Tag: #Filem

  • Filem ‘A Legend’ Jackie Chan Bukti Masih Relevan dengan Aksi dan Seni Bela Diri

    Bintang legenda Hong Kong, Jackie Chan, yang terkenal dengan aksi memukau dan seni bela diri yang hebat, sekali lagi membuktikan dirinya masih relevan pada usia 70 tahun. Jackie Chan kembali menggegarkan industri filem dengan naskhah terbaharu berjudul “A Legend.”

    Sekuel kepada filem “The Myth” yang diterbitkan pada 2005 ini bakal memasuki pawagam tempatan tidak lama lagi. Filem “A Legend” menampilkan aksi seni bela diri yang lebih mencabar dan memukau, menjadikan karya ini antara yang paling dinanti-nantikan tahun ini.

    Dengan unsur pengembaraan dan fantasi yang diselitkan, “A Legend” dilihat berpotensi menjadi salah satu naskhah terbaik tahun ini. Kelainan yang ditampilkan berbanding filem aksi lain menambahkan lagi daya tarikan filem ini.

    Jika dibandingkan dengan beberapa filem aksi lain yang pernah dijayakan oleh Jackie Chan, “A Legend” tidak dinafikan kehebatannya. Filem ini menampilkan sisi berbeza daripada aktor tersohor yang telah enam dekad mengukir nama dalam industri perfileman.

    Penonton di China memuji naskhah ini selepas terpukau dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk menjadikan wajah Jackie Chan kelihatan lebih muda berbanding usia sebenarnya. Kehebatan filem “A Legend” terus dirasai apabila penonton tempatan tidak sabar untuk menontonnya selepas terpukau dengan trailer yang dimuat naik di media sosial.

    “A Legend,” yang diarahkan oleh Stanley Tong, pengarah “The Myth,” berkisarkan tentang Profesor Fang, lakonan Jackie Chan, seorang pakar arkeologi. Profesor Fang menyedari bahawa tekstur pada artifak yang ditemui oleh pelajarnya semasa ekspedisi Glasier sangat mirip dengan loket jed yang pernah dilihat dalam mimpinya. Loket itu menghubungkan alam mimpi dengan realiti.

    Dengan penuh rasa ingin tahu, Profesor Fang mengetuai pasukan penyelidik dalam perjalanan jauh ke Kuil Glasier untuk mencari kebenaran di sebalik impiannya. Mereka memulakan pengembaraan hebat bersama-sama, menghadapi pelbagai cabaran dan keajaiban sepanjang perjalanan.

    Filem yang berbahasa Kantonis dan Mandarin ini juga menampilkan barisan pelakon handalan seperti Lay Zhang, Na Zha, Aarif Lee, Li Chen, Peng Xiaoran, dan Zheng Yecheng, yang menambahkan impak dalam pelbagai aspek.

    “A Legend,” yang telah ditayangkan secara rasmi di China pada 12 Julai lalu, meraih pelbagai maklum balas positif daripada penonton. Mereka terpukau dengan aksi serta lakonan yang ditampilkan oleh Jackie Chan. Filem ini bukan sahaja menonjolkan kemahiran seni bela diri Jackie Chan yang tak tertandingi, tetapi juga membawa penonton ke dunia pengembaraan dan fantasi yang mempesonakan.

  • Kisah benar tentang poligami, ‘Perjalanan Pembuktian Cinta’ menyentuh hati dan membangkitkan keinsafan

    Film Maker Muslim (FMM Studios) dari Indonesia, bekerjasama dengan PPA Institute dan Pejuang Subuh, telah menghasilkan sebuah filem Islamik yang menggugah hati tentang perkahwinan tanpa rela, berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta.

    Perjalanan Pembuktian Cinta, adaptasi daripada novel ‘best seller’ karya penulis terkenal Nusaibah Azzahra, telah mendapat sambutan hangat dari peminat.

    Justeru itu, syarikat produksi dari Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios) dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh telah menghasilkan sebuah filem Islamik tentang perkahwinan tanpa rela berjudul Perjalanan Pembuktian Cinta.

    Menariknya, karya yang dipaparkan itu adalah kisah benar yang telah dilalui sendiri oleh penulis berkenaan apabila dia telah dipaksa berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri.

    Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem tersebut untuk tayangan di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan filem Perjalanan Pembuktian Cinta ke Malaysia kerana ia menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik.

    “Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna. D’Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.

    “Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah. Gabungan elemen komedi dan drama dan juga latar belakang nilai  keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton.

