Tag: #AzizHarun

  • Kejayaan Duet ‘Jarak’: Aisha Retno dan Aziz Harun Kembali dengan Lagu Istimewa ‘Ketipak Ketipung Raya’

    Setelah kejayaan lagu duet mereka ‘Jarak’ tahun lepas, Aisha Retno dan bintang dari Brunei, Aziz Harun, kini bergabung sekali lagi untuk menyajikan sebuah karya istimewa bertajuk ‘Ketipak Ketipung Raya’ sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

    Lagu yang dicipta dan ditulis oleh Aziz Harun, Aisha Retno bersama dengan bantuan Romeo serta Glowrush selaku penerbit ini sebenarnya merupakan sebuah projek spontan yang tidak dijangka.

    “Ia sebuah lagu yang lahir secara spontan pada tahun lalu. Pada saat itu saya teringin mempunyai sebuah lagu raya saya sendiri kerana tidak mahu ketinggalan. Dan saya ingin menjadikannya kandungan di platform media sosial TikTok. Kebetulan pada waktu itu saya sedang bekerjasama dengan Aisha Retno untuk lagu Jarak, jadi saya bertanya pada Aisha jika dia sudi bantu menulis lagu ini bersama. Aisha bersetuju dan kami pun menyiapkan apa yang sempat dan memperkenalkannya di media sosial.

    Kami tak menyangka lagu itu mendapat sambutan yang baik dari para pengikut kami di media sosial, khasnya di laman TikTok. Lantas kami mengambil keputusan untuk merakamkan dan menyiapkannya dengan betul supaya dapat dilancarkan tahun ini sebelum Aidilfitri,” jelas Aziz Harun.

    Saat ditanya apakah maksud di sebalik lagu ini, kedua-dua artis ini memberitahu bahawa pesanan yang disampaikan sebenarnya sangat mudah, iaitu tentang persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    “Ia memaparkan tema-tema umum yang sering ditampilkan dalam banyak lagu raya yang lain. Ia menggambarkan kekecohan persiapan di pagi raya sambil bertanyakan hal-hal biasa seperti sudahkah baju raya dibeli, sama ada juadah hari raya sudah siap dan sebagainya. Ia juga mencerminkan keseronokan suasana berhari raya tanpa mengira status dan generasi. Dari situ jugalah saya memasukkan unsur tradisional lagu ini, iaitu rentak Joget untuk menjadikannya lebih rancak dan menarik,” ujar Aisha Retno pula.

    Malah, kedua mereka bersetuju menyatakan bahawa proses rakaman lagu ini tidak banyak halangan dan berjalan dengan sangat lancar.

    “Proses rakaman sebenarnya sangat cepat. Pihak pengurusan saya menguruskan pertemuan dengan Aisha serta Glowrush penerbit kami, dan kami menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja. Kami masing-masing hanya memerlukan tiga jam setiap seorang untuk proses rakaman vokal di dalam studio.”

    “Saya masih ingat ia terjadi pada hari Ahad dan lagu itupun sudah hampir siap kerana kami hanya perlu memasukkan bahagian ‘bridge’ dan rangkap kedua kerana bahagian pertama lagu sudah pun dikeluarkan di media sosial pada tahun sebelumnya,” tambah Aziz lagi.

    Mereka berdua juga senang bekerjasama kerana keserasian sudah wujud sejak berduet lewat lagu Jarak lagi. Bezanya hanyalah tema lagu duet kali ini adalah lagu Hari Raya.

    “Aziz seorang yang sangat berbakat dan kami berkongsi minat yang sama dalam muzik. Dengan hasil kerjanya yang terbukti hebat dan komitmennya yang berterusan, saya tidak ragu-ragu untuk berkolaborasi lagi dengannya. Lagipun saya memang dah lama inginkan lagu raya sendiri dan sekarang terhasillah duet ini dan saya rasa ia mampu pergi jauh sebagai salah satu koleksi duet kami bersama,” ungkap Aisha penuh gembira.

    Lagu ini turut menampilkan sebuah video muzik yang dirakam dalam sekali harung sahaja.

    “Ia dirakam sekali harung dan menampilkan warga kerja Faithful Music, iaitu syarikat rakaman naungan Aziz Harun. Suasana yang ditampilkan juga sangat santai dan berjalan dengan lancar. Ini kali pertama Aziz dan saya merakam video muzik secara sekali harung dan hanya perlukan beberapa tangkapan semula sahaja. Tapi saya memang tak sabar melihat reaksi penonton yang bakal menyaksikan keakraban yang kami tampilkan dalam video muzik ini,” tambah Aisha lagi.

