Pasukan Malaysia Terus Membanggakan Negara Dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia di Anaheim, California, Amerika Syarikat Dengan Meraih 36 Pingat

Pasukan Malaysia yang kini mengambil bahagian dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia sedang membantu meningkatkan reputasi Malaysia dalam industri hiburan global. Pasukan Malaysia, yang dianggotai 11 pekerja tempatan, membawa pulang enam pingat emas, dua puluh perak dan sepuluh gangsa dalam kejohanan global terbaru di Anaheim, California. Sehingga 40 negara bertanding dalam pertandingan itu, yang dianggap sebagai “Olimpik” seni persembahan, dalam enam kategori berbeza: nyanyian, tarian, muzik, peragaan, lakonan dan pelbagai seni. 4 kategori yang dipertandingkan oleh pasukan Malaysia ialah vokal, tarian, muzik, dan lakonan.

Setiap wakil Malaysia telah menyertai sekurang-kurangnya 5 pertandingan setiap seorang. Tiga peserta dalam bahagian Junior (5 hingga 15 tahun) manakala selebihnya di bahagian Senior (16 tahun keatas). Di bahagian Junior, adik Chloe Phang Ziang Ee (9 tahun) bertanding dalam kategori Muzik dengan bermain drum. Adik Quah Xin En (8 tahun) dan Jackie Jeffry (11 tahun) pula bertanding dalam kategori Vokal. Di bahagian Senior, Imran Azim Iskandar (16 tahun) mewakili Sarawak bagi kategori Muzik dan Elwyn Jung Ming Yan (17 tahun) juga dari Sarawak, dalam kategori Tarian. Tarian juga diwakili oleh Goay Lian Lian dari Pulau Pinang bagi kumpulan umur 30+. Paling ramai adalah bagi kategori Vokal yang disertai oleh Mary Grace Jane dari Sabah bagi kumpulan umur 18 hingga 24 tahun, dan Nurashida Azli, Ketty Natalia Rasul (Thalia) dan Elvira Pontillas kesemua mereka pula di kumpulan umur 30 keatas. Manakala Dato’ Wahadaniah Abdul Wahab merupakan satu-satunya wakil tunggal dalam kategori Peragaan.

Pingat Emas telah dimenangi oleh Chloe Phang bagi Instrumental Open, QuahXin En dalam Vokal Rock, Imran Azim bagi Instrumental Classical, Goay Lian Lian dalam Tarian Hip Hop & juga Tarian Open dan Dato’ Wahadaniah dalam Modeling Photoshoot. Pemenang-pemenang pingat Perak dan Gangsa pula adalah seperti di Lampiran A. Lima peserta juga telah menggondol Juara Bahagian, iaitu anugerah ‘Champion of the World’. Quah Xin En, Imran Azim Iskandar dan Goay Lian Lian masing- masing mendapat satu anugerah Champion of the World, manakala Dato’ Wahadaniah telah memenangi 2 anugerah Champion of the World iaitu dalam bahagian Photoshoot dan Spokesmodel.

“Secara keseluruhnya Pasukan Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan” ulas Romli Bidin, Pengarah MATME Management yang mengelolakan Pasukan Malaysia. Ramai peserta kita mendapat pingat Perak kerana kurang persiapan rapi disebabkan oleh keperluan mencari dana yang mencukupi bagi meneruskan perjuangan ke kejohanan dunia ini, ujar Romli lagi. Sekiranya mendapat tajaan dan dana yang mencukupi, saya pasti lebih banyak pingat Emas dapat diperolehi. Walau-bagaimana pun, Pasukan Malaysia telah mencapai 63 Peratus kejayaan dari jumlah penyertaan keseluruhan. Dalam kejohanan dunia yang berprestij dan terbesar didunia, kejayaan ini adalah satu kemenangan yang amat cemerlang dan saya merasa amat bangga bagi Pasukan Malaysia tahun ini, kata Romli lagi.

Penyertaan tahun ini amat sengit sekali dengan bertambahnya jumlah penyertaan bagi setiap kategori. Pusingan pertama telah berlangsung selama 3 hari melebihi dari kejohanan ditahun-tahun sebelum ini. Dalam peringkat Separuh-Akhir atau Pusingan ke-2, 5 ahli Pasukan kita telah berjaya ke peringkat tersebut. Di bahagian Junior, adik Quah Xin En dan Jackie Jeffry telah mara ke separuh-akhir, manakala Ketty Natalia Rasul, Imran Azim Iskandar dan Dato’ Wahadaniah Abdul Wahab juga mara seterusnya bagi bahagian Senior.

Selepas pusingan ke-2 juga, beberapa karyawan kita telah mendapat ‘callback’ atau temu-janji untuk berjumpa dengan beberapa pengarah, penerbit dan agen-agen syarikat hiburan besar di Hollywood. Perjumpaan ini akan disambung semula setelah kembali ke Malaysia nanti. Apa yang amat menerujakan adalah peluang untuk belajar dan bergaul bukan sahaja dengan para karyawan dari seluruh dunia, tetapi juga dengan ramai pengarah dan penerbit dari Hollywood, mengikut ulasan dari Imran Azim, Elwyn Jung, Thalia Rasul, Goay Lian Lian, She Pandora (Nurashida Azli) dan Dato’ Dania (Wahadaniah). Sebelum bermulanya kejohanan, para peserta berpeluang menyertai Boot camp atau woksyop/bengkel yang dikendalikan oleh para pengarah dan penerbit terkenal dari Hollywood dan New York.

Yang pasti ialah, Pasukan Malaysia telah berjaya menaikkan nama Malaysia dipersada dunia hiburan antarabangsa terutamanya di Hollywood. Walaupun bilangan peserta dari Malaysia kecil sahaja, tetapi impak dan kehadirannya amat berkesan. Dari awal lagi Pasukan Malaysia telah menonjolkan nama Malaysia dengan persembahan ‘Malaysia Truly Asia’ di pentas utama dalam majlis perasmian kejohanan. Pasukan Malaysia juga telah menggayakan pakaian tradisional/kebangsaan dari seluruh negara dalam ‘Parade of Nations’. Pasukan Malaysia terdiri dari wakil-wakil seluruh negara, iaitu dari Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. Pasukan Malaysia juga berbilang kaum – Melayu, Cina dan kaum etnik Sabah dan Sarawak.

Diharapkan penyertaan Pasukan Malaysia di tahun seterusnya akan mendapat sambutan yang lebih hangat dari berbilang kaum diseluruh negara dan juga sokongan serta tajaan dari syarikat swasta bagi merialisasikan impian setiap karyawan ke persada antarabangsa.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k