    “D’ Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainian filem ini kerana ia  menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digabungkan dengan agung yang bakal menyentuh jiwa penonton,” ujarnya.

    Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh rintangan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.

    Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem tersebut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana dan ramai lagi.

    Mengenai sambutan di Indonesia pula, Rosmarayu memberitahu penerimaan penonton di sana luar biasa, meskipun ditayangkan semasa bulan Ramadan.

    “Respons hebat penonton Indonesia membuktikan filem ini berjaya mengusik jiwa semua lapisan masyarakat. Kini, giliran penonton Malaysia pula untuk menghayati karya seni bernilai ini.

    “Sudah tentu saya meletakkan harapan tinggi agar filem ini turut mendapat sambutan baik. Namum, saya juga melihat dari sudut jalan ceritanya  yang sememangnya memberikan banyak mesej-mesej positif serta pemahaman yang lebih mendalam tentang cara mengenali diri,” jelasnya.

    Sementara itu, M. Amrul selaku pengarah berkata, Perjalanan Pembuktian Cinta menampilkan jalan cerita yang unik berbanding filem-filem genre yang sama.

    “Perjalanan Pembuktian Cinta diadaptasi daripada sebuah novel yang ditulis seorang penghafal Al-Quran, yang mana ia adalah kisah benar penulis itu sendiri dan itu adalah keistimewaan tentang filem ini.

    “Jalan cerita yang dipaparkan akan membuatkan penonton akan lebih memahami lebih dekat dengan mesej-mesej yang terkandung dalam jalan cerita filem ini bagi menempuhi kehidupan seharian,” ujarnya.

    Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun 2024.

    SINOPSIS

    Perjalanan Pembuktian Cinta mengisahkan tentang seorang penghafal atau Hafidzah Al-Quran iaitu Fathia  (Dea Annisa) dan Raehan (Teuku Ryan) yang saling menyukai antara satu sama lain. Bagaimanapun, Fathia terpaksa menjauhkan dirinya daripada Raehan atas kepatuhan kepada agama. Pada masa sama, ayah Fathia juga telah memaksa dia untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia dan sudah beristeri. Berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan terpaksa berpoligami membuatkan kehidupan Fathia menjadi lebih sukar.

    BARISAN PELAKON

    Dea Annisa                                                      – Fathia

    Teuku Ryan                                                      – Raehan

    Donny Damara                                                – Satya

    Yayu A.W. Unru                                                – Syukron

    Elma Theana                                                   – Laila

    Muzakki Ramdhan                                          – Razak

    Ananta Rispo                                                   – Dito

    Dzawin                                                            – Hilman

    Chand Kelvin                                                   Ustadz Hadi

    Vonny Anggraini                                              Helen

    Natasya Nurhalimah                                       – Amel

  • Kejayaan Tayangan “magiK”: Merentasi Tujuh Lokasi Semenanjung Malaysia

    KUALA LUMPUR – Tayangan khas filem “magiK,” yang dianjurkan oleh syarikat produksi 42nd Pictures Sdn Bhd di bawah pimpinan pasangan suami isteri Yasu dan Bea Tanaka, telah mencapai kejayaan dalam mendekati penonton sasarannya.

    Menurut Bea, penerbit filem ini, tayangan istimewa “magiK” di tujuh lokasi berbeza di Semenanjung Malaysia melibatkan lapan sesi tayangan.

    “Setakat ini, pihak kami sudah berjaya mengadakan empat tayangan khas filem magiK bersama penduduk setempat termasuk komuniti bermasalah pendengaran membabitkan        lokasi di Kuantan,Terengganu,Kedah dan YMCA, Kuala Lumpur.

    “Tayangan khas filem ini juga ialah versi ‘closed caption’ untuk memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran,”katanya.

    Filem magiK yang bakal menemui penonton dipawagam seluruh Malaysia pada 30 November depan memaparkan gadis pekak berusia tujuh tahun, Kit yang ini tinggal di perkampungan terkenal dengan kelip-kelip.

    1. Kuantan

    Lokasi pertama untuk tayangan khas filem magiK adalah di Kuantan, Pahang. Menurut pengarah filem ini, Tanaka, lokasi ini dipilih kerana penggambaran filem magiK berlangsung diKampung Kuantan, Kuala Selangor yang terkenal dengan kelip-kelip.

    “Ramai penonton yang bertanya mengenai maksud huruf besar K yang juga judul filem magiK pada tayangan khas itu.

    “Saya menjelaskan kepada mereka huruf besar K itu melambangkan banyak perkara.“K adakah Kit (nama watak utama), K juga bermaksud kelip-kelip dan komunikasi serta K juga bermaksud Kuantan,”katanya.

