Tag: Hazama

  • Hazama Ahmad Azmi Lancar Album Kedua ‘Pujangga’ Selepas Lebih Satu Dekad Menanti

    Hazama Ahmad Azmi Lancar Album Kedua ‘Pujangga’ Selepas Lebih Satu Dekad Menanti

    Setelah lebih satu dekad menunggu, Hazama Ahmad Azmi akhirnya memenuhi janji kepada peminat setianya dengan pelancaran album kedua yang dinanti-nantikan, Pujangga. Pada 29 November 2024, album penuh yang mengandungi 10 lagu ini dikeluarkan oleh SONY MUSIC, membawa Hazama kembali ke dunia muzik dengan sentuhan berani dan kreativiti yang segar.

    Album Pujangga adalah kesinambungan kepada kejayaan album pertama beliau yang dilancarkan pada tahun 2013. Namun, Pujangga bukan sekadar sebuah koleksi lagu; ia merupakan sebuah karya seni yang memuatkan pengisian jiwa dan pemikiran Hazama sendiri. Nama album ini diambil daripada perkataan “Pujangga”, yang merujuk kepada seorang pengarang atau ahli fikir yang menyampaikan makna melalui seni, sebuah ciri yang jelas dapat dilihat dalam setiap lagu di dalam album ini.

    Proses rakaman album ini melibatkan beberapa lokasi yang unik, termasuk di Royale Chulan, Cherating, dan Tokyo, Jepun. Sebagai penerbit album ini, Hazama bekerjasama dengan HAZAMAWORKS SDN BHD dan SILENT KAIJU STUDIO, dengan sokongan dana daripada MyCreative Venture Sdn Bhd (MYCV), yang dibiayai oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

    Apa yang membuat album Pujangga berbeza adalah keputusan Hazama untuk merilis sebuah album penuh berbanding mengikuti tren kebanyakan artis yang memilih untuk merilis single demi single dalam era muzik digital ini. Album ini mengandungi 10 lagu yang dipilih dan digarap dengan penuh teliti, mencerminkan dedikasi Hazama terhadap karya seni yang benar-benar dihargai oleh peminatnya yang telah menantikan album penuh ini untuk sekian lama.

    “Album ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi juga tentang bercerita. Saya ingin membawa pendengar masuk ke dalam dunia saya melalui setiap melodi dan lirik yang saya tulis. Saya mahu menjadi seperti seorang pujangga yang bercerita melalui lagu-lagu saya,” kata Hazama.

    Antara lagu-lagu yang telah diperdengarkan lebih awal di platform media sosial termasuk “Di Mimpiku” dan “Semacam Pandora”. Lagu-lagu ini memberikan gambaran jelas tentang identiti muzik Hazama yang tetap utuh, namun dengan sentuhan inovasi yang menyegarkan sesuai dengan peredaran masa. Walaupun berinovasi, Hazama memastikan identiti muzik yang menjadi tanda pengenalannya tetap dipelihara.

    Album Pujangga bukan sahaja memfokuskan kepada kualiti muzik, tetapi juga kesungguhan Hazama dalam setiap aspek penghasilannya, dari rakaman vokal hingga ke proses mixing dan mastering yang dilakukan di KPRO STUDIO, Cheras Perdana. Setiap lagu dalam album ini dirancang untuk menyentuh perasaan pendengar, dengan lirik yang mendalam dan melodi yang memikat.

    Bagi Hazama, Pujangga adalah cara untuk mengembalikan semangat muzik fizikal yang semakin dilupakan. Dengan harapan album ini akan mengubat kerinduan para peminat, beliau percaya bahawa Pujangga akan menjadi karya yang relevan dan terus dikenang dalam perjalanan kerjaya muziknya.

    Album Pujangga kini boleh didapati di semua platform digital dan rakaman fizikal, yang pastinya akan memperkukuh lagi kedudukan Hazama sebagai salah seorang nama besar dalam industri muzik tempatan, sambil memberikan hadiah istimewa kepada peminat yang telah lama menantikan kemunculan album penuh darinya.

