Tag: SitiNordiana

  • Tomok dan Siti Nordiana Bergabung Dalam Konsert Memori Mungkin Berulang

    Tomok dan Siti Nordiana Bergabung Dalam Konsert Memori Mungkin Berulang

    Konsert Memori Mungkin Berulang bakal menyaksikan gabungan luar biasa antara dua bintang popular tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, yang akan berkongsi pentas untuk menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hits mereka sepanjang lebih 20 tahun dalam industri muzik Malaysia. Konsert yang dinanti-nantikan ini dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025, bertempat di Zepp Kuala Lumpur, bermula pada jam 8 malam.

    Tomok, yang juga merupakan penganjur konsert ini melalui syarikatnya, Popsicle Records, menyatakan rasa teruja dan bangga kerana ini merupakan kali pertama beliau berkolaborasi dengan Siti Nordiana, satu kerjasama yang dinanti-nantikan oleh para peminat mereka. “Kami memulakan karier nyanyian sejak di bangku sekolah pada era 90-an, dan kini kami berpeluang untuk menggamit semula kenangan lama dengan menyanyikan lagu-lagu yang pernah mengukir sejarah dalam dunia muzik tanah air,” kata Tomok.

    Konsert ini dijanjikan akan penuh dengan kejutan, dengan kedua-dua artis akan membawakan lagu-lagu hit mereka seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih, dan Gurauan Berkasih yang pasti mengimbau memori indah para peminat. Selain itu, satu momen istimewa akan menyaksikan Tomok menyanyikan lagu duet Nana bersama Allahyarham Achik, sebuah tribute yang pastinya mengundang sebak dan kenangan manis buat semua yang mendengarnya.

    Harga tiket untuk konsert ini juga dijangka mampu milik dengan pelbagai kategori, bermula daripada RM98 hingga RM5,000 untuk VIP Box. Tomok turut menyatakan keyakinannya bahawa peminat kedua-dua artis ini akan memberi sokongan penuh, memandangkan harga tiket yang berpatutan dan kualiti persembahan yang bakal ditawarkan. “Kami akan memberikan persembahan yang terbaik, dan saya yakin peminat tidak akan menyesal membeli tiket ini,” tambah Tomok, yang juga bertindak sebagai penaung Popsicle Records.

    Siti Nordiana pula berkongsi keterujaan yang sama, mengakui bahawa peluang untuk berkolaborasi dengan Tomok merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. “Lagu duet kami *Memori Mungkin Berulang* menjadi pilihan utama untuk konsert ini kerana ia begitu sinonim dengan saya dan Tomok. Selain itu, saya juga tidak menyangka bahawa lagu duet kami akan diterima dengan begitu baik oleh peminat, terutamanya di kalangan generasi muda yang semakin meminati muzik kami,” ujar Nana dengan penuh keterujaan.

    Sejak mula dijual pada 28 Oktober 2024, tiket konsert Memori Mungkin Berulang telah mendapat sambutan yang luar biasa, dengan hampir 50% tiket telah terjual. Ini menunjukkan betapa tingginya minat terhadap acara ini, dan penganjur menjangka tiket akan habis terjual dalam tempoh sebulan. Tiket boleh dibeli melalui platform dalam talian Ticket2u.

    Selain itu, Tomok turut mengalu-alukan kerjasama dan tajaan daripada mana-mana pihak yang berminat untuk menyokong konsert ini, yang diharap dapat memperluas lagi pengaruh dan kejayaan acara tersebut. “Dengan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, saya yakin konsert ini akan menjadi satu peristiwa yang mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu hit kami yang lalu dan juga yang terkini,” kata Tomok mengakhiri.

    Konsert ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengenang semula karya-karya klasik, tetapi juga memberi peluang kepada para peminat untuk menikmati persembahan yang penuh emosi dan kenangan, sekaligus memeriahkan lagi industri muzik Malaysia yang terus berkembang.

  • Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun Jadi Jawapan Percintaan Dua Dekad

    Adakah Siti Nordiana bakal berkahwin? Siti Nordiana cantik dalam berbusana pengantin dan Siti Nordiana mahu mengumumkan hari paling bersejarah dalam hidupnya?

    Semua itu menjadi spekulasi yang bertebar kencang beberapa hari kebelakangan ini. Semuanya gara-gara foto diri penyanyi berusia 39 tahun itu yang manis menyarung gaun pengantin warna putih tersebar di internet.

    Hari ini adalah hari Siti Nordiana Alias memberi jawapan kepada setiap persoalan dan spekulasi yang bertebaran.

    Tanpa berselindung, bintang yang sudah lebih dua dekad bertapak kukuh dalam industri seni tempatan khususnya muzik mengaku ada yang istimewa di sebalik tersebarnya foto beliau menyarung gaun putih bak pengantin tersebut.

    Menyarung busana tersebut barangkali sinonim dengan acara pernikahan tetapi ‘perkahwinan’ yang membabitkan Siti Nordiana ini bukan melihatkan seorang lelaki sebaliknya jutaan hati lelaki dan wanita yang menjadi tulang belakang kariernya selama ini iaitu peminat.

