Pelancaran Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA Meriahkan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia
Dalam suasana penuh kemeriahan, YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, telah melancarkan secara rasmi Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA. Majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur ini bertujuan memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-67.
Koleksi Merdeka 2024 adalah hasil kerjasama unik antara Kelab PROSPEC Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan jenama terkenal FAZURA. Mengangkat tema “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka,” koleksi khas ini menampilkan 12 rekaan tudung yang dirancang untuk mencerminkan semangat kebebasan dan pencapaian dinamik rakyat Malaysia. Setiap rekaan memaparkan warna-warna yang terinspirasi daripada Jalur Gemilang, landskap ikonik tempatan, serta kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.
Majlis pelancaran dihadiri oleh pelbagai tetamu kehormat, termasuk YBhg. Dato’ Sri Noorhuda binti Haji Alias, Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM; YBhg. Dato’ Ahmad Firdaus bin Baharuddin, Penasihat Kelab PROSPEC KPM; serta Setiausaha Bahagian KPM. Selain itu, hampir 300 orang tetamu jemputan turut memeriahkan majlis tersebut. Acara ini diserikan lagi dengan persembahan oleh artis terkenal, Ella, serta diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA bukan sahaja menandakan kolaborasi pertama antara kelab penjawat awam dengan jenama FAZURA, tetapi juga membuka jalan untuk kerjasama awam-swasta yang lebih banyak di masa depan. Kerjasama ini bertujuan memberi manfaat kepada masyarakat dan memupuk semangat patriotisme.
Untuk organisasi awam dan swasta yang berminat untuk mendapatkan koleksi khas ini dengan harga korporat, mereka boleh menghubungi wakil PROSPEC KPM melalui WhatsApp di 017-4469726. Pembelian juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web rasmi www.fazura.com, aplikasi FAZURA, dan ShopeeMall FAZURA Official Store.