PROGRAM JUALAN MEGA EHSAN RAHMAH (JER) YANG DIADAKAN DI SELANGOR

Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) telah diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Taman Keramat, Selangor, dan dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, dan Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Majlis Pelancaran Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) pada hari ini adalah sebagai tanda kick-off Program Jualan Ehsan RAHMAH (JER) yang akan dilaksanakan di semua 56 kawasan DUN di seluruh Negeri Selangor, di mana lokasi dan keperluan logistik diuruskan oleh pihak DUN.

Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) yang pertama diadakan di Negeri Selangor ini menawarkan dan memfokuskan penjualan bagi tujuh (7) jenis barang keperluan asas utama pengguna seperti Ayam Segar, Beras, Telur Ayam, Minyak Masak, Ikan, Gula Pasir dan Daging Sejuk Beku pada harga runcit serendah 30% berbanding harga pasaran. Tempoh bagi jualan JER ini akan berlangsung selama tiga (3) jam sahaja dengan konsep premis terbuka.

Untuk pengetahuan, Program JER Selangor ini merupakan kerjasama strategik pertama yang digerakkan di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Kerjasama strategik ini adalah idea penggabungan dan penyelarasan dua program di bawah inisiatif kos sara hidup iaitu Program Jualan RAHMAH dan Jualan Ehsan Rakyat di Selangor dengan penjenamaan semula sebagai Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER).

Seterusnya, hasil penjenamaan semula sebagai Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) adalah disebabkan Program Jualan RAHMAH dan Jualan Ehsan Rakyat didapati mempunyai objektif, modus pelaksanaan dan golongan sasaran yang hampir serupa. Susulan daripada hasrat dan matlamat adalah sama telah menghasilkan satu persetujuan bersama di antara KPDN Selangor dengan Kerajaan Negeri untuk mengambil satu langkah ke hadapan yang logikal (logical next step) di mana inisiatif JER ini dilihat dapat mengurangkan kos pelaksanaan, meningkatkan impak dan memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan di negeri Selangor.

KPDN bersama Kerajaan Negeri berharap Program JER Selangor ini dapat memberi impak yang positif kepada rakyat Selangor, terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah dan penduduk kawasan luar bandar. Pada masa yang sama, KPDN mengajak dan menggalakkan lebih ramai pemain industri khususnya hypermarket dan pasar raya supaya dapat bersama-sama menjayakan aspirasi ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.

KPDN Negeri Selangor merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Program Jualan Mega Ehsan RAHMAH (JER) ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan kos sara hidup pengguna serta merancakkan ekonomi negara dengan menggalakkan rakyat berbelanja.

YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB, MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, SELANGOR, 31 MEI 2023.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k