‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ Sebuah Perjalanan Emosi Ara Johari dari Kuala Lumpur ke Jakarta

‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ Sebuah Perjalanan Emosi Ara Johari dari Kuala Lumpur ke Jakarta

Setelah melalui detik-detik getir dalam kehidupan peribadinya, penyanyi popular Ara Johari melancarkan single terbarunya yang penuh emosi berjudul ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ (MJOL). Lagu balada ini menggambarkan kesedihan dan pengalaman putus cinta, dan telah menarik perhatian peminat sejak pelancarannya pada 31 Julai 2024.

Ara Johari berkongsi bahawa lagu ini mempunyai makna yang mendalam baginya. “Saya jatuh cinta pada lagu ini sejak kali pertama mendengar demo-nya. Ketika itu saya memang sedang berdepan dengan hati yang hancur, jadi rasa sakitnya begitu mendalam dan menyentuh,” ujar Ara, yang menjelaskan bagaimana lirik dan melodi lagu ini resonan dengan perasaannya sendiri.

‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ merupakan hasil karya dari komposer Indonesia, Ilham Baso, yang juga terkenal dengan karyanya untuk penyanyi terkemuka seperti Judika. Gubahan muziknya pula dikerjakan oleh Adrian Rahmat Purwanto, seorang penggubah muzik terkenal dari Indonesia yang telah bekerja dengan nama-nama besar seperti Mahalini, Lyodra, dan Keisya Levronka.

Proses rakaman lagu ini dilakukan di Bro’s Studio di Jakarta, dan Ara Johari berpeluang bekerja di bawah bimbingan vokal Bowo Soulmate. “Saya sangat bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan pemuzik-pemuzik handal dari Indonesia. Ini adalah pengalaman yang sangat berharga dalam perjalanan seni saya. Proses rakaman berjalan dengan lancar dan cepat,” tambah Ara.

Lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ kini boleh didengar di semua platform streaming mulai 31 Julai 2024, dan diharapkan dapat menyentuh hati pendengar yang mungkin pernah melalui pengalaman serupa. Edaran oleh Universal Music Malaysia ini menandakan satu lagi langkah penting dalam kerjaya seni Ara Johari, yang terus berkembang dan memikat hati ramai dengan bakatnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This