Tag: #DatoAwie

  • Rock Warrior Music Festival 2024: Kebangkitan Semangat Rock Tanah Air

    warrior

    Rock Warrior Music Festival, festival rock terbesar yang bakal menghimpunkan barisan artis terkemuka tanah air, dijangka akan mengegarkan KL Base, Sungai Besi pada 23 dan 24 November 2024.

    Diterajui oleh Rumah Produksi Merah milik lagenda rock, Dato’ Awie, acara ini bukan sekadar sebuah konsert tetapi juga platform untuk memeriahkan kembali dunia muzik rock tempatan.

    Festival ini bakal menjadi tumpuan ribuan peminat muzik rock dari seluruh negara, di mana mereka berpeluang menyaksikan persembahan hebat daripada artis-artis yang telah mengukir nama di pentas industri muzik Malaysia.

    Hari pertama festival akan membawa peminat rock tempatan kembali ke zaman kegemilangan muzik rock dengan penampilan kumpulan lagenda seperti Wings, Search (Kid & Din), dan XPDC. Persembahan mereka bakal mengalunkan lagu-lagu klasik yang pernah menguasai carta muzik tempatan.

    Rock Warrior Music Festival akan menghidupkan suasana penuh nostalgia, sambil memberikan pengalaman baru kepada generasi muda yang mungkin hanya mendengar nama-nama besar ini melalui cerita-cerita dari era 80-an dan 90-an. Para pengunjung dijangka terpukau dengan persembahan mantap yang penuh tenaga dan irama yang membangkitkan kenangan.

    Dato’ Awie, yang turut merupakan vokalis utama Wings, berkongsi bahawa penganjuran Rock Warrior Music Festival adalah satu inisiatif untuk menyatukan generasi lama dan baharu peminat muzik rock.

    “Kami mahu menghidupkan kembali semangat rock dan memastikan ia terus berkobar dalam jiwa peminat. Festival ini bukan hanya untuk mereka yang membesar dengan muzik rock, tetapi juga untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan genre ini,” kata beliau.

    Dato’ Awie berharap festival ini dapat menghubungkan peminat rock dari pelbagai latar belakang dan memperlihatkan bahawa muzik rock tidak pernah hilang tarikan dan auranya.

    Selain daripada penampilan nama-nama besar dalam industri, Rock Warrior Music Festival juga menampilkan kumpulan rock baharu yang semakin menonjol.

    Menurut Dato’ Awie, festival ini adalah peluang terbaik untuk band-band muda mempersembahkan bakat dan karya mereka kepada audiens yang lebih luas. “Kami percaya bahawa platform seperti ini penting untuk kumpulan muda yang bercita-cita tinggi.

    Mereka dapat memperkenalkan lagu-lagu original dan mempamerkan kreativiti mereka kepada para peminat rock tanah air,” ujar beliau. Dengan adanya festival ini, kumpulan rock baharu dapat berkembang dan terus membina nama dalam industri yang penuh persaingan.

    Selain persembahan muzik yang bakal memukau, Rock Warrior Music Festival juga menyediakan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik untuk para pengunjung.

    Antara tarikan tambahan ialah gerai makanan dan minuman, pameran aksesori dan pakaian rock eksklusif, serta booth menjual cenderahati rock yang sukar didapati di tempat lain.

    Semua ini menjadikan festival ini sebagai satu acara yang meriah dan unik, di mana para pengunjung boleh menikmati suasana festival sambil mengenang kembali detik-detik manis era rock klasik. Pengalaman ini dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang hadir.

    Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival telah mula dijual sejak 7 September lalu dan boleh didapati menerusi laman web rasmi di https://rockwarrior.ubertickets.asia/. Harga tiket untuk dua hari persembahan ialah RM250 bagi kategori Gold (seated), RM200 bagi Silver (standing), dan RM150 untuk Bronze (standing).

    Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival muzik rock paling epik tahun ini. Dengan gabungan barisan artis legenda dan bakat muda yang menjanjikan persembahan luar biasa, Rock Warrior Music Festival pasti akan mencatat sejarah sebagai acara rock paling dinantikan di Malaysia pada tahun 2024!

  • Album Terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza: SITISM Bakal Dilancarkan Dalam Semua Platform Digital Pada September Ini

    KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2023 –  Setelah menggegar dunia muzik dengan pelancaran album Sitism yang menyajikan 8 lagu eksklusif pada bulan Jun yang lalu, kini Dato’ Sri Siti Nurhaliza mempersembahkan 4 karya tambahan yang memukau dalam versi deluxe album tersebut.

    Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

    Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

    Menurut Siti, 4 buah lagu terbaharu yang dimuatkan di dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi telah menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak 2 bulan pelancarannya.

    Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

    Tambah Siti, album Sitism adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau. Album terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Pra-tempah album Sitism diadakan selama seminggu bermula 18 Ogos hingga 25 Ogos 2023 lalu di platform snp.onpay.my. Album fizikal ini juga akan turut dijual dikedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

    4 buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe ini adalah Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

    Istimewanya dalam edisi deluxe ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

    Selain itu album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

    Sitism edisi deluxe sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula hari ini.