SIRIM Berhad dan Ensu Lifesciences Tandatangani Perjanjian Pelesenan untuk Mempercepatkan Inovasi Teknologi

SIRIM Berhad dan Ensu Lifesciences Tandatangani Perjanjian Pelesenan untuk Mempercepatkan Inovasi Teknologi

 

SIRIM Berhad terus berinovasi dan mendorong kemajuan dalam teknologi dengan memeterai perjanjian perkongsian strategik bersama Ensu Lifesciences Sdn Bhd (ELSB). Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA) ini menandakan satu langkah penting dalam pemindahan teknologi dan pengkomersialan inovasi dalam bidang penjagaan kulit, khususnya dalam kawalan jerawat dan parut, serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang progresif dan berteraskan inovasi.

Majlis penandatanganan yang diadakan pada hari ini menggambarkan komitmen SIRIM untuk memperkukuhkan keupayaan dan kapasiti industri tempatan dalam pelbagai domain teknologi. Melalui perkongsian ini, SIRIM turut memperkenalkan kepakaran saintifik termaju dalam penyelesaian rawatan jerawat yang lebih efektif dan mesra pengguna.

Teknologi yang dipindahkan adalah berkesan dalam memerangi jerawat serta mengurangkan pembentukan parut melalui kandungan antioksidan yang tinggi. Formulasi yang dihasilkan adalah selamat, tidak toksik, dan bebas daripada bahan kimia atau agen berbahaya, menjadikannya pilihan yang tepat untuk golongan muda dan dewasa yang menghadapi masalah jerawat, serta klinik-klinik dermatologi dan penjagaan kulit.

Perjanjian tersebut disaksikan oleh Ir. Ts. Dr. Muhammad Izzal Ismail, Ketua Pegawai Teknologi SIRIM Industrial Research dan Nur Farzana Suhana @ Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Ensu Lifesciences Sdn Bhd. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Dr. Fazilah Fazan, Pengarah Kanan Pusat Sains Hayat, SIRIM Industrial Research, dan Puan Nur Faizureen Suhana @ Husin, Pengarah Ensu Lifesciences Sdn Bhd.

Ir. Ts. Dr. Muhammad Izzal Ismail dalam ucapannya menekankan bahawa SIRIM sebagai agensi yang diberi mandat oleh kerajaan berperanan untuk memajukan penyelidikan dan pembangunan industri, memperbaiki proses teknikal, dan menggalakkan penggunaan produk serta teknologi yang dihasilkan di Malaysia.

“Kerjasama ini adalah contoh nyata peranan utama SIRIM dalam mengkomersialkan teknologi. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Ensu Lifesciences Sdn Bhd untuk membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam perkembangan perniagaan mereka. Perjanjian ini tidak hanya menyokong inovator tempatan, tetapi juga menghubungkan industri dengan penyelesaian teknologi canggih,” kata beliau.

Dr. Suhana @ Husin, Pengerusi Eksekutif Ensu Lifesciences Sdn Bhd, turut mengulas mengenai kerjasama ini dan menyatakan, “Perkongsian kami dengan SIRIM Berhad adalah bukti komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian. Teknologi yang dilesenkan, yang mengandungi bahan-bahan semulajadi seperti limau purut, kayu manis, dan enzim bromelain, merupakan bukti dedikasi kami dalam menyediakan penyelesaian penjagaan kulit yang berkualiti tinggi dan terbukti secara saintifik, serta memenuhi keperluan sebenar pengguna.”

Dengan adanya perjanjian ini, SIRIM dan Ensu Lifesciences Sdn Bhd bertekad untuk terus membawa perubahan yang positif dalam industri penjagaan kulit di Malaysia dan seterusnya di peringkat antarabangsa.

CATEGORIES
TAGS
Share This