Tag: #Singer

  • Ara Johari Bakal Lebarkan Sayap Ke Indonesia Dengan “MJOL”

    Ara Johari Bakal Lebarkan Sayap Ke Indonesia Dengan “MJOL”

    KUALA LUMPUR, 23 Februari 2025 – Penyanyi popular, Ara Johari merancang untuk mempromosikan lagu hitnya “Menjaga Jodoh Orang Lain” (MJOL) di Indonesia. Lagu yang mendapat tempat pertama carta RIM selama dua minggu berturut-turut itu kini bersedia untuk menembusi pasaran negara jiran. “Kami sedang dalam perancangan untuk promosi selepas Aidilfitri,” kata Ara.

    Kolaborasi dengan komposer Indonesia, Ilham Baso menjadi faktor utama keyakinan Ara untuk memasarkan “MJOL” di sana. Beliau percaya sentuhan tempatan dan antarabangsa dalam lagu itu mampu menarik perhatian pendengar Indonesia. “Ada beberapa perubahan kecil untuk menyesuaikan lagu ini dengan cita rasa mereka,” jelasnya. Ara berharap kehadirannya di sana mendapat sambutan positif.

    Keputusan untuk melebarkan sayap ke Indonesia turut dipengaruhi oleh kejayaan luar biasa “MJOL” di Malaysia. Sejak dilancarkan pada 31 Julai lalu, lagu ini telah mengumpul lebih 10 juta tontonan di YouTube. Pencapaian ini membuktikan potensi lagu tersebut untuk diterima di peringkat serantau. “Saya rasa ini masa yang sesuai untuk membawa lagu ini ke tahap lebih tinggi,” tambahnya.

     

    Ara juga melihat promosi di Indonesia sebagai peluang untuk berkolaborasi dengan artis dan komposer tempatan. Beliau tidak menolak kemungkinan meneroka genre muzik lain untuk menarik lebih ramai pendengar. “Saya terbuka mencuba sesuatu yang baru demi memperkaya muzik saya,” katanya. Ara berhasrat menjadikan perjalanan muziknya lebih pelbagai dan segar.

    Dalam pada itu, penyanyi itu mengakui kejayaan “MJOL” memberi tekanan untuk mengekalkan momentum. Ara kini sedang mencari material baharu yang sesuai dengan jangkaan peminat. “Saya mahu pastikan karya seterusnya juga dapat diterima baik,” jelasnya. Usaha ini bertujuan memastikan beliau terus relevan dalam industri muzik tempatan dan serantau.

    Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, Ara akan mempersembahkan “MJOL” buat kali pertama di pentas besar malam ini di Gempak Most Wanted Award 2024. Beliau berharap persembahan itu dapat menyentuh hati penonton seperti mana lagu tersebut menyentuh hatinya. “Ini momen istimewa yang ingin saya kongsikan dengan semua,” ujarnya.


     

  • MALAM KONSERT ‘ROCKMANTIC NIGHT’ – JUDIKA & THE GENG’ BAKAL MENJADI FENOMENA KEPADA PEMINAT DI MALAYSIA

    KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2023 – Jangan terlepas acara mega, ‘ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG,’ yang akan menggegar pentas pada 21 Oktober 2023, bermula pada jam 8:00 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Bakal menyaksikan Judika, penyanyi hebat dari Indonesia, dan barisan artis popular tanah air seperti Haqiem Rusli, Marsha Milan, dan Shila Amzah. Acara ini dipersembahkan oleh jenama kosmetik elit, Alha Alfa, dan dianjurkan oleh syarikat penganjur ternama dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management, serta penganjur bersama, Kharisma Music International. Dapatkan pengalaman konsert yang memukau dan penuh megah di malam itu!

    Jurucakap DAD, selaku label rakaman muzik dan pengurusan artis yang diasaskan pada tahun 2018 oleh Judika sendiri bersama sang isteri, Duma Riris memberitahu kepada semua, “Persiapan Judika menjelang hari konsert hampir 100% kesemuanya termasuk latihan persembahan bersama para pemuzik profesional dan band iringan, perancang grafik, susunan muzik, dan lain-lain persiapan.

    “Judika tidak sabar untuk memberikan yang terbaik buat semua yang hadir pada malam konsert nanti dan menghasilkan sebuah persembahan romantis yang bakal menjadi kenangan manis buat semua yang menontonnya.

