RAYA TERBAIK GABUNGAN TIGA SUARA DAYANG NURFAIZAH, HANNAH DELISHA & SOPHIA LIANA

Petaling Jaya, 22 April 2022 – Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, dan Sophia Liana bakal mempersembahkan lagu raya, RAYA TERBAIK buat julung kalinya sebagai sebahagian daripada edisi Raya All Out terbitan syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

Sebelum ini, Universal Music Malaysia menerbitkan lagu Balik Kampung yang menampilkan lima vokalis dan penyanyi rap popular dan dibawakan oleh Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, ASYRAF NASIR, dan Yonnyboii. Dolla dan Hael Husaini Suara Lebaran Kita, Dato’Sri Siti Nurhaliza (Lip Lap Raya), dan The Gadys’ (Gadys Raya).

Lagu RAYA TERBAIK dicipta sepenuhnya oleh Ajay Amai, Banni Basyishar, Sophia Liana dan Ja’a.

Kerjasama Dayang Nurfaizah, Hannah Delisha, dan Sophia Liana adalah di luar jangkaan, dan ketiga-tiga bakat luar biasa ini masing-masing mempunyai laluan kerjaya tersendiri untuk diikuti.

Mengetengahkan konsep keceriaan, lagu RAYA TERBAIK mengembalikan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri kampung halaman di samping meraikannya bersama keluarga tersayang.

Ciri dan sifat vokal yang berbeza membentuk ‘mood’, yang membezakan lagu ini daripada yang lain.

Penerbit lagu RAYA TERBAIK iaitu Bani Basyisyar, lagu ini menggabungkan beberapa elemen muzik tradisional.

“Lagu ini adalah gabungan muzik inang, joget dan sedikit koplo pada bahagian korus. Rentak tradisional ini diiringi oleh alat muzik dan bunyi moden. Sudah lama lagu raya tidak menampilkan muzik sebegini dan bagi saya ia satu lagi kelainan dan keistimewaan,” katanya.

Bagi Dayang Nurfaizah, dia menyifatkan RAYA TERBAIK sebagai lagu raya yang menyeronokkan seperti yang disampaikan dalam liriknya.

Dayang Nurfaizah

“Lagu ini sangat ‘fun’, seronokdan kalau tengok lirikia lebih menunjukkan pada kemeriahan suasana hari raya. Jadi harapan saya kepada sesiapa saja yang mendengar lagu ini terutama peminat saya, kalau dengar lagu ini mereka dapat ‘vibes’ kemeriahan berhari raya bersama keluarga,” katanya.

Berkongsi mengenai gandingannya dengan Hannah dan Sophia, Dayang berkata proses rakaman berjalan lancar.

“Proses rakaman sangat senang dan semuanya berjalan lancar. Masing-masing ada bahagian. Saya masuk dulu, sementara Hannah dan Sophia rakam kemudian. Sebelum rakam saya ada juga berjumpa dengan Hannah, sebab nak tengok bahagian mana sesuai untuk saya dan untuk Hannah.  Sewaktu  rakaman  pun  sekali  dengan  komposer  dan  penerbit  untuk  lagu  ini.  Jadi proses rakaman lagu ini sangat mudah,” katanya.

Sama seperti penggambaran muzik video (MV) lagu ini, menurut Dayang ia berlangsung dalam suasana meriah seperti yang digambarkan dalam liriknya.

“Penggambaran MV ambil masa lama sebab membabitkan tiga artis. MV ini kita cuba tunjukkan suasana hari raya yang kita sambut meriah dan raikan bersama keluarga. Itu yang kita cuba sampaikan sama seperti dalam lirik lagu ini. Secara keseluruhan memang seronok walaupun penat,” katanya.

Hannah Delisha berkata, lagu RAYA TERBAIK merupakan lagu raya baharu yang berpotensi menarik perhatian peminat muzik tanah air.

Hannah Delisha

“Ini adalah lagu raya. Sudah tentu lagu ini menceritakan mengenai detik  gembira  yang  kita semua  alami semasa menyambut  hari  raya. Raya adalah mengenai berkumpul  dengan keluarga dan rakan-rakan kita.

“Jadi, lagu ini memberikan ‘vibes’ yang menyeronokkan, segar  dan sangat menarik.  Ia juga kolaborasi lagu raya  pertama  saya  dengan  dua  wanita  berbakat  dalam  industri  muzik  ini. Sangat teruja untuk semua orang mendengar lagu ini,” kata Hannah.

Pada masa sama, Sophia juga merupakan komposer bersama lagu RAYA TERBAIK dan berbangga kerana diberi peluang untuk menjayakan projek ini bersama Dayang dan Hannah.

Sophia Liana

“Saya sangat bangga, ini adalah lagu raya pertama saya. Alhamdulillah diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Dayang dan Hannah. Terima kasih Universal Music Malaysia. Sejujurnya, saya sangat teruja menjayakan projek ini,” kata Sophia pula.

Menurut Sophia, dia berdepan cabaran menghasilkan bahagian rap lagu itu.

“Cabaran nak siapkan lagu ini, pertamanya saya agak sukar untuk mencari melodi untuk rap. Sebab lagu raya, ia kena ceria dan mudah didengar. Jadi nak cari melodi dan untuk orang terima rap dalam lagu raya ini agak sukar.

“Pada mulanya saya tak jumpa melodi, tapi selepas itu Alhamdulillah diberikan ilham dapatlah jumpa melodi. Saya ambil masa sehari untuk siapkan ‘verse’ saya. Ada juga input daripada Mike Chan untuk tambah sikit pada bahagian hujung korus.

“Bagi MV pula, cabaran adalah kerana berpuasa. Jadi cepat dahaga, penat berganda dan macam-macam lagi. Tapi kita cuba untuk kuatkan diri walaupun penggambaran dari petang hingga sahur. Kami cuba juga habiskan dengan tenaga dan positiviti yang ada. Tapi perkara yang paling menarik adalah saya dapat bekerja dengan Dayang dan Hannah untuk siapkan lagu ini,” katanya.

Sophia seperti Dayang dan Hannah berpendapat lagu RAYA TERBAIK akan mendapat sambutan orang ramai.

“Harapan saya agar pendengar akan sentiasa gembira, ceria bersama keluarga, bila dengar lagu ini. Kalau boleh, banyakkan lagi video di Instagram, TikTok dengan  menggunakan lagu ini. Saya juga harapkan agar kolaborasi kami ini diterima dengan hati terbuka. Harapnya suka dengan rapper saya juga,” katanya.

RAYA TERBAIK kini boleh didapati di aplikasi penstriman antaranya, Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Pada hari Jumaat, 29 April 2022, jam 9 malam, video muzik akan ditayangkan.

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k