  • Datuk Hattan, Hazama & Black Bersatu Gegarkan Konsert Hitam Manis 2025

    Datuk Hattan, Hazama & Black Bersatu Gegarkan Konsert Hitam Manis 2025

    Bersiaplah untuk menyaksikan sebuah malam yang penuh keajaiban apabila Konsert Hitam Manis bakal menggoncang pentas dengan persembahan luar biasa daripada tiga penyanyi hebat Malaysia, Datuk Hattan, Hazama, dan Black. Acara yang sangat dinantikan ini akan berlangsung pada 8 Februari 2025 di Plenary Hall, KLCC, menjanjikan pengalaman muzik yang penuh warna dan memori yang akan dikenang oleh para penonton.

    Konsert ini, yang digarap untuk menggamit nostalgia dan menampilkan elemen-elemen rock dan vokal bertenaga, bakal menyajikan gabungan muzik yang mampu menawan hati pelbagai lapisan masyarakat. Para peminat akan dihidangkan dengan gabungan lagu-lagu popular dari ketiga-tiga penyanyi, diiringi kolaborasi istimewa yang akan memeriahkan lagi malam itu.

    Konsert Hitam Manis adalah salah satu acara muzik terbesar yang membuka tirai tahun 2025 dan dianjurkan oleh Reacch Events, penganjur terkemuka yang dikenali dengan standard tinggi dalam penganjuran acara berskala besar. Reacch Events telah berjaya membina reputasi yang kukuh melalui komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap pengalaman penonton. Dengan perancangan teliti dari segi lokasi, hiburan, serta pengalaman keseluruhan, penganjur berjanji untuk membawa konsert ini ke tahap yang lebih tinggi, menjadikan ia satu malam yang pasti dikenang.

    Datuk Hattan, nama legenda dalam muzik rock Malaysia, akan membawa suasana pentas yang penuh semangat dengan menyampaikan lagu-lagu ikonik seperti “Biso Bonar”, “Mahligai Syahdu” dan “Memburu Rindu”. Vokal bertenaga dan gayanya yang tidak pernah mengecewakan pasti akan menghidupkan kembali nostalgia peminat setianya.

    Di samping itu, Hazama, yang mula dikenali melalui kejayaannya dalam program realiti Akademi Fantasia, akan menyumbang persembahan yang pasti menggegarkan pentas dengan vokal unik dan penuh emosi. Lagu-lagunya yang memikat seperti “Penglipurlara” dan “Sampai Mati” dijangka akan menghangatkan suasana.

    Tidak ketinggalan, Black yang dikenali dengan suaranya yang lantang dan persembahan bertenaga akan membawa lagu-lagu hitnya seperti “Sofea Jane”, “Teman Pengganti” dan “Anugerah Terindah”. Kejayaannya dalam mencipta nama di persada muzik tempatan akan menyerlah di konsert ini, menjanjikan persembahan yang mengasyikkan.

    Dalam satu wawancara, Datuk Hattan berkongsi rasa terujanya untuk kembali ke pentas bersama Hazama dan Black. Beliau berkata, “Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menyatukan muzik dari generasi yang berbeza. Peminat pasti akan terhibur dan merasai keunikan setiap persembahan.”

    Hazama pula menambah, “Saya sangat teruja dapat bersama-sama dengan Datuk Hattan dan Black. Ini peluang yang luar biasa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami, dan kami akan pastikan setiap saat malam itu penuh dengan keceriaan.”

    Black juga berkongsi pandangan yang sama, mengatakan bahawa malam konsert itu akan menjadi satu perjalanan muzik yang tidak dapat dilupakan. “Ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati semua yang hadir. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan yang indah bersama peminat.”

    Konsert yang akan berlangsung selama dua jam ini menjanjikan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, serta kolaborasi antara ketiga-tiga penyanyi ini. Dengan gabungan gaya muzik yang berbeza, ia akan menarik minat peminat muzik dari pelbagai generasi, menjadikan Konsert Hitam Manis sebagai salah satu acara muzik yang paling dinantikan pada tahun 2025.

    Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 4 Oktober 2024, bermula jam 11 pagi melalui platform tiket www.ticket2u.com. Peminat digalakkan untuk mendapatkan tiket secepat mungkin kerana setiap tiket membawa peluang untuk menyaksikan malam yang tidak akan dilupakan ini! Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang luar biasa ini dan merasai detik-detik magis di Konsert Hitam Manis.

