Tag: #EllyMazlein

  • Bunga Citra Lestari dan Gea Kembali Bersinar di Konsert FARMASI Soundzation

    Bunga Citra Lestari dan Gea Kembali Bersinar di Konsert FARMASI Soundzation

    Bunga Citra Lestari (BCL), penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, bakal kembali memeriahkan industri muzik dengan sebuah konsert ikonik yang bakal mencatat sejarah. Konsert FARMASI Soundzation yang bakal berlangsung pada 30 November di Megastar Arena ini, menjanjikan sebuah pengalaman yang luar biasa kepada audiens dengan gandingan unik antara seni muzik dan kecantikan. Konsert ini bukan sahaja menampilkan BCL, yang terkenal dengan lagu Cinta Sejati, tetapi juga penyanyi berbakat Ghea Indrawari, yang mencuri perhatian tahun lalu dengan single Jiwa Yang Bersedih, serta pengacara dan penyanyi popular tanah air, Elly Mazlein.

    Menurut Pengarah Projek dan Konsert, Ellie G, FARMASI Soundzation bertujuan untuk menggabungkan elemen muzik dan kecantikan dalam satu persembahan yang memberi impak mendalam kepada audiens. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga membawa mesej pemerkasaan wanita, sesuai dengan prinsip yang dipegang oleh FARMASI sebagai jenama kosmetik antarabangsa yang memperkasakan kecantikan luaran dan dalaman. “BCL dipilih bukan sahaja kerana popularitinya, tetapi kerana pesonanya yang mencerminkan kebangkitan wanita. Ghea juga merupakan contoh kejayaan pada usia muda, manakala Elly Mazlein yang serba boleh menjanjikan persembahan yang lebih hidup dan menghiburkan,” ujar Ellie.

    Konsert yang dijangka berlangsung hampir tiga jam ini akan dipenuhi dengan lagu-lagu hits dari BCL dan Ghea, diserikan dengan pengacaraan dan nyanyian oleh Elly. Menariknya, selain daripada menikmati konsert yang penuh dengan hiburan, para penonton juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Bezza. Tidak hanya itu, setiap pemegang tiket juga akan menerima hadiah berupa produk kecantikan berkualiti dari FARMASI, memberikan lebih nilai kepada pengalaman menonton konsert ini.

    Konsert ini dianjurkan oleh INT X Group dan diperindahkan oleh FARMASI, peneraju jenama kosmetik halal yang berpengkalan di Turkiye. FARMASI juga merupakan penaja utama acara ini. Konsert FARMASI Soundzation turut mendapat sentuhan dari pengarah konsert dan muzik, Man Kidal, yang akan memastikan setiap aspek muzik dan persembahan berjalan lancar. Sementara itu, Jerry Hend bertindak sebagai Pengarah Kreatif untuk memastikan setiap elemen visual dan persembahan konsert memenuhi piawaian tertinggi. Urusan promosi dilakukan oleh Mewah Event Management, manakala pengurusan tiket dikendalikan oleh iLasso Tickets.

    Presiden FARMASI, Emre Tuna, meluahkan rasa teruja melihat jenama keluarganya yang telah bertapak selama 75 tahun, kini meluaskan pengaruhnya ke Malaysia, sebagai langkah pertama di Asia. “Malaysia adalah pasaran Asia pertama kami, dan kami yakin jenama FARMASI akan diterima dengan baik di sini. Kami telah meluaskan pasaran kami ke 38 negara di lima benua, dan kini Malaysia menjadi destinasi penting dalam perancangan kami di Asia,” kata Emre.

    Dalam pada itu, Pengerusi Projek, Datuk Safizan Ikhzani, menyifatkan konsert ini sebagai satu langkah penting dalam mengintegrasikan industri hiburan dan kecantikan, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi negara, tetapi juga membuka peluang pelaburan asing. “Pemilihan Malaysia sebagai pintu masuk jenama antarabangsa FARMASI menunjukkan betapa pentingnya negara ini sebagai pasaran yang berpotensi. Gandingan bintang seperti BCL, Ghea dan Elly adalah bukti bahawa konsert ini dapat merangkul audiens dari pelbagai lapisan,” ujar beliau.

    Tiket untuk konsert ini dijual dengan harga yang berbeza, iaitu RM288 untuk Silver, RM488 untuk Gold, RM688 untuk Platinum, RM888 untuk Diamond, dan RM1,088 untuk VIP. Tiket boleh didapati secara dalam talian di www.ilassotickets.com. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai konsert ini, maklumat terkini boleh didapati di platform media sosial Soundzation Official.

