PENGISYTIHARAN MALAYSIA REPROGRAPHIC RIGHTS CENTRE BERHAD (MARC) SEBAGAI ORGANISASI PENGURUSAN KOLEKTIF MEWAKILI KARYA SASTERA, SENI, IMEJ DAN ILUSTRASI

 

MARC atau dikenali sebagai Reprographic Rights Centre Malaysia diumumkan secara rasmi hari ini sebagai badan pengurusan kolektif yang diiktiraf kerajaan yang ditugaskan untuk mengutip royalti bagi pihak penulis, penerbit dan artis Malaysia dalam industri percetakan dan penerbitan. Sijil pengisytiharan telah disempurnakan oleh YB Dato’ Rosol Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

MARC ialah organisasi pengurusan kolektif yang ditubuhkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang diberi kuasa untuk mengutip royalti karya sastera, seni, imej dan ilustrasi serta memberikan lesen kepada pengguna di Malaysia.

 

Menurut YB Dato’ Rosol Wahid, MARC memantau penggunaan semula karya bercetak dan digital di seluruh negara termasuk di sekolah, universiti, perpustakaan dan pusat cetak dengan kerjasama entiti kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), dan kemudian mengutip royalti sebelum diagihkan kepada pemilik harta intelek.

Penubuhan dan pemerbadanan MARC sebagai organisasi pengurusan kolektif akan memberi manfaat kepada ahlinya dalam pelbagai cara, termasuk mengurus hak royalti dan memastikan kebajikan mereka dalam industri percetakan dan penerbitan karya sastera, seni, imej dan ilustrasi.

Terdahulu, YB Dato’ Rosol Wahid mempengerusikan Seminar Kebangsaan bertajuk “Mengurus Hak Cipta dalam Pendidikan Malaysia” di sebuah hotel di bandar raya ini. Antara lain, seminar ini akan menghimpunkan mereka yang terlibat dalam pendidikan dan pengajian tinggi untuk membincangkan kepentingan hak harta intelek dalam industri imej dan percetakan (reprografi) Malaysia. Seminar ini juga merupakan medan dan peluang terbaik untuk para peserta mendapatkan maklumat tentang perkembangan terkini hak dan perkembangan reprografi antarabangsa di negara ini.

CATEGORIES
Share This