PEMINAT BANTU LENGKAPKAN LIRIK LAGU IGAUAN MALAM

KUALA LUMPUR, 23 NOVEMER 2022 – Insomniacks, sebuah kumpulan yang diasaskan pada tahun 2015, telah melihat beberapa pencapaian yang menarik sepanjang perjalanan, meletakkan mereka dalam kelas sendiri dalam landskap seni hiburan negara.

Single mereka berjudul Sempurna yang dilancarkan pada 14 Februari yang lalu telah menduduki carta RIM selama 39 minggu berturut-turut dan Insomniacks juga berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik ke 37 menerusi single yang sama.

Terbaharu kumpulan yang dianggotai tiga anak muda iaitu Iqie, Iskandar dan Danial ini tampil dengan single baharu berjudul IGAUAN MALAM yang sudah boleh didengari di kesemua platform digital pada 4 November lalu.

Lebih menarik, video muzik IGAUAN MALAM turut dilancarkan di YouTube rasmi Insomniacks pada 18 November yang lalu.

Bercerita mengenai buah tangan terbaharu ini, IGAUAN MALAM bercerita mengenai seseorang yang sentiasa dihantui oleh pemikiran negatif dan berjuang untuk keluar daripada kesukaran itu.

Iqie selaku vokalis pertama berkata, Iagu IGAUAN MALAM adalah ciptaan dia bersama Iskandar dan Danial manakala liriknya ditulis oleh mereka bertiga dengan Gavin dan Maniacks.

“Penulisan lirik lagu ini sudah mula dibuat sekitar Mac 2020. Ketika itu, kami sedang sibuk menyiapkan album EP sulung berjudul Kepala Batu dan hanya sempat menghasilkan bahagian korus.

“Kemudian lagu itu disimpan rapi sehinggalah satu hari ketika sesi siaran langsung di YouTube, kami mengambil keputusan untuk menyiapkan lagu itu bersama penyokong Insomniacks.

“Kami begitu teruja dan seronok dapat bertukar idea dengan mereka. Malah lirik lagu ini turut dapat disiapkan dengan mesej positif yang cuba disampaikan.

“Kami melalui proses rakaman dengan Taja. Kerjasama dengan Taja juga bukan kali pertama, sebaliknya banyak lagu kami dihasilkan bersama. Jadi dia faham apa yang kami mahu dan proses itu berjalan dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, Iskandar berkata, video muzik IGAUAN MALAM menerapkan elemen hantu dan mimpi ngeri bagi menyuntik kelainan kepada single terbaharu itu.

“Kami membuat video muzik yang agak seram dengan menetapkan elemen hantu dan mimpi ngeri. Sebagai sebuah kumpulan, kami masih menerapkan nilai persahabatan dan kebersamaan. Apa yang boleh saya katakana penghasilkan vdeo muzik ini antara naskhah yang kami banggakan.

“Video muzik ini diarahkan oleh rakan baik kami iaitu Thaqif Saadon dan Studio Quasa. Setakat ini, semua video muzik kami bekerjasama dengan Thaqif kerana kami selesa berkerja dengannya. Dia dan pasukannya sangat professional dan menetapkan standard yang tinggi sehingga kami terpukau dengan penghasilkan yang dipersembahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Danial berkata, cabaran utama menyiapkan single terbabit adalah penantian untuk menunggu waktu bilakah lagu itu akan diperdengarkan kepada peminat.

“Setiap kali kami berjaya menyiapkan sebuah lagu, pasti kami berkobar-kobar untuk perdengarkan kepada peminat. Ini kerana, melancarkan lagu baharu adalah impian kami selain mahu melihat komen serta reaksi peminat terhadap lagu yang dibawakan.

“Justeru, kami berharap peminat akan berbangga dengan hadiah terbaharu ini kerana Igauan Mimpi boleh dikatakan karya kita bersama sebagai sebuah keluarga. Kami juga berharap lagu ini dapat didengari oleh seseorang yang mungkin pernah berdepan kehilangan atau kesunyian. Kami berharap lagu ini dapat memberi sedikit senyuman kepada mereka,” katanya.

Insomniacks juga bakal melancarkan album pertama mereka di bawah naungan Universal Music Malaysia pada awal tahun hadapan.

IGAUAN MALAM kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala muzik video rasminya pula boleh ditonton di saluran YouTube Insomniacks bermula 18 November yang lalu.

CATEGORIES

COMMENTS

2.7k
Whatsapp40.8k