ST12 BERKOLABORASI BERSAMA HAZAMA DI ZEPP KL PADA 10 NOVEMBER

Kekuatan jenama ST12 tidak boleh dipertandingkan selepas dua dekad, kerana populariti kumpulan pop Melayu yang ditubuhkan di Bandung, Indonesia pada 2004, terus konsisten sepanjang zaman.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap itu, semangat juang Ilham Febry atau Pepep (dram) dan Muh. Indra Gunawan atau Indra (bass) mempertahankan jenama ST12 supaya kekal sebaris band popular Indonesia lain tidak pernah sirna.

Percaya dengan keutuhan jenama yang sudah dua dekad bertapak itu, didukung kekuatan muzik yang menjadi sandaran utama untuk terus mendekati peminat, ST12 bersedia kembali dengan semangat baharu.

Semangat itu bakal diterjemahkan Pepep dan Indra menerusi ST12 Live InMalaysia di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November depan yang akan menampilkan Firman Siagian dan juara Indonesian Idol musim kelima, Aris pada posisi vokalis.

Bagi Pepep, ST12 tidak sekadar sebuah band, sebaliknya dia dan Indra mbertekad untuk memastikan jenama yang sudah terpahat hampir 20 tahun itu kekal relevan serta terus bertahan.

Mengulas penampilan Aris sebagai vokalis untuk konsert tersebut, selain mengekalkan Firman yang pernah mengukuhkan nama ST12 menerusi single Kepingan Hati pada 2019, Pepep berkata, siapapun yang terpilih untuk menggalas peranan itu, posisi ST12 tetap dipertahankan.

“ST12 bukan lagi sekadar sebuah band, sebaliknya ia sudah menjadi sebuah jenama. Justeru, sesiapapun yang menggalas peranan sebagai vokalis, jenama ST12 tetap dibawa bersama.

“ST12 sentiasa mencuba dengan membuka kesempatan untuk berkolaborasi dengan semua penyanyi berbakat hebat. Alhamdulillah,usaha ST12 berhasil apabila kerjasama kami dengan beberapa penyanyi terdahulu meraih sukses luar biasa,” katanya.

Sebagai contoh katanya, percubaan ST12 menampilkan Ridho menerusisingle Putih Putih Melati pada 2013 berjaya mencatat 16 platinum di Asia, disusuli kolaborasi bersama Firman menerusi Kepingan Hati yang melakar 10 platinum.

Sehubungan itu, mereka tidak gentar mempertaruhkan Aris untuk meneruskan legasi muzik ST12 menerusi single Cukup Sampai Di Sini yang ketika ini masih lagi hangat dipromosikan di Indonesia.

“ST12 cuba menawarkan karya terbaik kepada semua penggemar muzik di rantau ini tanpa menggantungkan seluruh kekuatan kepada penyanyi semata-mata.

“Jenama ST12 sudah sebati dengan peminat di rantau Nusantara dan kepercayaan yang diberikan untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur menerusi ST12 Live In Malaysia memberikan kami semangat baharu untuk terus berkarya,” katanya.

Dibawakan My Legacy Entertainment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Laskhar Entertainment, ST12 Live In Malaysia turut menampilkan penyanyi popular Malaysia, Hazama.

Pepep berkata, pemilihan Hazama bertepatan dengan usaha mereka yangmahu menyatukan pengkarya antara dua negara serumpun, selain memperluaskan lagi pengaruh muzik ST12 dengan mendekati kelompok peminat baharu.

Kemunculan Hazama dalam konsert tersebut katanya, secara tidak langsung menjadi pemacu dalam merancakkan siri promosi single kolaborasi mereka, Harapan Tak Kunjung Usai.

“Kami mahu menyajikan sesuatu yang segar dan berbeza buat peminat dikedua-dua negara. Pencinta muzik baik di Malaysia, mahupun di Indonesia mempunyai cita rasa yang sama.

“Malah, genre muzik pengkarya di kedua-dua negara juga hampir sama. Itu menjadi antara faktor utama yang mendorong ST12 untuk berkolaborasi dengan Hazama. Mudah-mudahan usaha kami diterima, apatah lagi karakter vokal Hazama begitu serasi dengan melodi lagu ini.

“Sekiranya ingin tahu bagaimana karakter muzik ST12 apabila Bersatu dengan Hazama di pentas, jangan lepaskan peluang mendapatkan tiket ke konsert ini,” katanya.

Harapan Tak Kunjung Usai dilancarkan di Indonesia pada 5 September ini, seterusnya diperkenalkan kepada peminat di negara ini pada 18 September depan.

Sementara itu, Hazama yang berbesar hati dengan peluang diberikan menyifatkan kolaborasi bersama ST12 sebagai ruang terbaik untuk memperkenalkan bakatnya di negara jiran.

“Siapa yang tidak kenal ST12? Saya sendiri mengagumi kekuatan muzik mereka yang berjaya menyatukan peminat di kedua-dua negara. Apabila diberi kesempatan besar seperti ini, pastinya saya menyambut dengan tangan yang terbuka.

“Kolaborasi ini juga membuka ruang untuk saya meneroka pasaran baharudengan lebih agresif, sekaligus membantu saya memahat nama dengan lebih kukuh di Indonesia,” katanya.

Tiket menyaksikan ST12 Live In Malaysia pada harga RM139 (Kepingan Hati), RM169 (Puspa), RM229 (Cukup Sampai Di Sini), RM289 (Putih Putih Melati) dan RM4099 (Jalan Terbaik – Royal Box VVIP) boleh diperoleh menerusi pautan: www.ticket2u.com.my/st12.

CATEGORIES
Share This