SEPANJANG BULAN KEMERDEKAAN TV ALHIJRAH SANTUNI ROHANI DAN JASMANI PENONTON

Jasa perajurit negara yang telah bertungkus lumus mempertahankan negara sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir mengajar kita untuk selalu menghargai peristiwa bersejarah yang tercatat pada 31 Ogos 1957 ini.

Hari kemerdekaan Malaysia juga menjadi agenda besar rakyat Malaysia saban tahun kerana peranannya sebagai asas pembinaan jati diri Malaysia dan semangat kebangsaan.

Mengambil kira peri pentingnya sambutan bulan kemerdekaan ini, TV AlHijrah mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai rancangan ilmiah terbaik bermula 14 Ogos 2023 sehingga 3 September 2023 bagi mentahqiqkan erti kemerdekaan yang sebenar melalui konsep yang diajar oleh Islam.

Sebanyak lapan rancangan terbaik ditayangkan khusus bagi meraikan bulan istimewa ini. Rancangan-rancangan tersebut adalah rancangan Assalamualaikum Istimewa Merdeka, Kapsul Inspirasi, Dakwah Live, Ulama Kemerdekaan, Quran@114, Hijrah Berselawat Merdeka, Waalaikumussalam, dan Filem Ketika Cinta Bertasbih. Kesemua barisan rancangan ini memberi penumpuan terhadap aspek spiritual yang membantu penonton menghayati serta mendalami ilmu agama Islam yang syumul dengan suntikan semangat patriotisme.

Sebagai permulaan, rancangan bual bicara pagi Assalamualaikum akan menemui penonton setiap hari, jam 7 pagi hingga 10 pagi. Saksikan perbincangan topik-topik malar segar yang dikupas bersama para asatizah yang komited dalam membangun dan memperkukuh institusi Islam.

Seterusnya, Kapsul Inspirasi akan menemui penonton pada setiap hari, jam 7.25 malam.  Program yang berkonsepkan tazkirah ringkas ini membicarakan tentang hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan sejahtera. 

Bagi penggemar rancangan bual bicara, Dakwah Live akan menemui penonton pada 30 Ogos, Rabu, jam 9 malam. Kali ini, Ustaz Faiz Fateh Bersama Dua’t Al-Falah akan mengupas topik-topik penyatuan umah seperti Prinsip dan Penghayatan Madani Dalam Kehidupan, Kepentingan Tabayyun Dan Elak Sentimen Politik Memecahbelahkan Perpaduan, Bahaya Takfiri, Hormati Pemerintah Dan Pilihan Rakyat dan Kepentingan Jadi Masyarakat Berilmu Bukan Ketaksuban.

Sejurus tamat Dakwah Live, Rancangan berjudul Ulama Kemerdekaan pula akan disiarkan pada jam 10 malam. Rancangan ini membawa penonton mengenang kembali kejerihan para ulama dalam menyebarluas pendidikan secara menyeluruh, antaranya dalam bidang agama, sains, matematik dan lain-lain supaya masyarakat tidak ketinggalan dan terus maju kehadapan.

Bulan kemerdekaan di TV AlHijrah tambah istimewa dengan episod khas Quran@114 yang disiarkan pada Khamis, 31 Ogos, jam 11 pagi. Quran@114 sebuah rancangan yang menjadi panduan sekaligus membantu memupuk rasa cinta terhadap al-Quran. Rancangan ini dikendalikan oleh mualim yang hebat di dalam bidang al-Quran iaitu ustaz Husaini Mahmur, Ustaz Fahmi Ashraff, Imam Muda Hasan dan ramai lagi ahli al-Quran lain.

Hijrah Berselawat Merdeka yang bertemakan Wahdatul Ummah akan menemui penonton pada 31 Ogos, jam 9 malam. Rancangan ini menghimpunkan selebriti tanah air seperti Mawi, Inteam, Unic, Lah Ahmad dan ramai lagi dalam berselawat serta berqasidah. Turut dimuatkan adalah tausiah yang akan disampaikan Ustaz Ahmad Shahdan Al-Hadrami dalam memahami istilah kemerdekaan dari kaca mata Islam.

Sebagai tambahan, rancangan baru dengan judul Waalaikumussalam akan menemui penonton bermula 1 September, Jumaat, jam 11.30 malam. Program ini bertujuan untuk mendidik masyrakat Islam Malaysia agar sentiasa mengakhiri malam mereka dengan sesuatu yang mahmudah dan mengelak melakukan perkara yang mazmumah.

Filem Ketika Cinta Bertasbih pula akan disiarkan pada pada 3 September, Ahad, jam 9 malam.

Ketika Cinta Bertasbih mengisahkan tentang kerja keras Khairul Azzam yang menuntut ilmu sekaligus berjuang menyara hidup ibu dan adik-adiknya di kampung. Khairul Azzam akhirnya bertemu dengan jodohnya dan tetap selalu teguh pendirian kepada ajaran Islam.

Kesemua program istimewa ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi digital TV AlHijrah iaitu AlHijrah Plus. Jadi, ayuh bersama memupuk semangat patriotisme di dalam diri kita semua dengan menonton TV AlHijrah sepanjang bulan kemerdekaan ini.

CATEGORIES
TAGS
2.7k
Whatsapp40.8k