutan tempoh pertahanan. Hal ini menunjukkan bahawa peruntukan ini telah menafikan hak-hak OKT untuk mendapat satu perbicaraan yang adil dan saksama.

Selain itu, walaupun terdapat beberapa tahanan dalam kes ini telah memenuhi syarat untuk mendapatkan jaminan iaitu mereka yang sakit, namun permohonan ikat jamin masih ditolakkan. Perbicaraan bagi kes ini hanya akan berlangsung pada Julai hingga September 2024. Hal ini juga menyebabkan ramai keluarga yang hilang sumber pendapatan kerana kebanyakan OKT merupakan pencari nafkah yang tunggal dalam keluarga. Keluarga dibelenggu dengan kemiskinan, malah taraf kehidupan ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan ibu bapa yang uzur turut terjejas.

Pemberian ikat jamin sangat penting kerana

  1. Rata-rata ahli keluarga mengalami masalah kewangan kerana hilang punca pendapatan. Ada diantara mereka menjaga ibu bapa yang uzur dan bertanggungjawab sebagai pencari nafkah utama buat keluarga mereka.
  2. Akaun bank tahanan SOSMA ini dibekukan tanpa mempunyai sebarang bukti kesalahannya. Notis pembekuan diberikan kepada keluarga hanya sebulan selepas pembekuan. Ini menyebabkan perniagaan mereka terjejas kerana tiada modal untuk menjalankan perniagaan oleh ahli keluarga mereka.
  3. Anak-anak mangsa tahanan SOSMA menghadapi masalah emosi dan sosial kerana bapa mereka tidak dapat bersama mereka untuk membimbing ke arah kesejahteraan keluarga. Mereka yang bersekolah sering diejek dan dicaci serta dipinggirkan.
  4. Hubungan suami isteri menjadi renggang dan berakhir dengan penceraian. Masa depan kedua-dua suami isteri musnah akibat perpisahan disebabkan tahanan dalam tempoh masa yang lama.
  5. Orang awam sering mengutuk dan memandang rendah terhadap keluarga tahanan malah dilihat sebagai ancaman. Ahli keluarga terpaksa menanggung perasaan malu kerana tahanan dianggap sebagai pengganas negara.

Kesimpulannya,ahli keluarga mangsa tahanan SOSMA berharap pihak Datuk Seri mengambil kira kesemua isu. Mereka juga memohon pertimbangan dan jasa baik pihak Datuk Seri untuk membebaskan tahanan mangsa SOSMA dengan kadar segera.

Mereka berharap agar OKT boleh mendapatkan jaminan tanpa sebarang bantahan daripada Jabatan Peguam Negara. Kami menuntut agar Kerajaan Malaysia meminda seksyen 13 SOSMA dan memberi satu moratorium supaya peruntukan ini tidak digunakan sehingga pindaan peruntukan ini selesai. Kami turut berharap agar OKT boleh mendapatkan jaminan tanpa sebarang bantahan daripada Jabatan Peguam Negara.

 

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k