    Tanaka berkata, selalunya dia akan mendapat idea baru dan inspirasi untuk menghasilkan skrip bila mengunjungi lokasi yang unik dan menarik di Malaysia. Katanya, dia juga boleh menyelami adat dan budaya masyarakat tempatan di setiap lokasi yang dikunjungi.

    “Terima kasih kepada pihak yang membantu menjayakan tayangan khas filem magiK di sana iaitu Addy Haikal, Warung Adri dan Pameran Seni Haram yang menjadi tuan rumah di Kuantan.

    “Mereka juga tidak sabar untuk mengembangkan komuniti seni di Kuantan melalui pelbagai bentuk seni seperti muzik dan filem,” katanya.

    Tidak ketinggalan, kata Tanaka, dia dan Bea turut berpeluang mempromosikan buku terbaru terbitan mereka berjudul “Visual Story Telling 2: How to Meet 42nd Sheep” dengan Pameran Seni Haram.

    “Syarikat produksi, 42nd Pictures lazim mengadakan kelas “Visual Storytelling” dan menggunakan buku karya mereka sebagai buku teks,” katanya.

     

    1. Terengganu

    Tayangan khas kedua filem magiK membabitkan lokasi di tepi pantai yang indah dan terkenal dengan tempat penyu bertelur untuk konservasi penyu iaitu Pantai Telaga Papan di Setiu, Kuala Terengganu.

    Menurut Tanaka, lokasi itu dipilih kerana ia bersesuaian dengan filem magiK yang juga menyentuh konservasi kelip-kelip.

    “Namun, lokasi itu paling sukar untuk kami meletakkan peralatan seperti projektor, pembesar suara dan skrin layer untuk tayangan wayang pacak diluar, katanya.

    Kata Tanaka lagi, magiK juga menyentuh isu alam sekitar dan karya dihasilkan juga sentiasa menekankan kepentingan komunikasi yang harmoni antara alam semula jadi dan manusia.

    “Seperti filem kami sebelum ini, Nota, kisah berlaku di tepi sungai dan seterusnya dilaut.

    “Seperti perubahan alam semula jadi mengajar kita bagaimana untuk hidup dengan aliran kitaran dan bukan melawannya seperti cuaca dan alam.

    “Malangnya, pihak kami tidak dapat menyampaikan filem magiK kepada masyarakat tempatan kerana hujan turun dengan lebatnya ketika tayangan filem itu di sana dan kami perlu meneruskan perjalanan lokasi seterusnya pada keesokan paginya,” katanya.

    1. Kedah

    Perjalanan paling jauh sempena tayangan khas filem magiK ialah dari Setiu,Kuala Terengganu ke Sungai Petani, Kedah. Tayangan khas di sana berlangsung di SPace08000.

    Menurut Tanaka,di Sungai Petani, SPace08000, telah menjadikan jalan belakang dan bangunan lama sebagai landasan untuk komuniti seni dan belia.

    Mereka saling membantu untuk berkembang dan terus bertahan. “Tayangan khas filem magiK disana juga dapat menarik pelbagai golongan masyarakat seperti pasangan guru yang mengajar golongan pekak sama seperti Bea.

    “Selain itu, ada lelaki Jepun yang menetap di Malaysia dan memberi sokongan kepada golongan OKU serta nama keluarganya juga Tanaka. Pada masa yang sama, ada juga pasangan pelancong dari Indonesia,” katanya.

    “Kita dapat kenalan baru dikalangan menonton tayangan khas filem magiK di lokasi terpilih dan setiap pertemuan adalah tidak ternilai,” katanya.

    1. YMCA, Kuala Lumpur

    Minggu Orang Pekak Antarabangsa sedunia di sambut pada hari ahad terakhir, September. Pelbagai acara dianjurkan untuk meraikan hari terbabit, dan Tanaka dan Bea memilih untuk mengadakan tayangan filem magiK di YMCA, Kuala Lumpur.

    Pasangan suami isteri ini berharap filem magiK akan menyumbang pengiktirafan kepada golongan bermasalah pendengaran.

    Bea yang juga bekas guru pendidikan khas masalah pendengaran selama 15 tahun berkata, mereka juga mahu berkongsi filem itu dengan komuniti bermasalah pendengaran sebanyak yang boleh.

    “Pihak kami bersyukur kerana YMCA, Kuala Lumpur menganjurkan tayangan khas sempena Minggu Orang Pekak Antarabangsa pada tahun ini dan ia sangat sesuai dengan filem magiK,filem mengenai seorang gadis pekak.

