Tag: #Dato’SriSitiNurhaliza

  • Penyanyi Dato’ Sri Siti Nurhaliza Muncul Dengan Single Terbaharu Berjudul ‘Cinta Tak Mungkin’

    Setelah menggegar pentas dengan konsert solo ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ pada 9 Mac yang lalu, penyanyi terkenal Dato’ Sri Siti Nurhaliza kini kembali dengan single terbaru bertajuk ‘Cinta Tak Mungkin’.

    Lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Adrianna Cinta ini telah terpilih menjadi lagu runut bunyi bagi drama bersiri siaran Astro Ria yang berjudul Malang Si Puteri.

    Lagu Cinta Tak Mungkin susunan Reza Ramsey terhasil menerusi perbincangan di antara komposer Farouk Roman dan pihak penerbit, Radius One Sdn.Bhd. Farouk menghasilkan lagu dan lirik sesuai dengan kehendak penerbit dan jalan cerita drama bersiri tersebut.

    Menurut Siti Nurhaliza, Cinta Tak Mungkin merupakan kerjasama kali kedua beliau dengan Farouk Roman yang pernah menghasilkan lagu berjudul Senyawa menerusi album Sitism. Melodi dan lirik lagu yang sinonim dengan kehendak sesebuah jalan cerita menjadikan lagu ini istimewa di hati beliau.

    “Farouk memang terkenal dengan penghasilan lagu runut bunyi dan saya percaya dengan sentuhan beliau. Selain itu Farouk juga memberikan kebebasan kepada saya untuk menyanyikan lagu tersebut dengan emosi saya sendiri setelah diperjelaskan mengenai jalan ceritanya. Pertama kali diperdengarkan demo, lagu ini terus memikat hati saya,’’ ujar Siti.

    Sewaktu merakamkan single terbaharu ini, Siti mengakui beliau masih lagi dalam fasa pemulihan suaranya namun tidak menjadi masalah untuk beliau melunaskan tanggungjawab yang diberikan. Menyanyikan lagu runut bunyi dianggap sebagai satu peluang terbaik kepada seseorang penyanyi kerana lagu tersebut akan selalu diperdengarkan dan mudah mendapat perhatian penonton serta pendengar. Lagu ini turut diterima baik oleh penonton drama Malang Si Puteri yang sedang ditayangkan ini.

    Menurut Siti lagi, meskipun lagu tersebut bukan tentang kisah hidupnya, namun beliau cuba membawa watak yang digarap dalam drama siaran itu dengan baik. Luahan perasaan lelah, terpenjara serta keperihan hidup diungkap menerusi emosi dalam nyanyian beliau.

    Cinta Tak Mungkin merupakan pertaruhan terbaharu Siti dan beliau berharap agar lagu ini akan diterima baik oleh seluruh peminat dan pencinta muzik tanah air. Lagu ini boleh distrim di seluruh pelantar digital bermula 8 Mac 2024 yang lalu.

  • Karya Penuh: Sitism Ditambah Lagi 4 Lagu, Gemilang Pada 8 September 2023

    KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER 2023 – Dalam mendekati usia 28 tahun perjalanan karier di bidang seni suara, penyanyi terkemuka Dato’ Sri Siti Nurhaliza hadir dengan album solo ke-20 bertajuk Sitism. Album Sitism resmi diperkenalkan secara digital dengan mengandungi 8 lagu pada 30 Jun 2023, dan kemudian dilengkapi dengan 12 lagu secara penuh pada 8 September 2023.

    Album terbaru ini membawa makna yang penting bagi Siti karena memungkinkannya untuk berkolaborasi dengan penerbit, pencipta lagu, dan penulis lirik dari masa lalu dan masa kini sebagai resep utama dalam penerbitan album ini. Kolaborasi ini memberikan nuansa tersendiri bagi Sitism, memenuhi selera para peminat Siti yang beragam usia.

    Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam tersebut.

    Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza. Siti memilih tarikh 20 September 2023 sebagai tarikh pelancaran album beliau ke-20 sebagai simbolik angka tersebut bersamaan dengan jumlah album solo yang telah dihasilkannya. Walaupun berjarak hampir dua bulan pelancaran album Sitism dan album Sitism edisi deluxe dengan penambahan 4 buah lagu, Siti dapat memperomosikan lebih banyak lagu sebelum muncul album lengkap. Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

    Tambah Siti, album Sitism menggambarkan diri beliau seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan vokal. Pada detik ini, beliau memilih untuk terus menghasilkan album yang terbaik di samping dapat mengangkat karya insan seni lama dan baharu. Menjadi satu tanggungjawab kepada beliau untuk menghargai setiap bakat yang ada dan tentunya penerbitan album merupakan salah satu platform tersebut.

    Album Sitism bertambah istimewa apabila Siti mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

    Lagu-lagu di dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September 2023. Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Album fizikal ini juga turut dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

    Sitism memuatkan 12 buah lagu iaitu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul/Rozisangdewi) danTeratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King), Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

  • Album Terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza: SITISM Bakal Dilancarkan Dalam Semua Platform Digital Pada September Ini

    KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2023 –  Setelah menggegar dunia muzik dengan pelancaran album Sitism yang menyajikan 8 lagu eksklusif pada bulan Jun yang lalu, kini Dato’ Sri Siti Nurhaliza mempersembahkan 4 karya tambahan yang memukau dalam versi deluxe album tersebut.

    Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

    Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

    Menurut Siti, 4 buah lagu terbaharu yang dimuatkan di dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi telah menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak 2 bulan pelancarannya.

    Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

    Tambah Siti, album Sitism adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau. Album terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Pra-tempah album Sitism diadakan selama seminggu bermula 18 Ogos hingga 25 Ogos 2023 lalu di platform snp.onpay.my. Album fizikal ini juga akan turut dijual dikedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

    4 buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe ini adalah Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

    Istimewanya dalam edisi deluxe ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

    Selain itu album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

    Sitism edisi deluxe sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula hari ini.