StatsDW Pemacu Inovasi Sistem Pengurusan Gudang Data Kerajaan

YB Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merasmikan Statistics Data Warehouse (StatsDW) bertemakan “Brings Data to Life” yang dilancarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

StatsDW merupakan sistem pengurusan gudang data yang berperanan sebagai pusat simpanan data ekonomi dan sosial daripada pelbagai banci dan survei yang dilaksanakan oleh DOSM.  StatsDW membolehkan capaian pantas dan mudah kepada data siri masa yang disimpan dan menyediakan akses yang lebih luas kepada pengguna mengikut keperluan dan tahap capaian yang dibenarkan.  Selain berfungsi sebagai storan data, pengguna boleh meneroka dan melaksanakan analisis dengan lebih berkesan melalui platform interaktif seperti eDataBank, Data Visualisation dan Mobile Discovery yang telah disediakan.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, “Statistics Data Warehouse (StatsDW) merupakan platform yang memaparkan maklumat dalam bentuk yang interaktif merangkumi modul Insightful Business Intelligence (eDatabank dan Data Visualisation), Virtual MyLab dan Actionable Analytics yang boleh diakses oleh semua pengguna umum secara percuma melalui portal DOSM. Ini merupakan inisiatif DOSM dalam memperkukuhkan sistem pengurusan data kerajaan supaya lebih dinamik dengan liputan data yang lebih luas, pengurusan data yang efisien dan penggunaan teknologi dan sekuriti data yang terkini. StatsDW telah mula beroperasi pada November 2016. Namun, seiring dengan perubahan teknologi dan peranan DOSM sebagai pusat repositori statistik dalam Sistem Statistik Negara, DOSM telah menaik taraf StatsDW menerusi pembangunan StatsDW 2.0 bermula tahun 2020.”

Menurut beliau lagi, “Berbanding StatsDW Fasa 1, sistem StatsDW 2.0 mengetengahkan tiga modul baharu iaitu Smart Data Partnership (SDP), Smart Data Lake Management (SDLM) dan Smart Data Communication (SDC).  Modul SDP menyediakan platform standard dan selamat bagi proses pemerolehan data secara sistematik ke dalam persekitaran StatsDW 2.0. Modul SDLM pula berperanan sebagai lokasi pusat penyimpanan data dan memperkasa pengurusan metadata. Manakala, modul SDC dibangunkan bagi memenuhi perkhidmatan penyebaran data kepada pengguna melalui pelbagai platform yang berbeza. Menerusi pembaharuan ini, ianya akan meningkatkan sistem penyampaian statistik, memudahkan pengurusan metadata serta mengurus tadbir perkongsian data, komunikasi, penganalisaan dan analitik”.

Ketua Perangkawan menyatakan, “StatsDW 2.0 juga merupakan satu solusi bagi menampung limpahan data dari pelbagai sumber di mana data sebagai komoditi bernilai tinggi ini turut tersedia di pelbagai agensi. Limpahan data ini memerlukan pengurusan data secara cekap dan bersepadu serta kerangka yang efektif ke arah pengeluaran statistik yang holistik. Seiring dengan evolusi teknologi, StatsDW 2.0 dibangunkan untuk mendukung perubahan platform integrasi dan koordinasi data bervolum tinggi yang lebih berkesan serta selari dengan era kerajaan digital dan data raya. Selain itu, ia juga dapat
menggalakkan perkongsian data antara agensi sektor awam, meningkatkan budaya penggunaan data dan memberi nilai tambah bagi penghasilan data yang berkualiti.”

Mengulas lanjut beliau turut menambah, “Melalui StatsDW 2.0, pengguna data diberi akses kepada pelbagai jenis analitik yang berbeza sebagai pilihan.  Antaranya, menerusi Insightful Business Intelligence, kedua-dua pengguna dalaman dan luaran DOSM boleh memaparkan dashboard dan laporan yang boleh dimuat turun. Pada masa yang sama, StatsDW 2.0 mampu menjadi medium pengkayaan kemahiran pembangunan kapasiti saintis data DOSM dan sektor awam dengan penggunaan advanced statistical tools dalam menghasilkan analisis statistik rasmi negara.”

Tambah beliau lagi, “StatsDW turut mengandungi historical data pelbagai dimensi yang dapat mempertingkatkan kualiti analisis data seterusnya dapat memberikan sudut pandangan yang lebih tepat kepada penggubal dasar, pengguna data dan penganalisis.  Isu global yang sedang dihadapi negara
seperti sekuriti makanan, kenaikan harga barang dan guna tenaga susulan pelbagai krisis termasuk kesihatan dan impak isu geopolitik telah mengakibatkan kesan secara langsung kepada kestabilan taraf hidup rakyat.  Isu-isu tersebut sudah tentu akan diterjemah kepada statistik yang disusun dan disebarkan oleh DOSM seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Indeks Harga Pengguna, Perangkaan Perdagangan Luar Negeri dan sebagainya.  Dengan ketersediaan pelbagai statistik dalam satu medium gudang data di DOSM, analisis data dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan efisien.  Secara tidak langsung, informasi yang diperolehi akan dapat merancakkan perbincangan dan tambahan koleksi kajian oleh pembuat dasar khususnya bagi merungkai permasalahan dalam negara seterusnya menggubal polisi yang tuntas demi kesejahteraan rakyat.”

Ketua Perangkawan juga menyatakan hasrat, “Melalui pelaksanaan StatsDW 2.0 ini juga diharap pelbagai lapisan masyarakat lebih peka dan memahami kepentingan statistik serta peranannya dalam membantu penghasilan serta pengeluaran maklumat yang tepat untuk pembangunan negara. Saya percaya StatsDW 2.0 amat relevan dan dapat memanfaatkan komuniti statistik dan masyarakat dalam meningkatkan literasi penggunaan dan pemahaman statistik selain mampu membantu kerajaan dalam proses pemulihan ekonomi menerusi paparan maklumat statistik terkini dan menyeluruh.”

Statistics Data Warehouse boleh diakses melalui statsdw.dosm.gov.my.

 

CATEGORIES

COMMENTS

2.7k
Whatsapp40.8k