Penuh Luka dan Air Mata, Aku Bukan Ustazah 2 Sedia Ganti Slot ‘Keluarga Itu

Penuh Luka dan Air Mata, Aku Bukan Ustazah 2 Sedia Ganti Slot ‘Keluarga Itu

Menyusul kejayaan musim terdahulu, Aku Bukan Ustazah 2 hadir dengan naratif yang lebih menyayat hati dan sarat emosi. Mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan dan dendam yang terpendam, drama 35 episod ini menyatukan kembali watak-watak utama yang pernah mengundang simpati dan perhatian penonton — Aminah, Adam, dan Omar.

Disiarkan bermula 10 Mei 2025, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3, musim baharu ini mengupas lebih dalam tentang pergolakan batin dan cabaran kehidupan yang melanda watak utama. Aminah, lakonan mantap Erysha Emyra, kini berdepan ujian terhebat dalam hidupnya — bukan sahaja sebagai isteri dan ibu, tetapi juga sebagai wanita yang cuba bertahan di tengah tekanan mental dan trauma masa lalu.

Dengan sentuhan pengarah tersohor Idora Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, siri ini menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih mendalam dan emosional. Penonton bakal menyaksikan bagaimana konflik lama mula timbul semula apabila Omar (Zahiril Adzim) muncul kembali dalam hidup Aminah dan Adam (MK K-Clique), mencetuskan semula luka yang belum sembuh.

Dalam episod pembukaan, kebahagiaan Aminah bersama Adam dan anak mereka, Raykal, tampak sempurna menjelang kelahiran anak kedua. Namun kemunculan semula Omar mencabar kestabilan mereka, membuatkan Aminah kembali bergelut dengan trauma lama. Di tengah kelelahan mental yang kian meruncing, Dr. Syafiq (Nabil Aqil) muncul sebagai individu yang mungkin mampu membawa Aminah keluar dari kegelapan.

Menurut Erysha, peranannya kali ini menuntut lebih banyak kekuatan emosi. “Banyak babak memerlukan saya menangis atau benar-benar menyelami penderitaan Aminah. Ia bukan mudah, tapi saya harap penonton dapat rasa keikhlasan itu,” katanya.

Barisan pelakon yang turut kembali termasuk Shaza Bae dan Haneesya Hanee, menyemarakkan lagi nadi penceritaan dengan watak-watak yang mempunyai dimensi tersendiri.

Bagi mereka yang ingin menonton lebih awal, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Ikuti juga perkembangan terkini drama ini melalui semua platform sosial TV3 (@TV3Malaysia) dan Instagram rasmi @dramasangat.

CATEGORIES
TAGS
Share This