Tag: #Judika

  • Konsert ‘The Journey of Sound’ Janjikan Persembahan Luar Biasa!

    Konsert ‘The Journey of Sound’ Janjikan Persembahan Luar Biasa!

    Dalam dunia hiburan yang terus berkembang, pertemuan antara dua bintang besar dari Nusantara pasti menjadi acara yang dinanti-nantikan. Pada 14 Disember 2024, peminat muzik di seluruh rantau ini akan dihiburkan dengan konsert istimewa yang menampilkan dua ikon besar, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Judika dari Indonesia.

    Kedua-dua artis ini telah mencipta nama dalam industri muzik selama lebih 20 tahun, dengan deretan karya yang menginspirasi dan menyentuh hati ramai. Dengan bakat dan pesona tersendiri, mereka berjaya menawan hati peminat melalui lagu-lagu yang kini menjadi legenda. Penganjur acara, Universe Gateway, dengan bangga mempersembahkan kolaborasi ini melalui konsert epik yang diberi nama “The Journey of Sound”.

    Acara ini akan berlangsung di Stadium Merdeka, sebuah lokasi ikonik di Malaysia, dan akan bermula pada jam 8 malam. Pihak penganjur berharap agar konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga melambangkan keharmonian dan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia, dua negara yang kaya dengan budaya dan tradisi seni. “Kami di Universe Gateway merasa terhormat untuk mempersembahkan The Journey of Sound, yang menyatukan dua ikon muzik hebat di pentas berprestij ini,” ujar Isa, Ketua Pegawai Kewangan Universe Gateway.

    Isa turut menambah bahawa walaupun Siti Nurhaliza dan Judika pernah berkolaborasi di pentas sebelum ini, konsert ini akan membawa elemen baru yang belum pernah disaksikan oleh peminat. “Kami yakin bahawa The Journey of Sound akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan berbeza, sesuatu yang belum pernah ditawarkan sebelum ini,” jelasnya, menggariskan keunikan dan keistimewaan persembahan kali ini.

    Nama konsert ini sendiri membawa makna yang dalam, mencerminkan perjalanan seni kedua-dua bintang ini yang penuh dengan pengalaman dan pencapaian. Siti Nurhaliza, yang telah mencipta legasi selama 28 tahun, bukan sahaja menjadi kebanggaan Malaysia tetapi juga terkenal di peringkat antarabangsa. Di samping itu, Judika, yang telah mengharungi lebih dua dekad dalam industri muzik Indonesia, terus kukuh sebagai salah seorang artis terkemuka di negaranya.

    Persembahan “The Journey of Sound” bakal memukau dengan pelbagai elemen seni dan muzik yang luar biasa. Judika berkongsi keterujaannya untuk berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza dan berharap konsert ini akan meninggalkan kenangan indah buat semua penonton. “Bagi saya, berada di atas pentas bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza adalah satu penghormatan besar. Saya tidak dapat menjanjikan bintang di langit, tetapi saya yakin malam tersebut akan menjadi satu pengalaman luar biasa yang melibatkan bukan sahaja saya dan Siti, tetapi juga seluruh produksi yang spektakular,” ujar Judika penuh keyakinan.

    Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert bersejarah ini secara langsung, tiket akan mula dijual pada 12 Oktober 2024. Harga tiket bermula dari RM199 untuk kategori CAT 5, RM299 untuk CAT 4, RM399 untuk CAT 3 LOWER dan UPPER, hingga RM1,299 untuk kategori SUPER VIP. Selain itu, terdapat juga kategori eksklusif seperti VIP dan ROCK ZONE, yang menawarkan pengalaman menonton lebih istimewa.

    Tawaran tiket awal (EARLY BIRD) akan berlangsung dari minggu pertama hingga minggu ketiga, memberi peluang kepada peminat untuk mendapatkan tiket pada harga promosi. Semua tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman web TICKET2U.COM.MY. Dengan pelbagai pilihan tiket, peminat dari segenap lapisan masyarakat dijemput untuk turut serta dalam acara ini dan menikmati persembahan yang menakjubkan.

    Konsert “The Journey of Sound” bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi adalah satu perayaan kehebatan dua bintang besar dan komitmen mereka terhadap seni. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang luar biasa ini dan saksikan sendiri keajaiban yang bakal terhasil!

  • Konsert ‘ROCKMANTIC NIGHT’ Berjaya Menyentuh Jiwa Penonton.

    KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2023 – Semalam, hampir 12,000 orang hadir untuk konsert ‘ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG’, yang memenuhi sepenuhnya Axiata Arena, Bukit Jalil mulai jam 8:00 malam. Acara tersebut dipersembahkan khas oleh Dua Anak Deo (DAD) Management, syarikat penganjur acara dari Indonesia.

    “Saya ingin menyanyi habis-habisan kerana semangat ‘cinta’ yang diberikan oleh pembeli-pembeli tiket bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga Indonesia, Singapura serta Brunei agar dapat menghiburkan mereka semua sebaik dan juga semaksimal yang mungkin,” kata pemilik nama Judika Nalom Abadi Sihotang, 45.

    Selain Judika, bintang-bintang popular Malaysia seperti Marsha MilanHaqiem Rusli dan Shila Amzah serta artis-artis tamu dari Indonesia naungan DAD Management seperti DnandaDaniel Pattinama dan Dr. Axin turut menyerikan konsert pada malam tadi sebagai pembuka acara dengan menerima sorakan yang tidak kurang hebatnya.