    “Kami berharap semua yang sudah menantikan lagu ini sejak tahun lalu berpuas hati dengan hasil yang kami usahakan. Kami juga berharap ia akan menjadi lagu malar segar yang akan sentiasa diingati untuk masa-masa akan datang. Kami seronok menghasilkannya dan harap pendengar juga akan berasa seronok mendengarnya,”bingkas Aziz.

    “Saya pula harap anda semua akan menyukai lagu Raya pertama kami ini yang juga memberi penghormatan kepada rentak joget. Saya sengaja menampilkan unsur joget dalam lagu ini dan memberi sedikit nafas baharu supaya ia bakal lebih diminati dan dihargai, khasnya di laman media sosial seperti TikTok,” kata Aisha menutup bicara.

    Bakal dikeluarkan pada tarikh 22 Mac 2024 jam 12 pagi waktu Malaysia, ‘Ketipak Ketipung Raya’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.

    Kredit:

    Artis: Aisha Retno & Aziz Harun

    Tajuk: Ketipak Ketipung Raya

    Produser: Glowrush

    Komposer:  Aisha Retno, Aziz Harun, Glowrush

    Penulis Lirik: Aisha Retno, Aziz Harun, Glowrush

    TENTANG FAITHFUL MUSIC

    Diasaskan oleh Faizal Tahir pada 2015, Faithful Music Sdn. Bhd. (FAITHFUL) merupakan syarikat rekod, penerbit muzik, dan rumah produksi terkemuka. Berkomitmen membina bintang dan mencipta hit, FAITHFUL menekankan kuasa muzik menyatukan. Melalui inovasi dan kepelbagaian, ia merangsang kolaborasi unik dan memberi perhatian teliti kepada artis, penulis dan kliennya. FAITHFUL percaya muzik sebagai bahasa universal kedamaian, bertujuan menghubungkan budaya dan memupuk komuniti berdasarkan etosnya.

    TENTANG SONY MUSIC ENTERTAINMENT

    Di Sony Music Entertainment, kami menghormati perjalanan seni. Para pencipta kami membentuk perubahan, budaya, komuniti dan sejarah. Kami telah memainkan peranan penting dalam sejarah muzik. Perjalanan kami bermula dari menubuhkan syarikat rakaman muzik pertama sehingga mencipta rakaman cakera padat. Kami telah membimbing ramai artis ikonik dalam dunia seni muzik dan menerbit beberapa buah rakaman yang berpengaruh sepanjang zaman. Sony Music Entertainment kini mempunyai lebih dari 100 cawangan syarikat di seluruh dunia untuk menyokong pelbagai pencipta yang berbakat pada setiap peringkat serta di setiap pentas persembahan. Di samping muzik, hiburan dan teknologi, kami juga membawa imaginasi, kepakaran kepada platform dan model perniagaan yang baharu serta peluang untuk menembusi pasaran luar. Semua usaha ini adalah untuk menyokong eksperimen, pengambilan risiko dan kemajuan komuniti kreatif. Sony Music Entertainment telah menerapkan prinsip perkongsian yang mendalam, kepercayaan, punca yang berasas bagi meningkatkan dan memperkuatkan masyarakat di seluruh dunia. Sony Music Entertainment adalah sebahagian daripada keluarga global Sony. Pelajari lebih lanjut mengenai pencipta dan label rekod kami sini.

     

  • Berdansa dengan Nota: Karya ‘Akhir Cerita’ Ungkap Kedewasaan Muzikal Mereka

    Meski hati berat untuk berpisah, sedang masih ada rasa cinta, namun perpisahan jalan terbaiknya.

    Ia merupakan mesej yang tersirat dalam single duet yang menggambarkan kolaborasi unik Dalia Farhana dan Aziz Harun, adik-beradik sulung yang penuh bakat. Lagu bergenre ‘modern ballad’ ini adalah hasil ciptaan mereka bersama Eugene Lai.

    Diterbitkan oleh X.O. House dan Faithful Music, ia memperlihatkan kedewasaan dalam karya muzik Aziz Harun dan Dalia Farhana. Menariknya, ‘Akhir Cerita’ juga merupakan karya ciptaan pertama mereka bersama-sama, memberikan makna yang lebih mendalam pada lagu ini.

    Menariknya, lagu Akhir Cerita ini buat pertama kalinya bakal dipersembahkan secara langsung pada Chapter One: Aziz Harun The Showcase.

    Dalia Farhana, 25, atau nama sebenar Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar berkata, satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.

    “Projek lagu ini adalah pertama kali saya bekerjasama dengan Aziz dan sebenarnya saya sudah menjadi peminatnya. Jadi, ini adalah satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.

