
“Setia” Dua Cara: Fian Ali Uji Sisi Berbeza Cinta
Sudah bersedia untuk menyentuh sisi emosi pendengar, Fian Ali tampil dengan karya terbaharunya berjudul Setia, sebuah lagu balada yang sarat makna hasil ciptaan Amir Jahari dan lirik oleh beliau bersama penulis prolifik, Datuk Ayu Puteh. Keistimewaan Setia bukan sekadar pada melodinya yang meruntun jiwa, malah ia hadir dalam dua versi berbeza – satu perlahan dan mendalam, satu lagi lebih rancak namun tetap menggenggam mesej yang sama.
Lagu ini dipilih sebagai runut bunyi bagi drama bersiri popular TV3, Bukan Sekadar Lafaz 2, dan mengangkat tema kesetiaan serta pengorbanan yang tidak mengenal syarat. Ia menggambarkan kekuatan hati yang terus bertahan meskipun dilukai berkali-kali. Menurut Fian, Setia bukan semata-mata lagu sedih. “Kesedihan itu bukan hanya tentang air mata. Kadang-kadang ia hadir dalam bentuk keteguhan hati. Lagu ni sangat dekat dengan realiti,” luahnya jujur.
Proses rakaman lagu ini menyaksikan beberapa cabaran, termasuk keadaan kesihatan Fian yang kurang baik ketika sesi pertama dijalankan. Nasihat yang diterima daripada Amir Jahari menjadi titik tolak penting dalam pembikinan lagu ini. “Amir selalu tekankan soal rasa. Katanya, nyanyian bukan soal kesempurnaan suara semata-mata, tapi bagaimana emosi itu sampai kepada pendengar,” cerita Fian, yang menganggap kolaborasi ini sebagai pengalaman penuh nilai.
Dari sudut pandang Amir Jahari pula, lagu ini benar-benar dihasilkan dengan karakter Fian dalam fikiran. “Fian punya aura tersendiri – sopan, berprinsip, dan tegas. Lagu ni memang direka khusus untuk dia. Suaranya buat saya terinspirasi untuk hasilkan dua versi yang berbeza,” ujar Amir, yang mendapat ilham sewaktu berada di Yogyakarta, Indonesia.
Kemunculan Setia memperlihatkan kematangan Fian sebagai seorang penyanyi dan pengkarya. Dengan dua versi yang menawarkan pengalaman emosi yang berlainan, lagu ini membuka lebih banyak ruang untuk pendengar memahami makna cinta sejati dari sudut yang lebih mendalam. Kini boleh dinikmati di semua platform digital utama, Setia bukan sekadar lagu cinta – ia adalah cerminan kekuatan hati yang terus setia, walau diuji.
Ikuti perkembangan lanjut tentang Fian Ali dan projek muziknya menerusi saluran rasmi Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.