  • KONSERT FARMASI SOUNDZATION: GABUNGAN EPIK BCL, GHEA INDRAWARI, DAN ELLY MAZLEIN DI MEGASTAR ARENA

    FARMASI

    Pada malam 30 November 2024, Megastar Arena di Kuala Lumpur bakal menyaksikan malam paling ikonik dalam industri hiburan serantau apabila Bunga Citra Lestari (BCL), Ghea Indrawari, dan Elly Mazlein bergabung di pentas Konsert FARMASI Soundzation.

    Acara ini bukan sekadar konsert biasa tetapi adalah simbolik pelancaran besar-besaran FARMASI, jenama kosmetik terkemuka dari Turkiye, ke pasaran Asia. Malam ini dijanjikan penuh magis, menggabungkan kekuatan muzik, kecantikan, dan inspirasi wanita dalam satu persembahan epik.

    BCL, diva Indonesia yang sentiasa memukau dengan suara dan pesonanya, akan mengetuai persembahan. Peminatnya di Malaysia dan seluruh rantau ini boleh menantikan nyanyian penuh emosi dari lagu-lagu hits seperti Cinta Sejati.

    Namun, BCL tidak keseorangan. Ghea Indrawari, bintang muda yang meraih populariti dengan lagu Jiwa Yang Bersedih, akan turut tampil dengan gaya tersendiri yang menyegarkan.

    Tidak ketinggalan, Elly Mazlein, penghibur serba boleh Malaysia, yang akan menggamatkan suasana sebagai pengacara dan penyanyi, memastikan malam tersebut menjadi lebih hidup dan penuh kejutan.

    Konsert FARMASI Soundzation diatur bukan sekadar untuk menghibur, tetapi juga untuk membawa mesej pemerkasaan wanita yang selari dengan nilai-nilai jenama FARMASI.

    Ellie G, Pengarah Projek dan Konsert, menjelaskan, “Kami ingin menggabungkan seni muzik dengan mesej yang memberi inspirasi kepada wanita. BCL adalah contoh ketabahan dan kekuatan, menjadikannya ikon yang sempurna untuk acara ini.

    FARMASI bukan sekadar kosmetik, tetapi cerminan kecantikan sejati yang lahir dari keyakinan dan keberanian wanita.”

    Selain persembahan yang bakal memukau, penonton juga akan disajikan dengan pelbagai kejutan menarik. Setiap tiket memberikan peluang untuk menyertai cabutan bertuah, dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Bezza.

    Tambahan pula, setiap penonton akan menerima hadiah eksklusif daripada rangkaian produk FARMASI, menjadikan pengalaman konsert ini lebih dari sekadar hiburan – ia adalah satu malam yang penuh dengan ganjaran.

    Emre Tuna, Presiden FARMASI, hadir dalam sidang media di Menara Kuala Lumpur untuk berkongsi visi besar mereka. “FARMASI berbangga untuk memulakan langkah besar ini di Asia dengan memilih Malaysia sebagai destinasi pertama.

    Kami percaya pada kecantikan yang inklusif dan relevan, yang bukan sahaja memberi nilai kepada penampilan tetapi juga memperkasa wanita dalam semua aspek kehidupan mereka,” katanya.

    Dari segi muzik, acara ini dijamin akan mencetuskan kenangan indah dengan bantuan pemuzik legenda Man Kidal sebagai Pengarah Konsert dan Muzik, dan Jerry Hend sebagai Pengarah Kreatif.

    Dengan persembahan yang diatur rapi dan pengurusan profesional dari Mewah Event Management, Konsert FARMASI Soundzation dijangka menjadi salah satu acara terbesar tahun ini.

    Tiket untuk Konsert FARMASI Soundzation dijual pada harga bermula dari RM288 hingga RM1,088 dan boleh didapati melalui www.ilassotickets.com. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Soundzation Official di semua platform media sosial.

    Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh gemilang ini, di mana muzik, kecantikan, dan inspirasi wanita bersatu dalam satu pentas yang luar biasa.

  • Elly Mazlein ‘SAYAP’ Terima Anugerah, Malaysia Book of Records

    Artis Versatil Malaysia Naungan Rocketfuel Entertainment Merupakan Artis Pertama Mempunyai Saluran Pop-Up Eksklusif

    Elly Mazlein, artis Malaysia yang serba boleh, telah mencapai tahap baharu dengan single terbarunya, ‘SAYAP’, yang dikeluarkan oleh label muzik berpengaruh Rocketfuel Entertainment. Dan lebih istimewa, para peminat setia Elly Mazlein turut sama mencipta sejarah bersamanya apabila dapat menyaksikan video muzik ‘SAYAP’ yang ditayangkan bermula 12 tengah malam, 25 Januari 2024 dan 26 Januari 2024 menerusi saluran istimewa Elly Mazlein.

    Elly Mazlein merupakan artis pertama naungan Rocketfuel Entertainment yang berjaya memecahkan rekod ‘Longest Non-Stop Music Video Launching on A Pop-Up TV Channel’ atau Pelancaran video muzik tanpa henti terpanjang di saluran TV Pop-Up!

