Nadeera Tampil Dengan Penjenamaan Baharu, Mahu Terus Kukuhkan Perjalanan Bidang Seni Menerusi Single Emas

Program realiti nyanyian Big Stage musim kelima membawa tuah kepada Nadeera yang meraih gelaran juara selepas bekerja keras setiap minggu untuk menawarkan persembahan terhebat kepada peminat dan penonton.

Selepas tamatnya pertandingan terbabit awal Julai lalu, pemilik nama penuh Farah Nadeera Zaini, 30, berbincang dengan pihak pengurusan, Woodwind Records untuk memulakan semula kerjaya nyanyiannya.

Antara perancangan yang dilakukan ialah penjenamaan semula bagi mengukuhkan lagi perjalanannya dalam bidang seni tempatan dan antarabangsa.

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan serta bertanya pendapat dengan mereka yang profesional, saya kini hanya mahu dikenali dengan satu nama sahaja iaitu Nadeera. Sebelum ini, saya pernah dikenali dengan nama Nadeera Zaini, Farah Nadeera serta nama-nama lain seperti Nadeera Mentor Legend, Nadeera Lagu Cinta Kita dan Nadeera Big Stage.

“Jadi, keputusan kami adalah untuk membawa nama Nadeera sahaja kerana percaya nama itu boleh memberi nafas baharu terhadap kerjaya seni saya. Saya berharap penjenamaan semula membawa tuah dalam bidang seni.

“Saya juga mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk melebarkan sayap sekitar nusantara serta ke peringkat antarabangsa, jadi penjenamaan ini tepat sebagai ‘kelahiran’ semula Nadeera.

“Penjenamaan semula ini juga bersesuaian dengan kewujudan syarikat pengurusan yang mengatur perjalanan seni saya, Woodwind Records. Merupakan sebuah syarikat pengurusan baharu yang bakal tampil dengan pelbagai idea segar serta bakal mengelola kerjaya muzik bakat-bakat berpotensi, Woodwind Records mempunyai pelbagai perancangan untuk merencana perjalanan saya dalam bidang muzik,” katanya.

Kini, gadis yang berasal dari Johor ini tampil dengan single baharu selepas merangkul kejuaraan di pentas Big Stage musim kelima.

Muncul dengan naskhah yang berjudul Emas, Nadeera mendapat khidmat Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat selaku komposer. Liriknya juga merupakan nukilan mereka bertiga bersama penyanyi Datin Alyah.

Mahu lari daripada kebiasaan single sebelum ini yang bertemakan cinta, Nadeera menampilkan tema kebangkitan dan semangat menerusi karya Emas.

“Perjalanan single Emas agak berliku. Saya dan pihak pengurusan mencari naskhah yang sesuai selepas tamatnya Big Stage dan perjalanannya tidak mudah. Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan mahu ia meninggalkan impak bermakna untuk peminat yang menantikan.

“Selepas duduk berbincang dan berdiskusi mencari material yang sesuai, kami bersepakat untuk menjadikan Emas sebagai single perdana pasca kejuaraan Big Stage. Ia bercerita mengenai semangat dan kebangkitan, sesuai dengan perjalanan baharu saya selepas memenangi pertandingan terbabit.

“Saya akui, saya bagai ‘dilahirkan’ semula selepas menjuarai Big Stage. Sekali lagi, saya diberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan kali ini, saya enggan sia-siakan perjalanan yang baru sahaja bermula. Saya enggan leka dan tak mahu nama kembali ‘suam’, jadi saya mencari sesuatu seperti Emas untuk diketengahkan.

“Emas menampilkan isi hati saya yang benar-benar berharap untuk bersinar dalam industri muzik selepas melalui fasa jatuh bangun sejak tahun 2012. Platform yang saya ada kali ini dianggap sebagai peluang berharga untuk saya menyerlahkan bakat,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman ketika merakamkan lagu Emas, Nadeera mengambil masa sembilan jam di studio rakaman untuk menyempurnakan karya ini.

“Proses rakaman berjalan lancar tetapi saya sendiri mengambil masa sembilan jam di studio rakaman. Memandangkan lagu ini mempunyai makna tersendiri dan sangat melekat dalam hati saya, saya mengambil masa sedikit untuk mendapatkan penjiwaan sebenar.

“Saya mahu benar-benar berpuas hati dan menceritakan maksud sebenar lagu ini ketika proses rakaman dijalankan. Saya dan pihak pengurusan mahu sampaikan roh dan jiwa lagu Emas. Naskhah ini sangat dekat dengan diri saya dan saya berharap ia dapat diterima orang ramai,” katanya lagi.

Dengarkan Emas di semua platform penstriman muzik bermula 25 Ogos 2023.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k