
Perjalanan Ejen Ali: Detik-detik Mendebarkan Penuh Aksi dan Emosi!
Sebelum anda menyertai misi terbaharu dalam Ejen Ali The Movie 2 yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 22 Mei 2025, inilah masa terbaik untuk mengimbas kembali keseluruhan perjalanan luar biasa seorang budak sekolah biasa bernama Ali yang secara tidak sengaja mengaktifkan IRIS, alat perisikan canggih milik agensi rahsia MATA dan akhirnya direkrut sebagai ejen muda untuk mempertahankan Cyberaya daripada pelbagai ancaman. Dalam Musim 1, kita melihat bagaimana Ali menyesuaikan diri dengan dunia perisikan yang penuh rahsia dan bahaya sambil mengenali Ejen Bakar dan Ejen Alicia serta berdepan ancaman penjahat misteri bernama Uno. Musim 2 pula membawa Ali ke Akademi MATA, di mana dia mula belajar tentang erti persahabatan, cabaran kerja berpasukan dan keyakinan diri sambil menghadapi ancaman Numeros yang mahu merampas IRIS. Konflik emosi dan persoalan identiti mula memuncak dalam Ejen Ali The Movie (2019) apabila IRIS diubah menjadi IRIS Neo dan tidak lagi eksklusif kepada Ali, lantas membawa dia bertemu Niki yang mendedahkan sisi tersembunyi Cyberaya serta memaksa Ali mempertimbangkan kesetiaannya terhadap MATA. Musim 3 pula menyaksikan Ali cuba menebus kesilapan selepas dilucutkan tanggungjawab sebagai pengendali IRIS, dan dalam usahanya untuk membuktikan dirinya semula di pertandingan Arena MATA, dia mendapat tahu bahawa ibunya, Aliya, merupakan salah seorang pencipta IRIS dan pernah menjadi juara pertandingan tersebut. Dalam masa yang sama, ancaman baru muncul melalui Cinco yang meneruskan legasi jahat Uno bersama Rizwan dan bekas ahli Numeros, menjadikan misi kali ini lebih mencabar berbanding sebelumnya. Kini, dengan semua pengalaman, pengkhianatan dan pengorbanan yang dilalui, Ejen Ali bersedia untuk kembali ke layar perak dalam sebuah lagi misi yang bakal menguji segalanya keberanian, kesetiaan dan semangat seorang wira muda. Sudahkah anda bersedia untuk menyertainya? Aktifkan semula memori anda sekarang dan bersiap siaga untuk Ejen Ali The Movie 2!