PROGRAM USAHAWAN KLUSTER BAHARU DARIPADA KALANGAN BEKAS BANDUAN

Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Straits Millennium Sdn Bhd & Group, dan Ghullam Development Sdn Bhd hari ini menganjurkan Program Usahawan Kluster Baharu daripada kalangan bekas banduan, bekas penagih, orang kelainan upaya (OKU), dan belia bagi membantu sasaran kumpulan dengan advokasi industri sebagai misi anjakan paradigma daripada ‘Kumpulan Marginal’ kepada ‘Aset Negeri’ selepas menamatkan program latihan I-Kembali selama 12 bulan.

Menurut Pengerusi PERGAK Dato Sri Siti Murni Sheikh Ahmad, hala tuju I-Kembali sebelum ini adalah menempatkan peserta dalam industri pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, dan perladangan, tetapi kali ini tumpuannya adalah untuk membangunkan kumpulan sasar ini menjadi industri dan usahawan tani.

“Untuk merealisasikan tujuan ini, pihak kami dengan kerjasama Straits Millennium Sdn Bhd akan melahirkan 100 usahawan Grocer Mart, pasaraya 100 peratus milik Bumiputera.

“Sasaran pada masa hadapan, pihak kami akan mensasarkan lebih ramai usahawan industry dalam pelbagai sektor seperti Kafe Food Truck, Perkhidmatan Auto Spa Kereta, Perkhidmatan Gunting Rambut dan Perkhidmatan Servis Penghawa Dingin,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar merasmikan majlis itu.

Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Noh Omar menyatakan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM5 bilion untuk usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui kerjasama dengan Syarikat Milik Kerajaan dalam Bajet 2022 (GLC).

Dato Ahmad Fathiri Ahmad Fadzlah, Pengerusi Straits Millennium Sdn Bhd, turut hadir.

Siti Murni mengharapkan kerajaan dan kementerian mendekati kempen advokasi industri dengan sasaran orang dari sudut berbeza.

Ini kerana, pada pendapat beliau, program advokasi industri telah pun menunjukkan bahawa orang ramai boleh menyesuaikan diri dengan perubahan dan berhijrah untuk berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

“Bukan mudah nak buat pembetulan kepada mereka. Dan bukan mudah untuk membawa mereka balik semula kepada masyarakat. Satu cabarannya bagaimana nak mendidik

mindset mereka, bagaimana nak settlement kelangsungan hidup mereka, dan bagaimana untuk saya mengatasi mereka mengikuti program saya selama 12 bulan.

“Alhamdulillah, ramai yang telah berjaya dan saya pula telah merencanakan untuk mereka sebelum program ini bermula. Ini kerana saya memikirkan bagaimana nak menjadikan mereka usahawan baru di kalangan golongan sasar.

“Pada saya, mereka telah menjalani hukuman. Mereka telah ditindas lama. Jadi saya nak bawa mereka ke masyarakat dengan bertujuan mereka akan menjadi usahawan baru yang berjiwa besar dan boleh membantu pula yang lain.

“Saya juga berharap agensi-agensi di bawah kementerian Tan Sri, dapat membantu selagi mana yang boleh dalam melahirkan usahawan-usahawan berjaya dalam Program Usahawan Kluster Baru ini.”

 

 

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k