    “Saya tidak sangka pertama kali kami berjumpa sudah boleh tulis lirik lagu bersama-sama. Itu adalah sesi yang sangat menarik kerana pertama kali menulis lagu bersama orang lain, jadi saya banyak belajar daripada Aziz.

    “Selain Aziz, saya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Eugene Lai dalam lagu ini. Sangat senang bekerja dengan mereka walaupun baru pertama kali, jadi saya sangat berterima kasih kerana mereka juga terbuka untuk menerima idea saya. Mereka juga banyak memberi pendapat dalam perbincangan dan usaha untuk menyiapkan lagu ini. Kami bukan sekadar bekerja tetapi berkarya bersama-sama,” katanya.

    Berkongsi lanjut, Dalia berkata, bekerjasama dengan Aziz sangat mudah dan menyeronokkan.

    “Senang sahaja bekerja dengan Aziz kerana dia seorang yang menyeronokkan. Bekerja dengan dia memang banyak ketawa sebab kami jenis orang yang susah serius. Apabila kami berbincang untuk menyiapkan lagu ini, sebenarnya kami sedang berbual dan daripada itu tercetus idea untuk jalan cerita lagu ini.

    “Alhamdulilah, sepanjang proses rakaman lagu Akhir Cerita ini semuanya berjalan lancar. Untuk rakaman muzik video juga berjalan dengan baik dan ia berjaya disiapkan lebih awal daripada apa yang dirancangkan. Semua orang memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

    Sementara itu, Aziz Harun, 25, atau nama sebenar Abdul Aziz Harun mengakui rakan duetnya kali ini, tepat dengan lagu yang dihasilkan.

    “Lagu ini berentak ‘modern ballad’ dan ia sesuai untuk kami yang selalu tulis lagu sedih macam ni. Jadi untuk lagu ini memang kena dengan pasangan duet kali ini.

    “Satu pengalaman yang menarik apabila dapat bekerjasama dengan Dalia. Biarpun ‘range’ vokal kami berbeza, tapi, sebab Dalia pun terbuka, jadi kami cuba dan gembira dan puas hati dengan hasil lagu ini.

    “Ini kali pertama kami bekerjasama selepas dah lama minat Dalia apabila dia ‘cover’ lagu.  Dalam masa sama, dia pun banyak single berentak balada yang menyentuh hati. Saya sangat suka. Memang saya nak buat lagu dengan dia. Alhamdulillah, menerusi projek ini kami nyanyi dan buat lagu bersama,” katanya.

    Menurutnya, penghasilan lagu Akhir Cerita menjadi lebih mudah apabila semua pihak yang terbabit sangat profesional.

    “Cabarannya mungkin ‘key’ kami berbeza. Jadi, kami perlu cari keseimbangan dari segi melodi supaya tidak ada sesiapa yang lebih atau kurang. Dalam masa sama, gubahan muzik juga cabaran besar masa buat lagu ni. Kita nak dapatkan ‘vibes’ sedih sebab ada dua penyanyi. Tak nak dua penyanyi ‘overshadow’ lagu dan mesej lagu ni. Melodi lagu pun tak berat sangat. Tapi sebab dua orang bekerjasama, lagilah kena hati-hati dalam semua aspek pembikinan lagu.

    “Dari segi proses penggambaran video muzik pun mudah. Kami jenis yang ‘easy going’ dan terbuka untuk idea. Sangat mudah bekerjasama dengan semua pasukan kerana masing-masing sudah pernah bekerja dalam MV sebelum ini,” katanya.

    Aziz berharap lagu Akhir Cerita dapat diterima baik pendengar dan pencinta muzik tanah air.

    “Kelebihan lagu ini adalah senang untuk didengar dan boleh dengar di mana-mana dalam pelbagai situasi. Lagu ini menyampaikan mesej untuk kuat dalam membuat keputusan demi kebaikan diri sendiri dan orang tersayang walaupun berat melepaskan.

    “Lagu Akhir Cerita bagi saya adalah mengenai kesedaran untuk melepaskan sesuatu atau seseorang yang kita sayang. Dalam lagu ini ada pesanan untuk melepaskan dengan ikhlas dan tetap mendoakan walaupun pada akhirnya tetap perlu berpisah.

    “Saya berharap lagu ini dapat menemani orang yang berada dalam situasi seperti digambarkan dalam lagu ini. Saya juga berharap lagu ini dapat memeberi semangat kepada mereka yang menjalani fasa kehidupan yang tidak begitu bahagia, sekali gus mampu memberi kekuatan kepada pendengar,” katanya.