Projek Rangkaian Digital Lebuh Raya Membolehkan Malaysia Menjadi Pusat Hab Data Baharu Asia

Majlis Perasmian Projek Rangkaian Digital Lebuhraya telah dirasmikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari Ini. Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan Projek Rangkaian Digital Lebuhraya untuk membina dan mengendalikan kabel gentian optik di sepanjang lebuh raya, kepada MSA Resources Sdn. Bhd. (MSAR), di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Projek itu dibina di sepanjang lebuhraya di Semenanjung Malaysia secara berperingkat, melalui tiga (3) fasa pembinaan. Rangkaian Fasa 1 ialah pemasangan kabel gantian optik dari Johor Bahru, ke Bukit Kayu Hitam, Perlis, yang dijangka siap pada Disember 2022. Rangkaian Fasa 2 akan melibatkan lebuh raya di Lembah Klang. Sementara itu, rangkaian Fasa 3 akan menghubungkan negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

Infrastruktur telekomunikasi baharu ini, dengan teknologi kependaman rendah disepanjang lebuh raya utama negara, akan dapat menyediakan pengguna dengan akses lancar kepada trafik jalur lebar di peringkat domestik dan antarabangsa. Malaysia akan menjadi hab data besar yang strategik antara Singapura, Malaysia dan Thailand di rantau ASEAN. Projek teknologi termaju sebegini di Malaysia akan menarik minat pelabur asing untuk melabur dalam sektor perkhidmatan rangkaian digital, yang dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi pasca pandemik negara.

Infrastruktur rangkaian digital yang tersedia ini, liputan rangkaian jalur lebar, akses terbuka dan harga kompetitif yang diperoleh oleh semua penyedia telekomunikasi, akan memberi manfaat, bukan sahaja kepada masyarakat tempatan, tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor perkhidmatan lain. Projek ini juga akan membolehkan anjakan untuk perniagaan berubah daripada urus niaga bersemuka kepada perniagaan platform digital dan mengurangkan sempadan perniagaan dari satu tempat ke tempat lain. Secara tidak langsung, rakyat akan mendapat manfaat dengan memiliki pilihan berangan dan perkhidmatan yang lebih luas pada harga yang optimum dan kualiti yang lebih tinggi.

Pelaksanaan projek ini sememangnya tepat pada masanya dan selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dan Pelan Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). MSAR juga merupakan salah satu syarikat Bumiputera yang menyumbang kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera, di bawah Unit Kepimpinan Bumiputera, JPM. KKR pastinya akan terus memberikan kerjasama dalam bidang penambahbaikan infrastruktur rangkaian digital dan transformasi positif, seperti projek ini.

Sempena pelancaran projek itu, MSAR mengambil kesempatan mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan PLUS Berhad, Arus Restu Sdn Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Ciena Corporation, Starhub Ltd. dan GDS IDC Services Pte. Ltd. disaksikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya.

CATEGORIES

COMMENTS

2.7k
Whatsapp40.8k