NADEERA CEMERLANG DI PLATFORM DIGITAL: DOMINASI SELEPAS KEJAYAAN AJL39

NADEERA CEMERLANG DI PLATFORM DIGITAL: DOMINASI SELEPAS KEJAYAAN AJL39

Nadeera, bintang Rocketfuel Entertainment yang semakin bersinar, terus mencipta fenomena selepas persembahan luar biasa di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39). Walaupun hanya bergelar naib juara, Nadeera berjaya mencuri perhatian ramai dengan vokal yang memukau dan persembahan penuh emosinya, meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan peminat dan pemerhati industri muzik.

Selepas AJL39, lagu “Bukan Lagi Kita” nyanyian Nadeera mencatatkan kejayaan luar biasa dengan menjadi lagu paling banyak distrim di Spotify Malaysia, Apple Music Malaysia, YouTube Music Malaysia, serta dimuat turun di iTunes Music Malaysia. Kejayaan ini menjadikannya sebagai lagu yang mengatasi semua lagu domestik dan antarabangsa di platform-platform utama.

Yang lebih membanggakan, lagu tersebut juga tersenarai antara tiga lagu artis Malaysia yang pernah mencapai nombor satu di ‘Carta Spotify Malaysia Daily Top Song’, bersama lagu-lagu “Hasrat” oleh Amir Jahari dan “Suasana di Hari Raya” oleh Anuar & Ellina.

Selain itu, lagu “Bukan Lagi Kita” yang turut menjadi OST untuk drama popular “Curang Tanpa Niat”, berjaya meraih lebih 5 juta tontonan di YouTube, menambah lagi pencapaian luar biasa Nadeera dalam industri muzik digital.

Berbicara tentang kejayaannya, Nadeera meluahkan rasa terima kasih yang mendalam terhadap sokongan peminat. “Saya sangat bersyukur dengan sokongan luar biasa ini. Impian saya untuk berada di pentas AJL akhirnya tercapai dan ketika berdiri di sana, saya hanya mahu menyampaikan lagu dengan sepenuh hati,” ujar Nadeera. “Melihat reaksi positif daripada semua orang adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi saya, dan ini adalah permulaan. Saya akan terus bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat peminat semua.”

Kejayaan luar biasa ini membuktikan bahawa bakat dan usaha keras Nadeera kini mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada peminat dan industri muzik. Fenomena ini menjadi inspirasi bukan hanya kepada penyanyi-penyanyi muda, tetapi juga kepada semua yang bermimpi untuk menembusi industri muzik.

Berdasarkan pencapaiannya yang mengagumkan, masa depan Nadeera dilihat sangat cerah, dan dia dijangka akan terus mengukir nama dalam industri muzik Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai Nadeera, ikuti perkembangan terkininya di platform media sosial dan digital rasmi.

 

CATEGORIES
TAGS
Share This