    “Di antara lagu-lagu ‘sing-along’ yang wajib dihafal oleh semua yang membeli tiket adalah Cinta Karna Cinta, Bukan Rayuan Gombal, Jikalau Kau Cinta, Putus Atau Terus dan juga Sampai Kau Jadi Milikku.

    “Dapatkan segera tiket konsert yang masih ada seperti Normal Standing secara atas talian di www.ticket2u.com.my/judika, manakala tiket-tiket lain seperti Gold, Silver, VIP Standing, VIP dan Platinum telah ‘sold-out’.

    Sebagai makluman, pemilik nama sebenar Judika Nalom Abadi Sihotang ini memilih tema ‘Rockmantic’ yang merupakan gabungan perkataan ‘rock’ dan ‘romantic’ yang terinspirasi dari karakter Judika sendiri yang memiliki jiwa rock, namun di satu sisi yang lain pula, merupakan seorang yang penyayang dan pencinta terhadap keluarganya, pasangannya dan sering menghasilkan karya-karya berbaur romantis.

    Dianggarkan sekitar lebih dari 15 buah lagu yang bakal dipersembahkan oleh Judika pada malam konsert nanti dengan durasi kurang lebih 2 jam di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati.

    Pihak pengurusan DAD dan Kharimsa Music International ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih buat rakan-rakan penganjur seperti Alha Alfa, Pavilion Kuala Lumpur dan Pavilion Bukit Jalil, rakan hotel rasmi, Le Meridien Petaling Jaya, dan juga rakan radio rasmi, ERA.

    Pesan Judika, “Saya ingin semua peminat yang  akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tetapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan. Datanglah dengan jiwa seorang ‘rocker’ yang berani dan penuh semangat tetapi jangan lupa memiliki hati yang penuh cinta kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat.

    “Semoga konsert ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG ini menjadi salah salah satu pengalaman yang tidak akan anda dilupakan, ‘it’s a night to remember’.

    “Jumpa anda di sana!

  • Album Terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza: SITISM Bakal Dilancarkan Dalam Semua Platform Digital Pada September Ini

    KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2023 –  Setelah menggegar dunia muzik dengan pelancaran album Sitism yang menyajikan 8 lagu eksklusif pada bulan Jun yang lalu, kini Dato’ Sri Siti Nurhaliza mempersembahkan 4 karya tambahan yang memukau dalam versi deluxe album tersebut.

    Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album. Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.

    Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut beliau, apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

    Menurut Siti, 4 buah lagu terbaharu yang dimuatkan di dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi telah menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak 2 bulan pelancarannya.

    Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

    Tambah Siti, album Sitism adalah diri beliau yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan beliau. Album terbitan Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Pra-tempah album Sitism diadakan selama seminggu bermula 18 Ogos hingga 25 Ogos 2023 lalu di platform snp.onpay.my. Album fizikal ini juga akan turut dijual dikedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

    4 buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe ini adalah Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

    Istimewanya dalam edisi deluxe ini, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Dato’ Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Dato’ Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

    Selain itu album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

    Sitism edisi deluxe sudah boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula hari ini.

  • KONSERT JELAJAH RIZKY FEBIAN Bakal Menerujakan Peminat-peminat di Malaysia Pada November ini.

    KUALA LUMPUR, 5 September 2023 – Rizky Febian, penyayi yang berasal dari negara jiran (Indonesia), tidak asing lagi namanya di negara Malaysia. Beliau bakal kembali ke Malaysia untuk konsert album jelajah BERONA DAY pada 3 November 2023 yang bertempatkan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam. Jangan terlepas peluang untuk menjadi saksi buat konsert yang dinanti-nantikan iaitu An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian yang dibawakan khas oleh penganjur konsert paling sensasi masa kini, Hitman Solutions.

    “Ini merupakan konsert saya yang kedua seumpamanya di Malaysia dan pernah juga menjadi sebahagian dari sebuah konsert antarabangsa pada Julai tahun ini,” jelas pemilik nama sebenar, Rizky Febian Adriansyah Sutina, 25 tahun.

    Sejak kecil, Rizky sudah pun didedahkan dengan industri hiburan di mana bapanya merupakan artis komedi terbesar Indonesia, kemudian pada tahun 2015, beliau tampil dengan single sulung berjudul ‘Kesempurnaan Cinta’ yang berjaya meloniakkan namanya sebagai salah satu penyanyi ‘papan atas’ Indonesia.