    “Saya dengan rendah hati memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto berbusana pengantin baru-baru ini.

    “Sebenarnya fotografi itu diadakan khusus untuk acara istimewa, julung kali ini dan sangat bermakna ini.

    “Ia untuk konsert perdana sepanjang lebih dua dekad saya berkecimpung dalam dunia seni khususnya muzik iaitu Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.

    “Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun terlalu istimewa buat saya kerana akan menjadi panggung dan ‘pelamin khas’ untuk saya meraikan karier bersama peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik saya selama ini,” ujar Siti Nordiana merungkai spekulasi ‘perkahwinannya.’

    Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun akan dilaksanakan pada 11 Mei 2024 di Zepp KL bermula pukul 8.30 malam.

    Bagi penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini, Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun akan menjadi saksi jatuh bangun dan sepak terajang perjalanan karier yang tidak semuanya manis namun setiap satu diambil sebagai pelajaran buat dirinya kekal relevan dengan pasaran masa kini.

    Di panggung Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun juga Siti Nordiana akan menggamit nostalgia peminat menerusi lagu-lagu miliknya seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Tak Upaya Menangis Lagi sehingga Satukan Rasa.

    Pihak penganjur, Icon Entertainment pula menyifatkan pemasaran yang diwar-warkan selari dengan konsep konsert yang dicetuskan.

    Ia bukan publisiti murahan memandangkan Siti Nordiana telah mencetak sukses dengan pelbagai anugerah yang telah dicapai selain profil beliau sebagai penyanyi yang telah membuktikan bakat nyanyian sebagai bukan hanya penyanyi Pop tetapi Balada, Entik Kreatif dan Irama Malaysia.

    Menurut penganjur Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, Iman Tang, mesej yang ingin disampaikan menerusi poster sehingga ke konsert kelak amat jelas iaitu ingin membangkitkan kembali nostalgia atau memori bukan hanya Siti Nordiana tetapi juga peminat yang hadir.

    “Semua hal yang berkaitan dengan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun adalah tentang menggamit nostalgia.

    “Menyebut nama Siti Nordiana sendiri kita sudah berasa nostalgia dan terus terkenang lagu-lagu hit mendayu-dayu beliau seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih.

    “Kebanyakan lagu beliau dilahirkan pada sekitar awal tahun 2000 tapi masih bersifat malar segar sehingga sukar dilupakan peminat.

    “Siti Nordiana sendiri telah membuktikan bakat nyanyiannya sejak kecil dan masih relevan terhadap industri sehingga kini. Ini juga yang membuat Icon Entertainment mahu menganjurkan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun selepas melihat beliau belum pernah melakukan konsert sepanjang kariernya.

    “Jadi Icon Entertainment membawa konsep memori atau nostalgia lagu-lagu Siti Nordiana yang penuh dengan kisah cinta dalam Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun,” ujar Mike Manicka selaku wakil pihak penganjur.

    Pada malam Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun juga, peminat yang hadir WAJIB menyarung busana MEMORI SILAM untuk larut dalam momen dan sejarah yang bakal dicipta menerusi konsert tersebut.

    “Wajib berpakaian memori silam kerana sekali lagi saya tekankan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun adalah tentang nostalgia.

    “Jadi apa yang dimaksudkan dengan pakaian memori silam ini adalah memakai busana pertama kali keluar bercinta atau dating, pakaian sweet couple dengan pasangan anda atau pakaian sewaktu cinta monyet di zaman sekolah (kecuali baju sekolah).

    “Konsep ini adalah untuk lebih membangkitkan kehangatan dan menggamit nostalgia semua yang hadir,” kata Mike lagi.

    Buat peminat, inilah momen terbaik untuk menggamit kenangan bersama Siti Nordiana. Pastikan kehadiran wajib anda di Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun pada 11 Mei 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

    Tiket-tiket berharga RM188 (PALING COMEL), RM228 (MEMORI BERKASIH), RM308 (MAINAN CINTA), RM4888 (VIP BOX, 8 PAX PER BOX) boleh dibeli menerusi atas talian www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline 012 6530 700 (whatsapp).

    Radio Era, Sinar, Gegar dan Zayan merupakan radio rasmi konsert ini manakala Gempak pula merupakan rakan rasmi digital.

    INFORMASI

    ACARA: MEMORI BERKASIH SITI NORDIANA 25 TAHUN

    TARIKH: 11 MEI 2024

    LOKASI: ZEPP KL

    PUKUL: 8.30 MALAM

    PENGANJUR: ICON ENTERTAINMENT

    HARGA TIKET: RM188 (PALING COMEL), RM228 (MEMORI BERKASIH), RM308 (MAINAN CINTA), RM4888 (VIP BOX, 8 PAX PER BOX)

    PEMBELIAN TIKET ATAS TALIAN: WWW.TICKET2U.COM.MY

    PEMBELIAN TIKET HOTLINE: 012 6530 700 (WHATSAPP)