
Shukri Yahaya & Kisah Kopi dalam Bru oleh Nik Amir Mustapha
Apa jadi bila seorang mover yang bercita-cita tinggi ingin jadi tauke kopi, tapi poket kosong? Tonton dengan bangganya mempersembahkan Bru, sebuah drama komedi segar yang mengetengahkan kisah perjuangan, persahabatan dan cita-cita dalam dunia perniagaan kopi jalanan. Karya terbaharu arahan Nik Amir Mustapha ini akan mula ditayangkan bermula 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis secara eksklusif di Tonton.
Bru, sebuah drama bersiri 10 episod terbitan Lumatic Films, menampilkan Shukri Yahaya sebagai Shah, seorang mover yang hidup serba sederhana namun dipenuhi dengan impian besar untuk berjaya dalam dunia kopi. Minatnya yang mendalam terhadap kopi dan cita-cita untuk membuka perniagaan sendiri menjadi pemangkin kepada perjalanan mencabar yang penuh warna. Namun, impian Shah terbantut apabila dia menyedari satu realiti pahit – dia tiada modal. Satu-satunya aset yang tinggal hanyalah sebuah van lama milik arwah bapanya dan semangat yang tidak pernah luntur.
Dengan bantuan sahabat sejatinya, Ajan – lakonan mantap oleh Amerul Affendi – serta Hani, seorang barista berbakat yang ingin berdiri atas kaki sendiri, lakonan Siti Hariesa, Shah mengubah van tersebut menjadi sebuah kafe bergerak. Dari situlah bermulanya kisah suka duka tiga sahabat ini dalam menempuh cabaran dunia perniagaan. Mereka perlu berdepan dengan pelbagai konflik – dari persaingan sesama peniaga, kerenah pelanggan elit, hingga masalah teknikal yang tidak berkesudahan. Malah, sikap Shah yang mudah naik angin turut menguji hubungan dan kepercayaan antara mereka.
Lebih dari sekadar kisah tentang kopi, Bru menyajikan naratif tentang impian, pengorbanan dan erti sebenar persahabatan. Dalam mengejar kejayaan, Shah perlu membuat pilihan antara mengejar cita-cita atau menjaga hubungan dengan mereka yang menyokongnya sejak awal. Menurut Shukri Yahaya, watak Shah cukup dekat dengan realiti kehidupan ramai individu hari ini. “Shah bukan sekadar tauke kopi, dia lambang semangat untuk bangkit dan berani mencuba walaupun tahu risikonya besar. Saya yakin ramai yang boleh kaitkan diri mereka dengan perjuangan watak ini,” jelasnya. Tambahnya lagi, Bru juga menandakan kemunculan semulanya dalam dunia drama selepas berehat seketika dan berharap agar penonton akan menyambut kembalinya dengan hangat.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama yang penuh dengan gelak tawa, cabaran serta momen menyentuh hati ini. Bru akan menemui penonton bermula 1 Mei 2025, setiap Isnin dan Khamis, hanya di Tonton. Strim episod baharu melalui www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini tentang Bru dan drama kegemaran anda yang lain, ikuti laman sosial rasmi Tonton di Facebook, Instagram dan Twitter menerusi @TontonMY.