SEMARAK RAMADAN PRIHATIN DAN MAIWP BERSAMA WARGA ASNAF

Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) telah  bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk meraikan warga asnaf yang terdiri daripada 4 kategori dalam satu Program Kembara Ramadan Prihatin Bersama MAIWP pada hari ini. Turut diadakan penyerahan Sumbangan Baju Melayu dan Baju Kurung Raya Prihatin, Sumbangan Tunai Prihatin kepada penunggang e-hailing terdiri daripada penghantar makanan Grab Food, pemandu teksi, Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GerakWanis), Pertubuhan Badan Amal Warga Asnaf Malaysia (BAWA) dan penerima daripada Rumah Titian Kaseh yang berlangsung di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Cheras, Kuala Lumpur yang telah disempurnakan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi MAIWP.

Kembara Ramadan Prihatin merupakan salah satu program hasil inisiatif yang dianjurkan oleh PRIHATIN dalam menjalankan aktiviti sekitar bulan ramadan dengan cara menyantuni golongan B40 dan Asnaf serta golongan yang kurang bernasib baik. Antara golongan yang terlibat adalah anak-anak yatim, anak-anak tahfiz, anak-anak sindrom down, golongan gelandangan, pelajar institusi pengajian tinggi dan petugas barisan hadapan melalui pelaksanaan program seperti program Berbuka Puasa (Iftar), Tarawih, Qiamulail dan Sahur, Pengagihan Bubur Lambuk, Sumbangan Baju Raya Prihatin (Baju Melayu dan Baju Kurung) dan Penyerahan Sumbangan Zakat Prihatin.

Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, “Bulan Ramadan sewajarnya menjadi pemangkin semangat kepada setiap agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan kebajikan dalam menyahut seruan kerajaan dalam bersama sebagai ‘Keluarga Malaysia’ dengan membantu dan menyantuni semua golongan yang kurang bernasib baik.

Warga asnaf yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti pemandu dan penunggang e-hailing, anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian dan disantuni kerana mereka juga turut sama terjejas dan perlu meraikan Aidilfitri yang bakal tiba. Program yang dilaksanakan bersama MAIWP hasil kolaborasi strategik dapat menzahirkan keprihatinan dan menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat sekaligus mengurangkan beban serta berbakti kepada warga asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan.”

Manakala Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata, “Pemberian sumbangan pada hari ini menunjukkan keprihatinan, amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada MAIWP telah dilaksanakan melalui PRIHATIN dengan pengurusan dan penganjuran program Kembara Ramadan Prihatin yang memperlihatkan banyak golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dibantu dan disantuni apabila mereka menerima sumbangan Baju Raya, ayam segar dan sumbangan tunai yang boleh meringankan beban mereka terutama menjelang Aidilfitri.”

PRIHATIN melihat hasil hubungan strategik ini mampu diperkasa melalui program – program yang akan dilaksanakan melalui kerjasama bersama agensi kerajaan mahupun badan pertubuhan bukan kerajaan. Dengan kolaborasi strategik bersama MAIWP ini, PRIHATIN menyasarkan lebih banyak program yang boleh dilaksanakan dengan MAIWP dalam masa sama boleh membantu dan meringankan beban warga asnaf di Wilayah Persekutuan.

Turut hadir Datuk Mohd Ajib Bin Ismail (Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), Encik Mohd Nizam Bin Hj. Yahya (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP), Datuk Abdul Malik Abdullah (Penasihat Ekonomi dan Antarabangsa PRIHATIN), Encik Mahadi Bin Sukarno (Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP) dan Encik Ahmad Talmizi Bin Yahaya (Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP).

CATEGORIES
2.7k
Whatsapp40.8k