  • HAZAMI DICABAR!!! JURI MAHU HAZAMI BERIKAN PERSEMBAHAN TERPALING WOW

    Petaling Jaya, 1 September 2022 Tekad, Sonata Musim Salju, Kata, Mungkir Bahagia, dan Kiblatku hanyalah sebahagian daripada single terkenal penyanyi R&B Hazami. Dua minggu selepas TERPALING JUARA, Hazami meletakkan Seribu Impian dan Mungkir Bahagia di atas pentas, yang menghasilkan persembahan yang sangat menghiburkan.

    Pada minggu lepas, juri tetap Fauziah Latiff yang mesra disapa sebagai Kak Gee telah memberikan pandangan beliau terhadap persembahan Hazami. “Saya suka stail Hazami, cuma masih ada sesuatu yang anda tak dapat menggapai dalam lagu Seribu Impian ini. Anda kelihatan seperti mengelakkan sesuatu di atas pentas. Anda ialah seorang penyanyi yang hebat, mempunyai vokal bagus dan sedap didengar. Sebagai seorang artis yang sudah lama berkecimpung di industri, kita mahu lihat sisi berbeza Hazami di atas pentas ini,” ulas Kak Gee.

    Hazami berasa selesa bekerja dengan Akim Ahmad, yang dipercayai membaca Hazami seperti buku. Akim menekankan irama dalam persembahan nyanyiannya; apakah rancangan mereka kali ini untuk lagu pilihan episod 3, Mas Mona (SFMM7, nyanyian asal Jeffrydin)?

    “Ketika dilamar untuk menyertai TERPALING JUARA, saya terus bersetuju kerana saya suka dengan konsep program dan saya juga sudah lama tidak bertanding di Anugerah Juara Lagu. Terima kasih kepada Dato’ Hattan dan Fauziah Latiff yang memberikan teguran. Segala komen, pandangan dan kritikan itu diterima secara terbuka. Saya tak rasa terkilan kerana sudah bersedia untuk keluar dari zon selesa dan mencuba benda-benda baharu untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya nyanyian. Saya akan buktikan bahawa keupayaan Hazami bukan hanya bersandarkan vokal tetapi juga boleh menjayakan pelbagai corak persembahan, memberikan hanya yang terbaik di pentas Terpaling Juara,” tambah Hazami.

    “Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Hazami seorang penyanyi dan penghibur yang versatil dan berbakat besar. Kami berdua juga akur dengan tekanan yang dihadapi sekarang apabila Hazami dicabar dan diletakkan harapan yang sangat besar pada setiap persembahan di pentas TERPALING JUARA. Saya juga tahu yang peminat-peminat Hazami mahukan persembahan yang paling WOW daripada idola mereka pada setiap minggu. InsyaAllah, kami akan menyahut cabaran ini dan memberikan impak yang besar buat Hazami dalam program ini,” kata Akim Ahmad yang merupakan kapten kepada penyanyi legenda ini.

    Program hiburan terbaharu TV3, TERPALING JUARA mempertaruhkan 3 kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij untuk membimbing seorang penyanyi senior dan seorang penyanyi junior untuk menjayakan persembahan mingguan daripada #playlistAJL iaitu lagu – lagu popular yang pernah tercalon di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL).

    Jangan ketinggalan untuk menonton Terpaling Juara pada setiap hari Ahad, siaran langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, pukul 9.00 malam dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

  • HYPE GLOBAL VENTURES Raikan Merdeka Dengan Dua Konsert Bersifat Nasionalisme

    HYPE GLOBAL VENTURES mengambil peluang untuk memperingati tanggal 31 Ogos bersama seluruh rakyat Malaysia, tidak kira di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-65.

    Sebelum ini, HYPE GLOBAL VENTURES terkenal sebagai penganjur yang sering terlibat dalam acara uptown dan pengurusan jualan. Namun, tahun ini mereka melakar sejarah baru apabila mereka memulakan langkah pertama untuk mengembangkan nama melalui acara hiburan seperti konsert berunsur nasionalisme.