    Terkini, Rizky baharu sahaja melancarkan album keduanya berjudul ‘Berona’ pada 21 Julai lalu, katanya, “Album yang mengandungi 10 lagu baharu hasil kolaborasi 3 pemuzik Indonesia, Gangga, Teddy Adhitya dan Basboi menjadi tujuan utama mengapa konsert ini diadakan kali ini, selain mempromosikan album baharu, dapat juga menyapa peminat-peminat saya di Malaysia.

    “Team dari RFAS Music sudah pun mempersiapkan segala rangka promosi pada September ini, dan juga menjelang malam konsert nanti.

    Bertemakan cinta yang diambil dari album ‘Berona’, konsert, An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian, bakal berlangsung selama hampir 2 jam dengan 15 buah lagu yang akan dipersembahkan pada malam konsert nanti di mana Rizky akan tampil dengan cara nyanyian yang sedikit berbeza dan lebih dewasa.

    Lebih istimewa, beliau juga bertanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi konsertnya sendiri. “Dari segi susunan muzik pula, saya sendiri yang akan menentukannya dengan ‘warna’ baharu yang lebih sesuai dengan usia saya yang semakin matang yang dilatari pemuzik profesional yang diterbangkan dari Indonesia.

    Menurut En. Rohit Rampal, selaku Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, “Rizky mempunyai pengaruh yang kuat dikalangan penggemar muzik tempatan dan beliau merupakan artis muda yang sering menjadi perhatian kerana hasil karyanya yang bermutu. Dengan itu, kami tidak teragak-agak memilih untuk membawa Rizky ke Malaysia bagi mengadakan konsert jelajahnya.

    Kami juga akan teruskan penjelajahan in ke negara singa, pada tahun 2024 sebagai penganjur untuk Berona Day Rizky Febian Singapura. Sebagai promoter konsert, kami ingin setiap konsert itu bermakna buat peminat-peminat, oleh itu, kami memberikan harga tiket yang berpatutan dan mampu beli kepada semua.”

    Tiket akan dijual mulai 7 September 2023, jam 12 tengah hari di www.hitmanlive.com dengan tiket kategori – Romansa (Free Standing) RM 179, Terpesona (Normal Seating) RM 199 dan Super Rizfelous (VIP Standing) berharga RM399.

    Terima kasih khas kepada Sinar FM, ERA FM, Gegar FM (rakan radio rasmi), RFAS Music (label rekod rasmi), Sunway Putra Hotel, (rakan hotel rasmi) dan Batik Air (syarikat penerbangan rasmi).

    Sebarang pertanyaan berkenaan konsert An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian, sila hubungi En. Keeran (Hitman Solutions) di talian 012-887 0669.

  • DOLLA Kembali Bergema dengan ‘DAMELO’

    KUALA LUMPUR (4 OGOS 2023) – Dengan kemenangan segar sebagai penerima Anugerah Kumpulan/Duo/Kolaborasi Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-35, kumpulan nyanyian wanita popular DOLLA telah meletakkan dasar yang kukuh untuk langkah baharu mereka.

    Anugerah Bintang Popular, yang telah menjadi salah satu pengiktirafan terlama dalam dunia hiburan Malaysia, mewakili suara peminat dalam mengiktiraf populariti dan kehebatan individu atau kumpulan. Kemenangan mereka adalah bukti kukuh akan daya tarikan DOLLA di kalangan peminat, menjadikan mereka ikon populariti yang diakui dengan jelas oleh para peminat.

    Demikian, mereka kini menggegarkan dengan karya terbaru bertajuk “DAMELO“.

    Ditulis dalam Bahasa Sepanyol pada asalnya, lagu ini kemudian diolah ke dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris oleh penyanyi rap wanita SYA dan diterbitkan oleh Joshua Tan, atau lebih dikenali sebagai Hard Lights.

    Walaupun lagu ini ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, kami masih kekalkan beberapa bahagian dalam Bahasa Sepanyol sebagai penghormatan kepada penulis asal karya ini. Kami juga terpaksa belajar sedikit sebutan Bahasa Sepanyol daripada SonaOne dan adiknya untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan betul.

    Selain itu, kami juga suka bereksperimentasi dengan perkara baharu, malah kami juga mempunyai peminat dari Amerika Latin sekarang. Jadi masanya memang sesuai,” ujar kumpulan DOLLA tentang projek baharu ini.

    “Kami sangat gembira dengan keluaran terbaharu ini! Ia satu kebanggan buat semua. Sebagai label yang mengembangkan sebuah kumpulan A-pop wanita, memenuhi piawaian serantau dan dunia memerlukan usaha yang banyak dari ekosistem keseluruhan termasuk dedikasi dari DOLLA dan pasukan Universal Music sendiri. Hasil kerja ini terserlah dalam muzik, kerjasama jenama serta pengumuman konsert yang akan diumumkan tak lama lagi,” ujar Kim Lim, Pengarah Urusan, Universal Music Malaysia.

    Turut gembira dengan projek ini adalah Hermond Cheng, Pengarah, A&R dan Pemasaran serta Ketua Def Jam Recordings Malaysia.

    Tahniah DOLLA! DAMELO adalah karya yang segar dan sesuai zamannya. Saya bangga bersama anda dari mula dan segala kejayaan aneka platinum yang pernah anda kecapi memang layak diterima. Saya tak sabar mengambil langkah seterusnya bersama anda untuk menakluk pasaran Asia!” tambah Hermond.

    Lagu yang mempunyai judul dalam Bahasa Sepanyol ini mempunyai banyak makna buat empat gadis berbakat ini.

    Lagu ini tentang melakukan apa i sahaja untuk mencapai sesuatu. Dan untuk melakukan semua ini, kami menggunakan kebolehan serta tenaga kami sebagai wanita.

    Jika anda dengar lagu ini dengan betul, ia sebenarnya lagu kami yang paling feminin dan lantang bersuara mengenai pemerkasaan wanita” tambah mereka.

    Lagu yang mengambil masa beberapa sesi untuk disiapkan ini juga hadir dengan sebuah video muzik menarik yang menampilkan visual sesuai dengan album penuh mereka yang akan terbit tak lama lagi.

    “Video muzik buat DAMELO merupakan satu langkah besar buat kami. Ia menampilkan sisi lain kami yang lebih matang. Ia menampilkan banyak unsur seperti padang pasir dan air dengan beberapa babak tarian juga. Kami mahukan sesuatu yang baharu dan luar biasa jadi kami cuba selitkan beberapa kejutan dalam video ini.

    Kami berikan sepenuh kepercayaan kepada Pyqul dan Tessera Productions untuk menghasilkan watak penjahat Sepanyol yang mereka berikan dengan baik. Pasukan itu muda, segar dan berjaya hasilkan video yang sangat hebat dan sesuai dengan lagu. Kami sangat gembira dengan video ini dan berharap semua orang akan menyukainya juga,” jelas DOLLA tentang video muzik ini.

    Namun, semuanya ada cabaran. Mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa isu semasa penggambaran video muzik.

    “Kami terpaksa beraksi di padang pasir dan sebuah bengkel yang sangat panas! Bayangkan kami terpaksa menari dan beraksi dengan lampu yang banyak selama berjam-jam di bawah sinar matahari. Tepukan buat pasukan penerbitan serta para penari kami yang mampu bertahan dengan kepanasan tika itu dan masih kelihatan hebat dalam video.

    Walaupun panas, ia mula hujan sewaktu kami merakam babak bengkel dan gara-gara itu kami mengambil waktu lebih lama untuk menyiapkannya. Tapi secara umum ia satu pengalaman yang hebat berkata perancangan yang baik oleh pasukan penerbitan,” tambah mereka lagi.

    DOLLA berharap DAMELO akan membenarkan mereka mendekati lebih banyak pendengar serta peminat antarabangsa.

    “Kami tak pernah mencuba genre ini sepenuhnya dan berharap karya ini akan mencapai pasaran baharu. Ia juga lagu yang bagus untuk dinikmati di festival EDF. Harap semua akan menyukainya seperti kami,” ujar mereka menutup bicara.

    DAMELO sudah berada di semua platform digital bermula 28 Julai manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi DOLLA VEVO dari 4 Ogos. Malah video muzik lirik lagu ini juga sudah memasuki carta ‘Trending’ laman YouTube Music dan berada di tangga yang ke-10.

  • Panggung Impian Kolaborasi Vol. 4: Janjikan Aksi yang Mengagumkan oleh Cakra Khan di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2023!