    Elly Mazlein turut menyatakan keterujaannya mendapat  penganugerahan  istimewa ini. “Saya sangat gembira dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan dan  turut bersyukur dan berbangga kerana dengan anugerah ini memberikan saya semangat yang lebih tinggi dalam menjayakan kelahiran ‘SAYAP’ sebagai buah tangan terbaru di permulaan tahun 2024 ini”.

    Selama tempoh bersiaran selama 48 jam baru-baru ini, peminat Elly Mazlein dapat meneroka dunia seni nyanyian Elly Mazlein dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik ‘SAYAP’, temu bual eksklusif dan momen-momen di sebalik pembikiran muzik video. Format unik ini ditampilkan untuk memberi pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menggembirakan kepada peminat agar lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein di pentas muzik tempatan.

    Bagi pihak Malaysia Book of Records, “Kami mengucapkan tahniah kepada Rocketfuel Entertainment selaku pihak syarikat rakaman bagi Elly Mazlein atas pencapaian ini dan kami berharap untuk terus mengiktiraf lebih banyak pencipta rekod tempatan untuk sebarang pencapaian seperti ini.”

    Lagu ‘SAYAP’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala untuk anda yang ingin menonton video muzik ‘SAYAP’, ianya boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.

  • SINGLE TERBAHARU BERJUDUL ‘SAYAP’ ELLY MAZLEIN TERBANG TINGGI

    Single terbaru ‘SAYAP’ Elly Mazlein diterbitkan oleh label muzik terkenal iaitu Rocketfuel Entertainment. Selepas hampir 17 tahun, Artis Malaysia yang serba boleh itu telah tampil dan terbang tinggi dengan lagu hit terbarunya, ‘SAYAP’. Bermula pada 25 Januari 2024, jam 12 tengah hari, peminat dan pendengar muzik boleh mula mendengar lagu dan menonton video muzik tempatan dan menerusi Elly Mazlein (Saluran 111), merupakan saluran sementara (pop-up) yang disajikan secara eksklusif kepada para pelanggan Astro.

    Dicipta oleh komposer dan penulis lirik popular tempatan Naim Daniel, Omar K, dan Iqie Hugh, lagu ‘SAYAP’ nyanyian Elly Mazlein ini mempunyai maksud yang tersendiri, dengan mengetengahkan elemen kasih sayang serta cinta kepada Maha Pencipta dan sesama manusia. Lirik yang ditonjolkan pula berunsurkan ketuhanan dan mempunyai mesej mendalam tentang keperibadian manusia yang sentiasa diberi ruang dan peluang untuk menuju ke arah kebaikan.

    Kemunculan semula Elly Mazlein bukan sekadar mewarnai industri muzik, namun ia menyaksikan saat yang signifikan dalam kerjaya Elly Mazlein yang semakin meningkat naik. Bersempena dengan pelancaran lagu ‘SAYAP’ ini, pihak Rocketfuel Entertainment dan Astro teruja untuk mencipta sejarah baharu dengan memberikan satu pengalaman unik kepada rakyat Malaysia untuk bersama- sama meraikan karya terbaharu Elly Mazlein menerusi saluran sementara (pop-up), Elly Mazlein (Saluran 111) di Astro.

    Elly Mazlein (Saluran 111) bakal bersiaran bermula 12 tengah malam, 25 Januari sehingga 11.59 malam, 26 Januari 2024, selama 48 jam di Astro. Selama tempoh bersiaran, peminat bakal meneroka dunia seni nyanyian Elly Mazlein dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik ‘SAYAP’, temu bual eksklusif dan momen-momen di sebalik pembikiran muzik video. Format unik ini ditampilkan untuk memberi pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menggembirakan kepada peminat agar lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein di pentas muzik tempatan. Sebagai tambahan, Elly Mazlein (Saluran 111), bakal mencipta sejarah dan meraih anugerah sebagai penerima Malaysia Book of Records yang akan dimaklumkan kelak.

    Elly Mazlein turut menyatakan keterujaannya mengenai pelancaran saluran istimewa ini. “Saya sangat gembira berkongsi ‘SAYAP’ dengan para peminat setelah sekian lama berada di dalan industry muzik tempatan. Elly Mazlein (Saluran 111) ini adalah salah satu cara untuk saya mencipta kenangan dan memberikan buah tangan terbaharu kepada peminat. Saya berharap agar semua peminat turut serta menyaksikannya dan menyertai saya dalam mencipta sejarah buat pertama kalinya di Malaysia!”

    Lagu ‘SAYAP’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala video muzik juga boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.

    Majlis pelancaran lagu dan video muzik ‘SAYAP’ bersama Elly Mazlein telah diadakan pada 24 Januari 2024, bertempat di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre.