‘Nadi’ Yonnyboii dan Jobranko Sampaikan Mesej Kebebasan dan Kekuatan Diri

Yonnyboii kembali dengan lagu yang menyampaikan mesej yang mendalam, berjudul Nadi, yang merupakan hasil kolaborasi dengan pemain gitar terkenal Jobranko.

Lagu ini sangat istimewa bagi Yonnyboii kerana terinspirasi dari pengalaman peribadinya sendiri. Dicipta bersama komposer Amy Bong, Yonnyboii yakin lagu ini dapat menyentuh hati banyak orang.

Baginya, mengekspresikan pengalaman peribadi melalui Nadi memberikan kelegaan. Dia percaya ramai yang mungkin mengalami perasaan serupa. “Saya ingin lagu ‘Nadi‘ ini dirasai secara mendalam oleh pendengar. Saya menulis tentang keresahan dan ketakutan saya ketika berinteraksi dengan orang baru. Saya merasa ragu untuk meminta bantuan. Saya berharap lagu ini dapat memberi kekuatan kepada mereka yang menghadapi situasi serupa,” katanya.

Yonnyboii menekankan bahawa mesej utama Nadi adalah untuk memberi semangat kepada pendengar. Dia yakin semua orang menginginkan kebebasan dari perasaan gelap. “Lagu ini mencerminkan bagaimana saya berjuang dengan perasaan tertentu dan ingin membebaskan diri dari itu. Pada akhirnya, saya mengejar kebebasan,” tambahnya.

Bagi Yonnyboii, satu lagi hal yang istimewa adalah berkolaborasi dengan Jobranko, yang merupakan legenda dari kumpulan Wings. Baginya, ini merupakan penghormatan besar karena dapat bekerja dengan seseorang dari generasi sebelumnya. “Jobranko benar-benar memberikan kekuatan kepada ‘Nadi‘. Permainan gitarnya menghidupkan lagu ini dan membawa dimensi baru. Saya bangga dapat berkolaborasi dengan beliau dari dua generasi yang berbeza,” ujarnya dengan bangga.

Jobranko juga memberi pendapatnya bagi kolaborasi ini. “Sebenarnya kolaborasi ini memang sesuatu yang tidak dijangkakan. Secara jujurnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dalam lagu Nadi dengan Yonnyboii. Saya sangat menghargai kerana artis muda and masih meningkat masih lagi mengenali Jobranko untuk membuat satu kolaborasi bersama- sama”.

“Saya mahu berterima kasih kepada producer Amy Bong, semua warga Universal Music Malaysia  termasuk team Yonnyboii untuk kolaborasi ini” kata Jobranko, bekas anggota kumpulan WINGS.

Sudah melancarkan muzik video (MV) baru-baru ini, Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim. Hakikatnya, MV itu disifatkannya cukup memuaskan.

Menurutnya, dia cuma memberikan panduan kepada Andrew bagaimana konsep diinginkan dalam kepala secara asas saja. Kepercayaan itu jelas digalas begitu cemerlang oleh pengarah terbabit.

“MV pun dilunaskan dengan begitu baik oleh Andrew dan sejujurnya saya serahkan kepercayaan itu kepadanya. Dia berjaya beri hasil yang sangat baik untuk menggambarkan isi hati saya. “Hakikatnya, Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian, dan sebagainya. “Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, cuma beritahu mereka konsep diinginkan iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” katanya.

Yonnyboii turut berharap Nadi mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya. Dia inginkan mesej dalam lagu ini akan berjaya membekas di hati sesiapa juga. “Saya memang meletakkan harapan yang cukup besar terhadap Nadi. Semoga lagu ini akan digemari ramai dan mesej yang cuba saya sampaikan dapat menusuk hati ramai pendengar,” katanya.

Nadi boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 21st Jun 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii pada 21st Jun 2024.

CATEGORIES
TAGS
Share This