    Momen yang ditunggu-tunggu bermula apabila Judika muncul di tengah-tengah pentas dengan menaiki motor berkuasa besar melaungkan lagu Bukan Rayuan Gombal lantas menerima sorakan paling gemuruh menggamatkan seluruh ruang Axiata Arena.

    Di antara lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam tadi adalah Sampai Kau Jadi MilikkuKisah Yang Ku Inginkan (duet bersama Shila Amzah), Putus Atau TerusJikalau Kau CintaCinta Karena Cinta dan lain-lain.

    Istimewanya, konsert malam semalam merupakan sebuah ‘family affair’ dimana Judika membawa keseluruhan ahli keluarganya untuk turut serta terlibat dalam konsert tersebut, seluruh arena menyanyikan lagu ‘happy birthday’ buat anak Judika yang baharu sahaja menyambut hari jadinya beberapa hari yang lepas.

    Selain menyanyikan lagu-lagu hitsnya, Judika turut menyanyikan lagu Sejati oleh kumpulan Wings dan konsert bertambah gamat apabila Judika menyanyikan lagu Cindai yang dipopularkan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza dengan rendisinya yang tersendiri diiringi penari latar tradisional memeriahkan suasana ibarat sebuah festival kesenian.

    “Sebetulnya, saya sudah mempersiapkan diri selama tiga hari berturut-turut sewaktu latihan kerana mahu memberikan yang terbaik untuk semua dan hasilnya semua yang hadir sangat gembira dan merasa ‘cinta’ yang saya tonjolkan pada malam ini, lebih istimewa kerana keluarga juga berpeluang melihat sendiri konsert sebesar ini yang pertama di Malaysia dan ia merupakaan kebangaan buat saya.

    “Terima kasih sesungguhnya buat penonton yang hadir, ‘team’ yang terlibat, artis-artis undangan dari Malaysia dan juga Indonesia, serta kepada para penaja yang menjayakan konsert pada malam ini,” akhiri Judika.

  • MALAM KONSERT ‘ROCKMANTIC NIGHT’ – JUDIKA & THE GENG’ BAKAL MENJADI FENOMENA KEPADA PEMINAT DI MALAYSIA

    KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2023 – Jangan terlepas acara mega, ‘ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG,’ yang akan menggegar pentas pada 21 Oktober 2023, bermula pada jam 8:00 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Bakal menyaksikan Judika, penyanyi hebat dari Indonesia, dan barisan artis popular tanah air seperti Haqiem Rusli, Marsha Milan, dan Shila Amzah. Acara ini dipersembahkan oleh jenama kosmetik elit, Alha Alfa, dan dianjurkan oleh syarikat penganjur ternama dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management, serta penganjur bersama, Kharisma Music International. Dapatkan pengalaman konsert yang memukau dan penuh megah di malam itu!

    Jurucakap DAD, selaku label rakaman muzik dan pengurusan artis yang diasaskan pada tahun 2018 oleh Judika sendiri bersama sang isteri, Duma Riris memberitahu kepada semua, “Persiapan Judika menjelang hari konsert hampir 100% kesemuanya termasuk latihan persembahan bersama para pemuzik profesional dan band iringan, perancang grafik, susunan muzik, dan lain-lain persiapan.

    “Judika tidak sabar untuk memberikan yang terbaik buat semua yang hadir pada malam konsert nanti dan menghasilkan sebuah persembahan romantis yang bakal menjadi kenangan manis buat semua yang menontonnya.

    “Di antara lagu-lagu ‘sing-along’ yang wajib dihafal oleh semua yang membeli tiket adalah Cinta Karna Cinta, Bukan Rayuan Gombal, Jikalau Kau Cinta, Putus Atau Terus dan juga Sampai Kau Jadi Milikku.

    “Dapatkan segera tiket konsert yang masih ada seperti Normal Standing secara atas talian di www.ticket2u.com.my/judika, manakala tiket-tiket lain seperti Gold, Silver, VIP Standing, VIP dan Platinum telah ‘sold-out’.

    Sebagai makluman, pemilik nama sebenar Judika Nalom Abadi Sihotang ini memilih tema ‘Rockmantic’ yang merupakan gabungan perkataan ‘rock’ dan ‘romantic’ yang terinspirasi dari karakter Judika sendiri yang memiliki jiwa rock, namun di satu sisi yang lain pula, merupakan seorang yang penyayang dan pencinta terhadap keluarganya, pasangannya dan sering menghasilkan karya-karya berbaur romantis.

    Dianggarkan sekitar lebih dari 15 buah lagu yang bakal dipersembahkan oleh Judika pada malam konsert nanti dengan durasi kurang lebih 2 jam di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati.

    Pihak pengurusan DAD dan Kharimsa Music International ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih buat rakan-rakan penganjur seperti Alha Alfa, Pavilion Kuala Lumpur dan Pavilion Bukit Jalil, rakan hotel rasmi, Le Meridien Petaling Jaya, dan juga rakan radio rasmi, ERA.

    Pesan Judika, “Saya ingin semua peminat yang  akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tetapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan. Datanglah dengan jiwa seorang ‘rocker’ yang berani dan penuh semangat tetapi jangan lupa memiliki hati yang penuh cinta kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat.

    “Semoga konsert ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG ini menjadi salah salah satu pengalaman yang tidak akan anda dilupakan, ‘it’s a night to remember’.

    “Jumpa anda di sana!