    Lagu “Harus Terpisah” dari penyanyi Indonesia, Cakra Khan, telah mendominasi stesen radio di Malaysia dan Indonesia. Kehadiran Cakra Khan di sesi uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023 telah menarik perhatian ramai, menjadikannya perbincangan hangat di kalangan rakyat Indonesia dan penggemar muzik di seluruh dunia.

    Pada episod uji bakat yang disiarkan pada 18 Julai lalu, Cakra Khan, yang berusia 31 tahun, telah mengagumkan juri dalam program realiti yang terkenal dengan persembahannya. Beliau membawakan lagu “Make It Rain” yang dipopularkan oleh Ed Sheeran dan “No Woman, No Cry” yang asalnya dinyanyikan oleh Bob Marley.

    Kemantapan vokalnya yang unik dan mempunyai karakter tersendiri ketika membawakan kedua-dua lagu ini telah menjadikan penyanyi yang berasal dari Pangandaran, Jawa Barat, berjaya mendapatkan empat “Yes” daripada juri yang hadir.

    Keunikan suara Cakra juga mendapat pujian yang meluas, dengan juri ternama seperti Simon Cowell yang mengakui kagum terhadap bakat luar biasanya. Komen pujian ini bukan sahaja mengakui kehebatan Cakra, tetapi juga membukakan pintu bagi langkahnya ke peringkat persaingan seterusnya. “Pencapaian besar itu, tidak mungkin dicapai tanpa sokongan semua, terutama sekali peminat yang sentiasa mempercayai kemampuan saya”, kata Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman.

    Meskipun ruang untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa semakin luas terbuka, Cakra tidak sesekali melupakan peminat di rantau Nusantara yang sentiasa menjadi tulang belakang kekuatannya. Menghargai sokongan yang diberikan, Cakra mengotakan janji dengan kembali ke Kuala Lumpur bagi menyempurnakan konsert, Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dalam memenuhi rangka Dream Festival Collaboration Vol. 4.

    Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2023, penyanyi yang memiliki karisma tersendiri itu akan memukau para penggemar dengan penampilan spektakular membawakan himpunan lagu popularnya.

    Konsert itu juga bakal membawa peminat menelusuri perjalanan kerjaya nyanyian Cakra selama lebih sedekad, bermula dengan single perdana, Harus Terpisah yang pantas melonjakkan popularitinya di Indonesia dan Malaysia sejak 2012. Pengarah Projek Dream Festival, Rama Ananda Ambri atau mesra disapa dengan Anda berkata, acara itu menjanjikan hiburan luar biasa menerusi persembahan istimewa Cakra bersama penyanyi undangan khas dari Malaysia.

    “Kemunculan Cakra bersama penyanyi undangan misteri itu bakal menghangatkan lagi siri Dream Festival Collaboration Vol. 4, sekali gus membawa penonton merentasi magis perjalanan hiburan yang tidak terlupakan.

    “Sebagai penyanyi, Cakra dilihat sebagai sosok yang sangat berbakat dan memiliki karisma tersendiri setiap kali beraksi di pentas. Dikenali dengan kehebatan vokal dan aksinya yang penuh energetik, kami yakin kemunculan terbaharu Cakra pasti memberikan kepuasan jitu kepada penggemarnya,” katanya. Tambahnya lagi, profil seni Cakra yang pernah meraih pelbagai penghargaan, selain mengukir nama sebagai antara artis terbaik dalam industri hiburan Nusantara memberi nilai tambah pada acara yang dibawakan Inspire IDN dengan kerjasama Laskar Entertainment itu.

    “Bersama artis undangan yang masih dirahsiakan, kami yakin elemen kejutan itu bakal menambah daya tarikan acara, sekali gus memacu antusiasme penggemar muzik untuk memeriahkan konsert tersebut.

    “Dream Festival Collaboration Vol. 4 dirancang dengan begitu teliti untuk memastikan semua yang hadir terhibur. Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert yang tidak terlupakan kepada semua penonton.

    “Acara ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan penaja rasmi seperti Sari Ratu Prima, Hotbox dan Chatime. Sokongan mereka memberikan sumbangan besar dalam memastikan acara ini sukses,” katanya.

    Tiket menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 4 – Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dijual pada harga RM178 (Kepada Hati), RM198 (Terlanjur Cinta), RM318 (Kekasih Bayangan), RM508 (Tanpa Batas Waktu) dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton) boleh diperoleh dengan melayari: www.ticket2u.com bermula 15 Julai 2023.