Tag: #LuncaiEmas

  • Arish Mikael dan Melodi Transformasi dalam NUKILANMU

    Karya seni visual yang menyertainya dalam pemasaran “Nukilanmu” memperkukuh lagi dimensi estetika kreatif Arish Mikael. Seni visual ini memberikan gambaran tambahan dan memperluaskan interpretasi lagu, mencipta pengalaman multimedia yang kaya.

     

    Arish Mikael, yang berasal dari Muar, Johor, telah menapak dalam dunia muzik sejak usia remajanya. Pada tahun 2018, semasa masih berada di tingkatan 3, beliau memulakan perjalanan muziknya dengan busking di pelbagai tempat. Walaupun ketika itu beliau belum mengambil muzik secara serius, Arish Mikael mulai menulis lagu-lagu yang penuh makna dan emosi.

     

    Pada saat yang sama, nasib baik melanda diri Arish. Ketika beliau sering dibandingkan dengan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad dIsebabkan suara beliau yang sangat mirip dengan penyanyi lagenda tersebut, Arish diberikan peluang emas untuk mengunjungi Luncai Emas dan bertemu dengan Dato’ M.Nasir dan pelbagai pengeluar muzik yang terkenal. Perbualan santai mereka membawa kepada satu peluang luar biasa yang akan mengubah hidupnya.

     

    Antara lagu terawal yang beliau cipta, Nukilanmu merupakan karya yang sangat penting dalam perkembangan muzik Arish Mikael. Beliau berkongsi, “Lagu ini menceritakan tentang sesiapa saja dalam hidup yang mencetuskan inspirasi kepada diri.” “Radzlan selaku penulis lirik lagu ini, terlibat dengan hampir kesemua lagu yang saya cipta buat masa ini. Lagu ini terlahir semasa saya berada dalam tempoh dipengaruhi karya-karya Melayu seperti SM Salim, Ahmad Jais, M. Nasir, Loloq dan sebagainya, walaupun sebelum itu saya telah terdedah dengan muzik-muzik barat.” kongsi Arish pula tentang maksud dan inspirasi di sebalik lagu ini.

    Mengenai proses rakaman Nukilanmu Arish Mikael berkongsi, “Satu pengalaman yang baru dalam produksi muzik kerana dapat bekerja atau rakam dalam studio yang lengkap bersama pemuzik yang lebih ramai. Semestinya ada rasa kekok, sebab sebelum itu saya sudah terbiasa merakam demo sendiri dalam bilik tidur tanpa melibatkan telinga, citarasa, idea atau sudut pandangan orang lain. Jadi ini satu proses yang sangat baik. Tambah pula dengan kehadiran pemuzik yang berbakat seperti Hidayat daripada kumpulan Pitahati, dan Izzat daripada kumpulan Ramayan. Tanpa mereka, projek ini tak akan berseri.”

     

    Namun, pencapaian terbesar dalam kariernya adalah peluang unik yang diberikan kepadanya untuk tampil di Dewan Filharmonik Petronas KLCC untuk mendendangkan lagu-lagu Allahyarham Sudirman sebagai penghormatan atau ‘tribute’ kepada penyanyi tersebut. “Diberi peluang dan kepercayaan untuk membuat persembahan bersama salah satu orkestra terbaik di Malaysia, adalah sesuatu yang luar biasa. Saya rasa bersyukur dapat bekerjasama dengan barisan penyanyi dan pemuzik yang handal walaupun di fasa awal kerjaya saya ini. Rasa teruja dan gementar, tetapi dengan penerimaan yang baik dari masyarakat, itu adalah penghargaan yang besar buat saya.” luah beliau.

    Menurut Ilham, selaku penyanyi kumpulan Pitahati & A&R Luncai Emas – “Nukilanmu adalah nukilan yang bakal mewarnai skena nostalgia.”