    “Barisan pelakon filem magiK yang turut hadir untuk tayangan khas ini ialah Qisya Hairulzain (watak utama Kit), Tengku Carmeela (Kit dewasa), Chacko Vadaketh (Zack). Carmeela juga pekak    dan ia juga penampilan pertamanya di layar filem,” katanya.

    Sementara itu,Tanaka dan Bea berkata, melihat reaksi penonton secara langsung pada tayangan khas dilokasi terpilih itu adalah kepuasan sebenar mereka setelah menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menyiapkan filem itu.

    “magiK adalah mengenai komunikasi. Ia adalah kisah mengenai sebuah keluarga di perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip.

    “Pihak kami bertemu dengan ramai orang sepanjang tayangan khas ini dimana mereka juga mempunyai kehidupan dan masalah mereka sendiri,” katanya.

    Kata Tanaka lagi, ada yang cuba bertahan dan ada yang meneruskan minat mereka dalam pelbagai bentuk seni.

    “Setiap bandar mempunyai komuniti seni mereka sendiri dan mereka juga berjuang untuk terus berkembang maju.

    “Kami juga merasakan sangat dekat dengan mereka sebagai pembikin filem Indie,” katanya.

    Menyusul selepas ini, ada lagi empat tayangan khas filem magiK akan berlangsung dibeberapa lokasi selepas ini. Jangan lepaskan peluang untuk menontonnya nanti.

    Sosial Media :

    TikTok : https://tinyurl.com/yshuze9c

    Facebook : https://tinyurl.com/2r43wdjm

    Instagram : https://tinyurl.com/mvb6952d

  • Filem Pagari Bulan: Kebangkitan Wanita Daripada Penindasan Askar Jepun

    PAVILION KUALA LUMPUR, 27 SEPTEMBER 2023 – Malam Gala Tayangan Perdana Filem Pagari Bulan, satu acara gemilang bagi menyokong kemajuan industri filem tempatan. Filem ini dihasilkan oleh ELEVEN FIELD CREATIVE SDN BHD dengan tujuan untuk memaparkan semangat patriotisme dan kebangkitan wanita menentang penindasan askar Jepun.

    Pengeluar filem, ELEVEN FIELD CREATIVE SDN BHD, dan pengedar METROWEALTH, mengucapkan penghargaan kepada KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN DIGITAL (KKD) MELALUI PERBADANAN KEMAJUAN FILEM MALAYSIA (FINAS) ATAS SOKONGAN DANA KANDUNGAN DIGITAL (DKD) yang kritikal untuk memastikan kejayaan tayangan filem ini di pawagam dan minat penonton.

    Pengarah Pagari Bulan, Ts Raja Mukhriz telah mempertaruhkan Nazeera Sardi sebagai tunjang utama bag memegang watak sebagai pejuang yang memartabatkan kaum wanita. Selain itu, filem ini turut dibarisi pelakon hebat tahah air iaitu Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong dan Michael Ang. Idea filem in datang dari Ellyna Ahmad dan Ts Raja Mukhriz setelah melihat belum ada genre ‘comfort women’ yang diketengahkan dalam filem tanah air. Skrip dan lakon layar Pagari Bulan oleh Siti Jasmina Ibrahim.

    PAGARI BULAN mengisahkan tentang Bulan yang merupakan anak sulung perempuan kepada pengusaha tanaman dan pemburu yang cekap iaitu Ismail dan isterinya Hasnah yang berhadapan dengan kedatangan pihak Jepun ke Kelantan. Penduduk kampung berdekatan dan kampung lain terpaksa mempertahankan kampung mereka daripada didera, dibunuh, dan mempertahan anak gadis yang menjadi sasaran tahanan ole tentera Jepun. Bulan bersama-sama adiknya Kasih dan sahabatnya Sui Li juga ditangkap dan dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu.

    Sharifah Shahora selaku penerbit filem Pagari Bulan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua media cetak dan media elektronik, bloggers, influencer temasuk mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan filem ini. Filem “Pagari Bulan” akan disiarkan mulai 5 Oktober 2023 lebih daripada 60 pawagam di seluruh Malaysia dan Singapura.

  • HAFIZ NAFIAH KINI BERADA DI KERUSI PENGARAH DENGAN FILEM KOMEDI ‘MAT KOLA’ SETELAH 2 DEKAD MENUNGGU


    Setelah menunggu selama hampir dua dekad, Hafiz Nafiah akhirnya meraih kebahagiaan sejati dengan filem komedi terbarunya, ‘Mat Kola’.

