Pontianak 200KG: Komedi Berat Penuh Gelak

Pontianak 200KG: Komedi Berat Penuh Gelak

Primeworks Studios dan Metrowealth dengan bangga mempersembahkan filem terbaru mereka, “Pontianak 200KG”, sebuah filem komedi seram yang dinantikan ramai, meneruskan legasi kejayaan telefilem popular “Pontianak 100KG”. Kejayaan luar biasa “Pontianak 100KG” yang menjadi pilihan nombor satu di platform Tonton menjadi pemangkin kepada penghasilan filem ini, bertujuan untuk menghiburkan penonton dengan naratif yang lebih menarik, lucu, dan menonjolkan kemajuan industri perfileman tempatan menerusi kolaborasi erat antara kedua-dua produksi gergasi ini.

Di bawah arahan Shuhaimi Lua, “Pontianak 200KG” menampilkan Aya Amiruddin sebagai teraju utama bergandingan dengan Dottie. Ini merupakan detik bersejarah buat Aya Amiruddin yang pertama kali diberi kepercayaan memegang watak utama, satu tanggungjawab besar yang pastinya dinanti-nantikan oleh para peminatnya.

Filem ini turut dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Ziana Zain, Ropie, Niezam Zaidi, dan Wanns Ahmad, serta bakat-bakat baru seperti Malia Baby dan Shaf Naufas. Apich Lo juga diperkenalkan sebagai salah satu watak utama, dan kemunculan istimewa primadona Ziana Zain pastinya akan menjadi buah mulut ramai setelah sekian lama tidak muncul di layar perak.

“Pontianak 200KG” mengisahkan Kampung Terbalik yang menjadi sasaran serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang sentiasa kelaparan dan mencari makanan. Keadaan menjadi semakin kelam-kabut apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak penghisap darah, menyebabkan ramai yang koma!

Kemunculan Bilal, seorang jejaka ala Korea, telah mencuri hati kedua-dua pontianak tersebut, sekaligus mencetuskan persaingan sengit antara mereka untuk merebut perhatian Bilal. Walaupun begitu, keadaan masih tidak reda dan penduduk kampung terus menjadi mangsa serangan. Pak Akad, ketua kampung, semakin buntu mencari jalan untuk menghentikan peningkatan jumlah penduduk yang koma.

Proses penggambaran filem ini dijalankan dengan penuh teliti, kebanyakannya bertempat di Ijok. Lokasi ini dipilih untuk memberikan suasana yang sesuai dengan elemen seram komedi yang diketengahkan dalam filem ini.

Runut bunyi filem ini juga tidak kurang hebatnya, hasil kerjasama dengan Shiha Zikir Empire dan menampilkan buat pertama kalinya Aya Kamaruddin dalam dunia nyanyian. Lagu tema filem ini, “Naik Hantu”, dicipta sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, pastinya akan memikat hati penonton.

Dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin, lagu ini telah dilancarkan di semua platform digital sejak 24 Julai 2024, manakala versi rock oleh Buck dan Awas akan menyusul pada 15 Ogos 2024. Nantikan juga muzik video “Naik Hantu” di YouTube Alternate Records & Talent tidak lama lagi.

Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, berkata, “Pontianak 200KG merupakan hasil kerjasama menyeluruh antara Primeworks Studios dan Metrowealth, bertujuan untuk memperkayakan lagi genre dalam industri perfileman Malaysia. Dengan membawa elemen seram komedi yang segar, kami bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu yang menghiburkan kepada penonton, tetapi juga membuka peluang bagi bakat-bakat baru untuk menyerlah dan berkembang dalam industri ini. Kami yakin bahawa usaha ini akan terus memacu perkembangan landskap perfileman tempatan.”

David Teo turut menambah, “Filem ini adalah bukti komitmen kami untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk seisi keluarga. Kami berharap Pontianak 200KG akan mendapat sambutan hangat, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan filem komedi seram dalam industri perfileman tempatan.”

Shuhaimi Lua, pengarah filem ini, berkata, “Alhamdulillah, filem Pontianak 200KG merupakan permulaan bagi saya dan saya bersyukur telah diberikan kepercayaan oleh Primeworks Studios serta Metrowealth kerana meletakkan serta memilih saya sebagai pengarah bagi filem ini.

Mengarah sesebuah filem merupakan salah satu impian saya dan saya berterima kasih kerana telah diberikan peluang itu. Filem Pontianak 200KG merupakan sebuah filem penanda aras buat saya untuk terus mengarah filem yang memberi hiburan dan manfaat kepada orang ramai.”

“Pontianak 200KG” menampilkan kelainan dengan mengangkat kisah Pontianak yang “comel” sebagai watak utama. Berbeza dengan stereotaip biasa, Pontianak dalam filem ini hanya lapar dan suka mengusik orang kampung dengan mencuri makanan mereka, menjadikan watak ini lebih mesra dan menghiburkan. Dengan tagline “FILEM KOMEDI PALING BERAT ABAD INI”, filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 5 September 2024.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem komedi seram yang pastinya akan menggeletek hati anda ini! “Pontianak 200KG” akan menemui penonton di 75 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 5 September 2024.

CATEGORIES
TAGS
Share This