MINI ESPORTSCON DI PARLIMEN MALAYSIA: PENGHARGAAN TERHADAP INDUSTRI E-SUKAN MALAYSIA
Mini EsportsCon yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) merupakan acara pertama kali yang menghimpunkan para pemain esports dari penerbit permainan terkemuka tempatan dan antarabangsa di bangunan utama Parlimen Malaysia.
Acara ini bertujuan untuk merayakan perkembangan dinamik industri esports di Malaysia sambil memberi peluang kepada pemain industri dan wakil-wakil Parlimen, terutamanya Ahli Dewan Rakyat, untuk berinteraksi dalam proses pembuatan undang-undang negara.
“Kami mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan warga Parlimen yang menyokong Mini EsportsCon di Parlimen. Acara ini merupakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi industri esports yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan memberikan pandangan yang lebih jelas kepada pembuat dasar mengenai perkembangan landskap esports yang semakin pesat,” kata Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan ketika melakukan sesi walkabout di Mini EsportsCon di Dewan Bankuet, Bangunan Utama Parlimen.
Acara ini turut disokong oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), bersama dengan Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games, dan Todak Studios.
Terdapat tarikan utama seperti sesi pengenalan kepada sukan elektronik. Di sini, pengunjung berpeluang mempelajari tentang sejarah, jenis permainan, dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam sukan ini. Sesi ini disampaikan oleh para pakar dalam bidang sukan elektronik dan terbuka kepada semua peringkat umur.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keseronokan bermain sukan elektronik, disediakan demonstrasi permainan yang menampilkan pelbagai judul popular seperti Mobile Legends: Bang Bang, dan PUBG Mobile. Pengunjung berpeluang bermain bersama pemain profesional dan mencuba strategi permainan yang berkesan.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi pengenalan kepada sukan elektronik serta demonstrasi permainan yang memberikan pengalaman langsung dengan pelbagai judul permainan. Acara ini juga mempersembahkan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dirangka untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025. MESF turut memperkenalkan Esports MedicA, sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memberikan pendidikan dan khidmat nasihat kesihatan kepada para penggiat industri, khususnya para pemain.