    Dua acara yang akan diadakan di Tawau, Sabah, dan The Mines Sri Kembangan, Selangor menjadi sebahagian daripada acara hiburan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh HYPE GLOBAL VENTURES berbekalkan semangat nasionalisme yang kuat untuk disemaikan dalam diri masyarakat Malaysia.

    Acara yang dinamakan Konsert Malam Merdeka Bah Kita 2022 bakal diadakan di Kompleks Sukan Tawau pada 30 Ogos 2022 seperti yang telah dijadualkan. Konsert tersebut akan membuka tirai pada jam 6 petang dengan harga tiket bermula RM45, RM80 dan RM120 bagi setiap kategori. Ia dijangka akan mendapat sambutan luar biasa daripada para pengunjung.

    Selain itu, barisan selebriti yang turut dijemput oleh pihak penganjur juga dikatakan mempunyai peminat yang ramai. Ia menjadi lebih menarik apabila HYPE GLOBAL VENTURES menjemput penyanyi-penyanyi terkenal dari Indonesia bagi merancakkan lagi suasana malam kemerdekaan negara sebagai simbol keharmonian antara dua buah negara.

    Antara selebriti yang akan tampil menghiburkan para pengunjung adalah Isnin Umbrella, Hazama, Shidi Data, Azan, Hafiz Umbrella Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka dan Valdy Nyonk.

    “Semua barisan penyanyi yang kami bawakan pada Malam Merdeka Bah Kita 2022 mempunyai pengikut dan digemari kelompok peminat pada masa kini.

    “Malah ada dalam kalangan artis Indonesia yang kita bawa mempunyai jumlah tontonan lebih 100 juta di YouTube.

    “Sengaja kami gabungkan barisan penyanyi Malaysia dan Indonesia sebagai lambang serumpun pada malam bersejarah itu nanti,” ujar Pengarah Pengurusan Hype Global Ventures, Johari Mohd Yusof.

    Malah, karnival yang bertempat di Tawau ini akan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula dari 28 sehingga 30 Ogos 2022 sebagai simbol kemuncak menyambut kemerdekaan Malaysia kali ke-65.

    Selain konsert yang menjadi tumpuan utama acara karnival di Tawau, pengunjung juga dialu-alukan untuk menyertai pelbagai aktiviti yang menarik. Antaranya ialah pertandingan karaoke, battle of the band, jualan karnival makanan serta pelbagai barangan dan pakaian.

    Sebagai penghargaan buat para pengunjung yang hadir pada malam 30 Ogos, mereka yang bertuah mungkin akan membawa pulang hadiah utama atau ‘lucky draw’ yang merupakan sebuah motorsikal 250cc.

    “Kami sangat mengalu alukan kedatangan pengunjung bukan sahaja dari Tawau atau Sabah, tetapi juga Indonesia memandangkan lokasi karnival dan konsert iaitu Kompleks Sukan Tawau mempunyai kapasiti yang luas selain berdekatan dengan Kalimantan,” tambah Johari.

    Bagi mengekalkan semangat nasionalisme dalam jiwa masyarakat Malaysia, HYPE GLOBAL VENTURES berhasrat untuk menganjurkan persembahan kedua, Malam Santai Musical pada 2 September 2022 di Hype Uptown Night Bazar Seri Kembangan.

    Persembahan yang bermula pada jam 8.30 malam itu akan dipersembahkan oleh Zidan, Angga Candra, Nabila Maharani, Tri Suaka, dan Valdy Nyonk untuk menghiburkan pengunjung di Uptown yang sememangnya menjadi tumpuan ramai sejak sekian lama.

    Dua harga tiket yang dijual adalah mengikut kategori iaitu RM65 dan RM165.

    “Pemilihan melakukan persembahan di lokasi Uptown The Mines pula kerana di sinilah tapak pemula HYPE. Kita mempunyai lebih 400 kedai di sini dan secara tak langsung dengan penganjuran persembahan ini ia akan menambah nilai promosi kepada tempat ini,” kata Johari.

    Sebarang keterangan lanjut boleh hubungi talian +60 12-674 8347 (Farizal) dan +60 19 560 7948 (Tado) untuk acara persembahan di Mines.