SEMARAKKAN AIDILFITRI DENGAN ‘BALIK RAYA’ DARI TRIO ARTIS ROCKETFUEL ENTERTAINMENT

Artis-artis wanita popular tanah air naungan Rocketfuel EntertainmentNadeera, Wani Kayrie dan Indah Ruhaila bakal menyemarakkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini dengan sebuah single Raya yang akan menghiburkan berjudul ‘BALIK RAYA’ hasil ciptaan komposer muda berbakat, Rushdan.

Lagu Raya dalam nuansa pop moden dengan elemen klasik ini telah mengambil masa selama 2 bulan untuk dihasilkan secara berperingkat melalui proses rakaman secara berasingan bagi setiap artis yang terlibat, dan kemudiannya digabungkan menjadi sebuah karya yang lengkap.

Sempena sambutan Hari Raya dan pelancaran muzik video (MV) BALIK RAYA yang diadakan di Centre Court, Pavilion Bukit Jalil, Rocketfuel Entertainment & Pavilion Bukit Jalil selaku tuan rumah mengadakan  tontonan istimewa dan iftar khas bersama rakan-rakan dari media.

Bagi pendatang baharu, Nadeera, pengalaman merakamkan lagu Raya pertamanya merupakan momen yang tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila dan bakal menjadi kenangan manis, “Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan gembira kerana dapat menghasilkan lagu Raya ini bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Wani Kayrie dan juga Indah Ruhaila.

“Sebagai artis baharu, Raya kali ini lebih istimewa kerana mendapat ucapan Raya daripada peminat-peminat saya dan sambutan Aidilfitri kali ini mungkin tidak banyak bezanya kerana setiap tahun saya akan bersama keluarga dan memilih untuk bersederhana sahaja.

Menurut Wani Kayrie, sesibuk mana pun kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari, apabila menjelang hari perayaan pastinya kita akan pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga, “Sebagai anak seni yang bekerjaya dalam mencari rezeki, bila tibanya Hari Raya pasti saya akan meluangkan masa untuk pulang ke kampung halaman di Sandakan, Sabah bertemu dengan keluarga tercinta.

“Pengertian BALIK RAYA itu bukan sahaja semata-semata pulang ke kampung, namun lebih lagi, sebagai umat Islam kita hanya merayakan Lebaran setahun sekali, rebutlah peluang ini untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga, manfaatkanlah masa bersama dengan sebaiknya, pengertian bahagia itu hanya dengan bersederhana, bukannya serba-serbi baharu tetapi lebih mensyukuri dengan adanya orang-orang tersayang kerana pasca bencana COVID-19 yang lalu, ramai yang kehilangan ahli keluarga.

Namun buat pelantun lagu ‘Indah’, Indah Ruhaila, sebagai ahli terbaharu keluarga besar Rocketfuel Entertainment, pengalaman merakamkan muzik video (MV) BALIK RAYA pastinya tidak akan dilupakan, “Bayangkan kami melakukakan proses penggambaran MV selama 24 jam! Kesemuanya wrap sekitar jam 5 pagi dan dilakukan sebelum bulan puasa lagi di Sekinchan. Paling seronoknya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan artis lain di bawah satu bumbung. 

“Dan lebih menarik lagi, Wani dan saya sempat mencipta koreografi sendiri sewaktu penggambaran dan semoga menjadi dance challenge di media sosial nanti.

Indah juga turut berkongsi pengalaman berniaga di Bazaar Ramadhan ketika berumur 15 tahun, “Waktu itu, best gila, walaupun kadang-kadang hujan dan paras air naik, saya tetap meneruskan perniagaan bersama keluarga dan pengalaman itulah yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, selain dapat berjumpa sanak-saudara dan berkumpul beramai-ramai di hari bahagia.

Ulas En. Prem Anand, selaku Ketua Rocketfuel Entertainment, “Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, Rocketfuel pasti ada buah tangan terbaharu setiap kali bulan Ramadhan menjelma, dan demi menyemarakkan bulan puasa pada tahun ini, kami gandingkan 3 artis sekaligus untuk hiburan anda semua.

“Semoga lagu ini terus terpahat di ingatan pendengar semua setiap kali Hari Raya dan terus trending di media sosial.

Nadeera, Wani dan Indah masing-masing sepakat berharap agar lagu ini akan berkumandang setiap kali Hari Raya menjelma serta menjadi siulan ramai orang dan terus menjadi evergreen, kata Wani, “Semoga lagu BALIK RAYA dari trio wanita-wanita hebat Rocketfuel ini dapat diterima baik oleh semua pendengar kerana melodinya yang easy-listening dan malar segar.

Lagu ‘BALIK RAYA’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k