    Mohd Hafiz Mohd Nafiah, nama sebenarnya, dengan rasa syukur mengungkapkan bahawa filem ini yang diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd akan menjadi sejarah peribadinya sebagai pengarah filem pertama dalam kerjayanya.

    “Melalui filem ‘Mat Kola’, saya bukan hanya menggapai impian, tetapi juga mengukir sejarah peribadi saya. Saya berterima kasih kepada penerbit, Azman Ahmad, yang telah mengenali saya selama dua dekad dan memberi saya peluang ini,” ujarnya dengan rasa haru.

    “Azman mencadangkan nama saya sebagai pengarah kepada Penerbit Eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.

    “Idea asal filem Mat Kola adalah dari Azman, tetapi penulis skripnya adalah Pijon yang memang sudah biasa menulis cerita dialek utara (Kedah),” katanya.

    Ditanya kenapa mengambil masa yang lama untuk mengarah, kata Hafiz, dia mahu menimba ilmu dalam dunia belakang tabir produksi sebelum bersedia di kerusi pengarahan.

    “Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, barulah saya bersedia untuk menggalas kerusi pengarah.

    “Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu.

    “Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu.

    “Saya harap filem Mat Kola akan menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya saya sebagai pengarah,” katanya.

    Bercerita pembabitan awalnya dalam bidang seni, kata Hafiz, dia mula memasuki bidang seni sebagai penyanyi nasyid ketika masih menuntut di tingkatan empat.

    “Selepas tamat persekolahan, saya mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun.

    “Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya juga sertai sebagai pegawai perhubungan awam kepada Kumpulan Phyne Ballerz.

    “Selepas itu, saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, Prof Madya Datuk A Razak Mohaideen pada 2004,” katanya.

    Bermula dari situ, kata Hafiz, dia ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A Razak.

    “Saya bermula sebagai ‘runner’, pembantu produksi, ‘handyman’, pengurus produksi dan konti termasuklah terbabit dalam kumpulan teknikal dalam pelbagai jawatan sehinggalah diberi peluang menjadi penolong pengarah.

    “Saya dapat memegang jawatan penolong pengarah dalam filem A Razak. Antaranya, filem lakonan Datuk Aznil Nawawi dan Nasha Aziz,” kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan itu.

    Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem Mat Kola, kata Hafiz, nama Mat Kola dipilih kerana filem ini menceritakan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

    “Penggambaran filem membabitkan kos mencecah RM1 juta ini berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu.

    “Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya,” katanya.

    Berkongsi jalan cerita pula, kata Hafiz, dia mahu menghasilkan filem yang mudah difahami dan menghiburkan penonton.

    “Jalan cerita filem ini santai mengenai kisah peniaga burger dan semoga ia boleh menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga. Itu adalah plot utama dan dibantu sub plot lain.

    “Saya akui bukan mudah untuk mengarah genre komedi kerana saya juga baca skrip berulang kali dan merombaknya banyak kali sebelum saya imaginasikan dan beri penerangan pada pelakon,” katanya.

    Ditanya barisan pelakon, kata Hafiz, semua pelakon utama dan pembantu sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik di lokasi penggambaran.

    Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Rozita Che Wan (Che Som) Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali),Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

    “Rata-rata pelakon dari Kedah dan mereka tiada masalah untuk dialek utara serta semuanya kelakar,” katanya.

    Ditanya cabaran ketika penggambaran pula, kata Hafiz, dia berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Kedah di mana hujan turun dari pagi hingga petang.

    “Baru nak ‘shoot’ hujan turun dengan lebatnya hingga kami terpaksa tukar ‘screen play’. Contohnya, terpaksa tukar babak Che Som pakai payung untuk disesuaikan dengan keadaan cuaca ketika itu.

    “Bagaimanapun, Tuhan permudahkan sepanjang penggambaran filem ini. Selain mengarah, saya juga sebagai Penerbit Penyelaras dan buat sehabis baik untuk mengawal bajet sedia ada,” katanya.

    Mengulas sasaran kutipan, kata Hafiz, dia hanya melakukan kerja seikhlas hati hingga filem itu siap.

    “Saya tak nak letak sasaran kutipan kerana kita sudah usaha yang terbaik kerana ini filem pertama saya dan selebihnya saya serahkan pada Tuhan,” katanya.

    Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.

    Saksikan trailer Mat Kola di Youtube hari ini : https://youtu.be/WALBC692tVs?si=KD-48J8WQra2yQJy