     

    Arish Mikael berharap bahawa pelancaran lagu Nukilanmu ini akan menjadi batu loncatan untuk perekmbangan kerjayanya dalam dunia muzik. Dia mengajak semua peminat muzik untuk terus menyokong karya-karya muzik tempatan yang penuh bakat dan potensi. “Semoga ianya menjadi langkah pertama yang memperkukuhkan perjalanan saya dalam dunia muzik. Teruskan menyokong muzik-muzik tempatan.”

    Nukilanmu kini tersedia untuk dimuat turun dan diputar di pelbagai platform muzik. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar puisi yang mendalam ini, yang dipersembahkan oleh Arish Mikael dalam gaya folk pop nostalgia yang memukau.

  • PERJUANGAN ROCK JINBARA BELUM BERAKHIR

    Dengan keluaran lagu terbaru mereka, “Kurniaku Terindah,” yang berada di bawah Luncai Emas Sdn Bhd, Jinbara terus berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan dalam industri muzik rock. Untuk terus membina reputasi dalam industri muzik rock, Jinbara dan Luncai Emas telah mengeluarkan single ini sebagai projek rakaman yang unik.

    Seperti yang diungkapkan oleh komposer single ini, “Perjuangan dan perjalanan rock mereka masih belum tamat lagi’’- Ujar M.Nasir . Single “Kurniaku Terindah,” yang dicipta oleh Dato’ M.Nasir, membuktikan bahawa perjalanan muzik Jinbara masih jauh dari pengakhirannya.

    Sebagai Kumpulan rock yang telah menghasilkan lagu-lagu popular seperti “Kasihnya Laila,” “Farhana, “Cinta Pandai Merdeka,” dan “Patri,” Jinbara merasakan bahawa “Kurniaku Terindah” adalah pencapaian baru buat mereka. ‘’Ini suatu kehormatan besar dan rasa bersyukur kerana kami diberikan kepercayaan untuk membawakan lagu hasil ciptaan Dato’ M.Nasir. Single baru ini memberikan satu erti apabila kita masih lagi bernafas hingga hari ini , diberikan kesihatan yang baik , maka itulah kurnia terindah dari Maha Esa’’ – Kata Jinbara

    Jinbara adalah : Dari kiri Cepot (Gitar), Ahtan (Drum), Along (Vokalis) & Lan (Gitar)

    Bagi proses rakaman single ini, semuanya telah berjalan dengan lancar sebelum menerima berita duka pemergian Allahyarham Tony Iskandar pada 30 Jun 2021 (bekas pemain bass kumpulan Spider). Allahyarham merupakan pencetus utama dalam penerbitan single ‘Kurniaku Terindah’ ini dan tugas sebagai Produser lagu diambil alih oleh Hanafi Spider.

    ‘’Sewaktu rakaman awal, Allahyarham Tony Iskandar sememangnya berhasrat untuk menyiapkan projek lagu baru ini hingga siap. Arwah pernah juga berkata ‘’Kita Bikin Kasi Jadi’’. Namun, Allah S.W.T lebih menyayanginya. Arwah adalah Sahabat Dunia Akhirat ‘’ – Jelas Jinbara

    Dalam usaha untuk terus berinteraksi dengan peminat setia, Jinbara juga akan mengadakan Showcase “Rock Untuk Rakyat” pada 30 Ogos 2023 jam 9 malam di Grand Sabak @ Leypark Station. Tiket boleh didapati dengan menghubungi talian 019-933 4021.

    Sebuah video lirik “Kurniaku Terindah” telah dilancarkan pada 18 Ogos 2023 melalui saluran YouTube Luncai Emas. Anda juga boleh menikmati audio rasmi di semua platform digital yang tersedia seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan muat turun di Itunes Store.

    Selaku label rakaman, Luncai Emas berharap agar single terbaru ini akan meraih perhatian peminat muzik dan media. Kami mengundang anda semua untuk menikmati karya ini dengan sepenuh jiwa.